11 Okt 2010

Update Kemalangan: Kem Pengangkutan Mulakan Siasatan

Kementerian Pengangkutan mula siasatan kemalangan ngeri

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan telah memulakan siasatan berhubung kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, dekat Rembau petang semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata beliau telah mengarahkan agensi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Miros untuk menjalankan siasatan tersebut.

"Bas ekpres yang terbabit adalah bas baru dan didaftarkan pada 2007. Siasatan awal mendapati bas tersebut kerap menjalani pemeriksaan biasa PUSSPAKOM dan kali terakhir bas ini diperiksa pada Mei lepas.

"Kita akan menjalankan sisatan lanjut terhadap sistem stering dan brek bas terbabit," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa yang cedera dalam kemalangan itu di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini hari ini.

Turut melawat mangsa di HTJ ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan, dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Sureet Singh.

Nahas berlaku pada jam 6.40 petang apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah van serta menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menuju ke selatan.

Kong berkata, daripada kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini adalah disebabkan oleh faktor kesilapan manusia.
Beliau berkata, kementeriannya juga sedang membuat pindaan Akta Pengangkutan Jalan iaitu memperketatkan lagi penguatkuasaan dalam usaha memastikan pengguna jalan raya mematuhi semua peraturan jalan raya terutama terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah.

Sementara itu, Mohamad melahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian itu.

"Saya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada mangsa yang meninggal dunia. Saya harap keluarga mangsa bersabar dan menerima kenyataan ini," katanya.

Katanya, walaupun kerajaan telah menjalankan banyak kempen keselamatan jalan raya serta operasi dalam memastikan pemandu kenderaan mematuhi peraturan jalan raya, namun kemalangan yang meragut nyawa masih berlaku.

Katanya, sudah sampai masanya semua pihak perlu mengambil perhatian mengenai perkara ini.

"Kita jangan jadikan jalan raya sebagai sungai maut. Yang penting keselamatan penumpang bas diberikan keutamaan," katanya. - BERNAMA








3 ulasan:

  1. nanti polis akan siar ada berpuluh saman tapi sebab bukan Zunar tak kena tangkap

    BalasPadam
  2. Kementerian pengangkutan Malaysia lah kementerian yang paling bodoh sekali di dunia.

    BalasPadam
  3. Memang saya Menyokong kenyataan Menteri pengankutan, kemalangan berlaku kebanyakan faktor kesilapan manusia. Sekali pun Bas baru jika memandu dalam keadaan laju dan memotong tanpa berdisiplin, tidak mengikut peraturan nescaya kemalangan tidak dapat dielakkan.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.