19 Okt 2010

Pembebasan Ketua Pengarah Imigresen Memalukan Pejabat Peguam Negara

Kuala Lumpur: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) menyifatkan pembebasan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don (gambar) daripada pertuduhan rasuah, Jumaat lalu, sesuatu yang boleh memalukan pejabat Peguam Negara sebagai pendakwa raya.

Berikutan itu, ahli Exconya yang juga anggota Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan bagi mengenal pasti punca kekalahan banyak kes membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dalam kes berkenaan, Wahid dituduh menerima suapan sebanyak RM60,000 bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada pekerja asing.

“Oleh itu, Peguam Negara perlu memberi penjelasan terhadap kegagalan pihaknya supaya rakyat tidak terkeliru dan kita juga berharap Peguam Negara memandang serius perkara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Phang juga melahirkan kebimbangan kerana sejak kebelakangan ini banyak kes yang dikendalikan pejabat Peguam Negara kalah di mahkamah dan ia boleh memberi imej negatif terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.

Beliau berkata, kegagalan pendakwaan turut mengundang keresahan di kalangan rakyat, selain mengakibatkan pelabur asing hilang keyakinan terhadap badan kehakiman negara.

Katanya, kekalahan kes rasuah dan salah guna kuasa juga akan menyebabkan tanggapan negatif dilemparkan terhadap SPRM sebagai badan penyiasat.

“Rakyat hendak tahu sama ada Peguam Negara sudah melakukan siasatan menyeluruh dengan memastikan segala bukti lengkap dikumpul dan diletakkan di hadapan sebelum dibawa ke mahkamah.

“Saya harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang dipertanggungjawabkan bagi tujuan itu mencari jalan penyelesaian segera bagi masalah ini,”
katanya.

Sementara itu, SPRM memfailkan rayuan terhadap pembebasan Wahid, semalam.

Ketua Pendakwa SPRM, Datuk Abdul Razak Musa (gambar) ketika dihubungi BERNAMA, mengesahkan rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, pagi semalam.

Wahid, 57, dilepas dan dibebaskan tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian bagi mempercepatkan kelulusan 4,337 visa untuk pekerja Bangladesh pada 10 Julai 2008.

Dalam satu kenyataan akhbar segera selepas keputusan mahkamah itu, SPRM berkata ada ‘alasan kukuh’ bagi suruhanjaya itu mengemukakan rayuan. -Bernama

Terkini

Bekas Timbalan KP Imigresen Diperintah Bela Diri Kes Rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa memerintahkan bekas Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Imigresen Yusof Abu Bakar membela diri terhadap 14 tuduhan menerima rasuah bagi meluluskan lanjutan pas warganegara China.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yusof, 56.

Pada 15 Okt lepas, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don atas tuduhan menerima rasuah melibatkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh. - BERNAMA



Ulasan GB

Apa tidaknya SPRM sentiasa kalah di dalam kes rasuah. Tumpuan hanya diberikan untuk membela kesalahan SPRM di dalam inkues Teoh beng Hock, dengan memandang ringan kes-kes rasuah berprofil tinggi. Diperburukkan oleh pentadbiran negara di bawah pemerintahan Najib yang tidak serius menangani gejala rasuah, malah dalam banyak ketika menyemarakkannya.

Pagi ini baru terhegeh-hegeh mahu mendakwa semula Ketua Pengarah Imigresyen tersebut dengan tiba-tiba hakim menyatakan pada pagi ini ada kes prima facie terhadap Yusof yang sebelum ini dinafikan.

Flip-flop flip-flop flipflop

Itulah yang dapat dinyatakan dari perspektif rakyat.

4 ulasan:

  1. Assalammualaikum GB,

    Nak sambung sikit pada ulasan kamu tu. Apakah pendakwa yang ditugaskan itu pegawai yang pintar, terbaik, bersih dan cemerlang rekodnya. Atau bos dah tahu ianya cukup-cukup makan sahaja supaya macam kacang sahaja dimakan dek peguam bela tertuduh. Yang kena tuduh itu pun bukan calang-calang orang. Takut terkeluar dari mulutnya nanti yang semua orang dah dapat habuan.

