6 Okt 2010

PRK Galas: Sewa Rumah Naik Berpuluh Kali Ganda, Gerai Tumbuh Macam Cendawan

Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas pada 4 November ini telah menyebabkan kadar sewa rumah di sekitar bandar Gua Musang kini melambung manakala gerai makanan mulai tumbuh dengan banyaknya.

Tinjauan mendapati sewa rumah meningkat berpuluh kali ganda sejak awal bulan ini kerana penduduk mahu mengambil keuntungan besar seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Manek Urai tahun lepas.

Seorang penduduk, Ismail Dollah, 43, berkata, harga rumah sewa yang kebiasaannya RM200 sebulan kini meningkat kepada RM10,000 dan ada rumah banglo disewakan pada harga RM15,000 untuk tempoh pilihan raya kecil itu.

"Harga rumah naik setiap jam kerana kadarnya berubah mengikut siapa yang sanggup membayar harga yang mahal," katanya.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa penamaan calon ialah pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Tinjauan juga mendapati kadar sewa hotel turut meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.

Jika sebelum ini kadarnya RM150 sehari kini kadarnya ialah RM200 sehari.


Semua petugas PAS, Pakatan dikerah ke Galas

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas Pakatan Rakyat dengan kepakaran yang berbagai supaya dapat turun ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan.

Ini, kata Presiden PAS itu, untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di Dun Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, berikutan kekosongan kerusi N.45 Galas, PAS telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan Dun untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November ini.

Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, tambahnya PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di Dun Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di Dun berkenaan.

“Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti.

“Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang percaya bahawa semua petugas akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas, serta sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun.

“Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti,” tegasnya. -harakahdaily


2 ulasan:

  1. Petugas PAS apa ada hal... boleh tidur kat Markaz atau kat dalam kereta... Paling koman pun tidur bawah kanopi.

    BalasPadam
  2. Tahniah!!! semoga lebih banyak pilihanraya kecil yang memewahkan rakyat

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.