26 Okt 2010

Khalilah Dilarikan Guru Pengkid - Ibubapa Terbang Dari Melaka Ke Kuching

Kuching: Sepasang suami isteri terpaksa ‘terbang’ ratusan kilometer dari Melaka, semalam, selepas mendapat tahu anak gadis mereka berusia 16 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak 23 hari lalu sedang bercuti di bandar raya ini bersama gurunya yang dipercayai seorang pengkid.

Abu Kassim Ismail, 58, dan isterinya, Faridah Hassan, 56, mendakwa membuat keputusan untuk datang ke Kuching sebaik mendapat tahu anaknya, Khalilah yang menghilangkan diri sejak 8 Oktober lalu, kini dipercayai berada bersama guru wanita berusia 24 tahun itu.

Abu Kassim yang bingung mengenai nasib Khalilah berkata, sebelum ini anaknya memiliki sifat baik dan tidak pernah membantah cakap ibu bapanya selain cemerlang mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Katanya, sebaik anaknya yang bersekolah agama di Melaka mengenali guru yang juga penyelia asrama berkenaan, pada April lalu, dia mengesyaki sesuatu pelik berlaku ke atas anaknya sehingga mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Khalilah tinggal di asrama.

"Guru itu pernah datang dan tidur di rumah, malah saya langsung tidak mengesyaki niat buruknya. Saya mula sangsi selepas mendapat tahu anak saya sudah lama tidak ke sekolah tapi berada di rumah guru terbabit,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu hanya disedari selepas Khalilah dilaporkan tidak pulang ke rumah sebaik tamat persekolahan di sebuah sekolah agama di Melaka pada 8 Oktober lalu.

“Pada hari kejadian, saya menghantarnya ke sekolah dan pada hari itu jugalah dia menduduki ujian. Namun, sehingga petang saya menunggunya, namun kelibatnya tidak muncul, sehingga saya membuat laporan di Balai Polis Jasin, Melaka,” katanya.

Abu Kassim berkata, dia hanya mengesyaki Khalilah berada di Sarawak selepas menemui keratan tempahan yang dibuat di sebuah agensi pelancong di kediaman guru terbabit di asrama sekolah anaknya.

“Kami kemudiannya ke agensi terbabit dan mengesahkan dia dan Khalilah bercuti di Sarawak,” katanya.

Katanya, kehadiran mereka ke Sarawak diperkuatkan lagi selepas guru berkenaan dikatakan memberitahu rakan kepada anaknya menerusi laman Facebook pada Jumaat lalu.

Usaha Abu Kassim menghubungi guru berkenaan bagaimanapun gagal selepas telefon bimbit dimatikan.

11 ulasan:

  1. Salam!Celaka punya guru ni bertaubatlah.............

    BalasPadam
  2. Tanya pihak berkenaan di kementerian pelajaran. Bagaimana proses pemilihan guru hingga terpilih individu yang semacam itu.

    Takkan institusi yang melatih bakal guru tak terkesan individu yang sepatutnya boleh dipertimbangkan semula sama ada dibenarkan atau tidak menjawat kerjaya keguruan itu.

    Macam-macam hal dan karenah guru-guru di malaysia sekarang. Itulah padahnya jika keguruan itu dijadikAN TEMPAT MENGISI KEKOSONGAN KERJAYA SEMATA-MATA.

    Patutlah tuk nenek kita dahulu awal-awal lagi dah sebut 'GURU kencing berdiri, MURID kencing berlari'.
    Dah timbul masalah barulah masing-masing pihak nak sibuk. Lebih terok ada pihak pula yang tumpang sibuk untuk menyibuk.

    BalasPadam
  3. Kepada anak-anak yang lain diharap jangan bertindak begini kerana ianya salah dari segi agama dan adat/moral. Tindakan begini merupakan perbuatan zalim kepada ibu bapa kita sendiri. Kenanglah sedikit sebanyak akan jasa-jasa mereka yang tak terbayar oleh kita sebagai anak.

    BalasPadam
  4. Prosedur perjalanan yang melibatkan kastam, imigresen dan lain-lain yang berkaitan hendaklah diperketatkan.

    BalasPadam
  5. Anon 0859; Anda tidak boleh meletakkan kesalahan kepada Kementerian Pelajaran yang membuat pemilihan. Guru ini bukan baru mengajar semalam. Pemilihan bukan dibuat minggu lepas. Perubahan kepada seseorang boleh berlaku akibat daripada pelbagai pengaruh. Anda sendiri, apakah tiada sebarang perubahan sejak dahulu hingga sekarang. Kalau tiada, anda amat malang. Perubahan ke arah positif memang yang sepatutnya berlaku kepada kita semua.

    BalasPadam
  6. Ada lagi daki-daki karat UBN yang tidak sanggup menerima kenyataan akan kelemahan mereka.

    BalasPadam
  7. Menyalahkan guru sahaja tidak menyelesaikan masalah. Ibu bapa harus memikul tanggung jawab yang lebih sebab depalah yang banyak menghabiskan masa bersama anak-anak depa. Ibu bapa harus bermuhasabah diri sebelum meletakkan kesalahan pada orang lain. Kan tu anak depa. Tak kan anak depa tu nakal, tidak berdisiplin, tidak bermoral akibat kecuaian guru. Jadi tugas ibu bapa ialah apa? tak kan tahu buat anak sahaja.
    Ingat, jangan sekali-kali kita letakkan kesalahan anak kita pada orang lain kerana ia sebenarnya cermin diri kita. Kamu boleh menghukum guru tersebut tapi bagaimana dengan ibu bapa yang cuai ni? Tak kan guru saja yang cuai? Entahlah .....

    BalasPadam
  8. Bangau oh bangau. Cikgu kata kepada mak bapak. Mak bapak kata kepada cikgu. Jika ibu bapa nak pantau guru mengajar, sibuk menjerit pihak guru melarang. Berbagai alasan dikemukakan.

    BalasPadam
  9. Anon 0415; hang ni mesti jenis masuk belah anak. Tak ke mana punya hang punya anak tu !

    BalasPadam
  10. jangan salahkan guru atau bakal guru..ini soal moral dan akhlak..sume dtag dr dlm dri masing2..dan kurg jge wajarnya kalo nk slhkan ibu bapa..walau ape cra pon kawalan ibu bapa pd ank, pasti ada 1 atau 2 jalan tikus tok anak2 kelaur tok membuat kesilapan...inilah lumrah hidup, kesilapan merupakan pengajaran..dan jdkan la pengajaran pd kte yg membace..

    BalasPadam
  11. Semuanya bergantung pada tahap keimanan masing2.
    Muhasabah diri masing2 :)

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.