    Pendakwa kes Jenayah Polis pun seakan sama. Kalau asyik kalah dengan kekurangan bukti sahaja tentu ada sebabnya. Mengapa tidak hantar mereka berkursus lagi ?. Pelajari tektik teknik terbaru. Kalau ada di Jepun, UK, USA, di Russia atau di China sekali pun kursus pendakwaan terbaik, hantarlah mereka kesana. Sediakan budget untuk latihan ini. Pastikan mereka lulus dengan cemerlang. Kursus BTN kalau perlu itu tambahan sahaja. Barulah pegawai itu cekap, mahir dan bersemangat menjalankan kerjanya dan mempertahankan kedaulatan negara.

    Tengoklah askar kita yang masuk hutan berminggu-minggu dulu tu. Tinggal bini tinggal anak. Hendak tahu jenis makanan dan alaun yang diterima ?. Tanyalah mereka, jangan tanya Jeneralnya. Kat hutan pun kalau Jeneral datang melawat makannya spesel. Aku tahu sangat sebab aku juga seorang bekas tentera. Wasallam.

    BalasPadam
  2. Wak memang tabik hormat kepada anggota tentera kita terutamanya yang tinggal anak bini kerana tugas, nak pulak kat hutan. Baru ni Wak dah derma ke tabung rayuan hari pahlawan. 1.05 derma tak ?

    BalasPadam
  3. Adalah jadi tanggungjawab Gani Patail,AG,melepaskan "orang-orang kenamaan" sebab jika jerung-jerung ni dipenjara,akan malulah UMNO/BN.Contoh:Kes DSAI mata lebam.Semua anggota polis diBk.Aman tu tau DSAI dibelasah oleh IGP Rahim Nor tapi perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas baru tau yang tukang belasah tu,Rahim Nor.Sudah sampai masanya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Anti-Sorok(Kes Jenayah)untuk ambil alih "kuasa" yang ada ditangan AG agar Gani Patail ni tak berlagak sangat.Dewasa ni semua kes profile tinggi ditutup dan kalau dibawa kemahkamah pun dibebaskan kerana "tak cukup bukti".Ini semua cerita kartoon.

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum Wak parjoe 1.40, GB dan pembaca,

    Terima kasih Wak atas sumbangan itu. Hati Wak sungguh murni dan Wak adalah seorang yang mulia kerana sudi menderma. Aku ini pun patut di panggil Wak agaknya sebab dah berusia 63 tahun.

    Sejak aku di askar dulu lagi, aku dan kawan-kawan tak boleh tengok orang mintak sedekah dan hinggalah sekarang. Zaman aku jadi askar dulu gajiku hanya 47-Ringgit sahaja dibayar setiap dua minggu. Kanak-kanak, orang buta dibawa orang, cina masuk islam, orang Afghan dan sami budda pun yang sudi datang mintak kat aku, insaAllah aku bagi yang termampu. Hai bekas prebet askar manalah sangat duit simpanannya Wak.

    Di hospital bulan puasa lalu, di sebelah pesakit yang aku ziarahi pun aku diam-diam hulur sikit. Kat bawah ada keling cakap tak cukup duit nak bayar tambang balik glenmari entah kat manapun aku bagi yang termampu pasal dia sudi jumpa minta dekat aku.

    3-minggu lepas waktu malam lebih kurang jam 9.30 dalam perjalanan pulang beraya rumah adik ipar aku di Putra Jaya, keretaku overheated, maklumlah kereta dah 10-tahun dan terpaksa berhenti 3-kali top up air. Kali keempat kebetulan aku sampai di stesen Shell USJ. Masa mengisi air aku dihampiri seorang pemuda pada pandanganku dalam lingkungan umur 40-an bersama anak lelaki 4-tahun menolak motor honda buruk dengan suara pura-pura menangis dan minta tolong. Katanya isteri baru lepas bersalin ada di hospital Klang, nak keluar tak cukup duit nak bayar. Dah banyak orang dia tahan tapi tak ada yang dapat tolong.

    Lebih 5-minit juga aku berbual dengannya untuk mencari kepastian sambil menuang air ke tanki, macam hendak megena aku sahaja. Aku rasa kesihan dan cuba bagi RM50 tapi katanya tak cukup. Isteriku mendengar sahaja tapi akhirnya minta aku memberikan duitnya RM150.

    Cerita ni benar dan masih banyak lagi orang susah di negara kita. Aku cerita pun pasal Wak tanya. Minta maaf GB saya menyebuk sahaja, keluar topik banyak. Mudah-mudahan kita sama-sama diberkati Allah. Wasallam.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.