2 Okt 2010

Pemilihan PKR: Debaran Di 33 Cabang PKR Hari Ini Dan Esok

Ketua Cabang MATC: Adun, Ahli Parlimen PKR jadi tumpuan

PETALING JAYA: Kedudukan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli parlimen PKR menjadi tumpuan pemerhati pada pemilihan peringkat Cabang pada hujung minggu ini, sama ada mereka mampu mempertahankan sokongan mahupun sebaliknya.

Pemilihan pada hari ini dan esok seperti dijadualkan merupakan Mesyuarat Agung Tahunan (MATC) PKR Cabang yang terakhir selepas 173 Cabang selesai menjalankan tanggungjawab memilih dan memutuskan calon masing-masing.

Tujuh Cabang yang bermesyuarat minggu lalu terpaksa ditunda ekoran berlakunya masalah teknikal dan gangguan bantahan.

Antara 33 Cabang di enam negeri yang bakal menjalankan mesyuarat pada minggu ini ialah Selangor (13 cabang), Sarawak (8), Johor (9), Sabah (Penampang), Kedah (Padang Serai) dan Pulau Pinang (Bukit Gelugor).

Cabang yang menjadi tumpuan termasuklah Gombak, Kuala Selangor, Ampang, Kelana Jaya, Hulu Selangor dan Padang Serai.

Nasib Azmin ditentukan Ahad

Naib Presiden Azmin Ali yang kini mendahului pencalonan timbalan presiden, bakal menghadapi cabaran daripada Abu Bakar Ninggal yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang Gombak.

Ramai pemerhati menjangka Azmin bakal menang besar di cabang tersebut namun seorang lagi calon yang juga Adun Batu Caves Amirudin Shari turut menghitung nasib sama bagi jawatan timbalan ketua cabang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertanding jawatan ketua cabang Kuala Selangor juga dikatakan bakal mendapat tentangan hebat daripada tiga pesaing lain.

Nasib Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan pula dalam pertaruhannya merebut jawatan ketua cabang bakal diketahui Ahad ini selepas mesyuarat cabang itu, selepas ditangguhkan sejak dua minggu lalu.

Manakala perebutan jawatan Ketua Cabang Kelana Jaya bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud dengan Abdul Rakaz Mohamed Jalil.

Mesyuarat Cabang PKR Hulu Selangor yang berlangsung esok dijangka ‘panas’ dengan tujuh pencalonan (paling ramai stakat ini) yang bakal berentap merebut jawatan ketua cabang.

Sementara Ketua Wanita PKR Pusat Zuraida Kamaruddin juga bakal berhadapan satu lawan satu bagi kerusi Cabang Ampang.

Cabang Sabak Bernam pula akan menentukan sama ada Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat Dr Badrulamin Baharon atau dua calon lain bertanggungjwab menggalas jawatan ketua cabang.

Cabang bermasalah tangguh sehingga Kongres?

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah berkata, mesyuarat cabang yang didapati bermasalah dan tertangguh akan ditunda sehingga ke tarikh yang ditetapkan semula kelak.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat mesyuarat cabang yang didapati bermasalah itu akan ditangguhkan sehingga dua bulan dan hampir kepada tarikh Kongres Pemilihan Parti yang akan diadakan pada hujung November depan di Shah Alam, Selangor.

"Kami akan menilai semula semua laporan daripada pengawas, selain memanggil individu dan pihak yang terlibat sehingga timbulnya kekalutan semasa mesyuarat.

"Kemudiannya kami akan putuskan tarikh baru bagi mesyuarat cabang yang tertangguh itu, manakala bagi individu yang didapati bersalah JPP akan mengambil tindakan termasuk menggantung keahliannya," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Cabang yang bakal bermesyuarat pada 2 dan 3 Oktober 2010:

SELANGOR
Sabak Bernam
Sungai Besar
Hulu Selangor
Serdang
Puchong
Kelana Jaya
Tanjong Karang
Kuala Selangor
Selayang
Gombak
Ampang
Pandan
Hulu Langat

JOHOR
Tenggara
Kota Tinggi
Tebrau
Pasir Gudang
Johor Bahru
Pulai
Kulai
Gelang Patah
Pontian

KEDAH
Padang Serai
PULAU PINANG
Bukit Gelugor
SABAH
Penampang

SARAWAK
Lawas
Hulu Rejang
Mambong
Santubong
Bandar Kuching
Batang Lupar
Saratok
Sarikei
-FMT

1 ulasan:

  1. Tahniah, semoga dapat beri saingan yang hebat kepada UMNO yang nak runtuh...

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.