16 Okt 2010

Langkah Najib Benar KWSP Naikkan Pelaburan Luar 20% Resahkan MTUC

MTUC risau Najib naik had pelaburan asing KWSP

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini dibolehkan membuat pelaburan sehingga 20 peratus di luar negara agar “berhati-hati” kerana pasaran global lazimnya amat tidak menentu.

Setiausaha Agungnya G. Rajasekaran (gambar) berkata, MTUC sebagai badan induk yang mewakili kepentingan pekerja tidak pasti sama ada keputusan kerajaan untuk membenarkan KWSP menaikkan kadar pelaburan asingnya kepada 20 peratus sesuai atau tidak pada masa sekarang. Dalam Bajet 2011 diumumkan semalam, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah menaikkan kadar pelaburan KWSP di luar daripada tujuh peratus kepada 20 peratus.

“Ketika krisis ekonomi 2008, impak ke atas syarikat-syarikat besar adalah sangat serius di Eropah dan Amerika Syarikat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan mengulas kandungan Bajet 2011.

MTUC juga merupakan salah satu anggota dalam lembaga KWSP.

Oleh itu kata beliau, meskipun kerajaan membenarkan had baru itu panel pelaburan KWSP perlu dikenakan syarat agar mereka lebih berhati-hati dalam soal pelaburan di luar negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan, MTUC juga tidak bersetuju sekiranya syarikat-syarikat insurans mengurus dana pencen kerana pengalaman sebelum ini menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan keuntungan dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya kepada keperluan pekerja.

Rajasekaran juga berkata lebih tiga juta pekerja sektor swasta akan mendapat manfaat daripada langkah kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang dipertanggungjawabkan menentukan kadar dan mekanisma penetapan gaji minimum.

Beliau berkata tuntutan MTUC berhubung penetapan gaji minimum sudah berlarutan sejak 60 tahun lalu, dan kini ia akan direalisasikan.

Najib mengumumkan kerajaan akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja.

Rajasekaran menjelaskan perkara itu sudah lama dinantikan dan ia pasti akan dapat membantu golongan pekerja, terutama di kalangan pekerja miskin.

Menurutnya soal selidik kerajaan baru-baru ini mendapati bahawa kira-kira 34 peratus pekerja kini berpendapatan RM700 sebulan, iaitu di bawah paras RM720 yang ditetapkan sebagai garis kemiskinan. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.