12 Okt 2010

Jangan Biarkan Lebih Ramai Terkorban

Usah biar lebih ramai terkorban Oleh Ratinawati Rasidi(BH)



SUDAH terhantuk baru terngadah, pepatah yang sesuai untuk menggambarkan tahap kesedaran pengguna jalan raya di negara ini. Menurut kajian, 60 hingga 70 peratus kemalangan berpunca daripada sikap pemandu. Selebihnya, membabitkan masalah kenderaan dan persekitaran jalan raya.

Adakah perlu untuk kita melihat lebih ramai lagi terkorban dek kelewatan melaksanakan apa juga bentuk peraturan dan polisi. Kerajaan berusaha sedaya mungkin memperkenalkan peraturan mahupun jalan penyelesaian, tetapi adakah ia memadai? Sejauh manakah semua peraturan itu benar-benar difahami dan diamalkan. Adakah perlu kita gunakan alat perakam maklumat seperti kotak hitam atau menguatkuasakan penggunaan had kelajuan kenderaan untuk memantau sikap pemandu.

Tidakkah semua ini dilihat umpama memantau kanak-kanak yang belum mampu mengerti apa itu bahaya, mahupun kematian. Berapa banyak lagi akta atau peraturan yang perlu kita perkenalkan semata-mata memantau pelakuan pemandu atau pihak berwajib bersikap acuh tak acuh dalam menguatkuasakan undang-undang.

Baru kelmarin kita dikejutkan dengan kemalangan ngeri meragut 12 nyawa dan mencederakan 40 penumpang bas, kereta, van dan seorang penunggang motosikal.

Ops sikap ke-22 lalu mencatatkan 16,817 kemalangan berlaku dan angka ini sudah cukup membuktikan betapa pengguna jalan raya kurang mengambil iktibar daripada setiap kemalangan yang berlaku. Benar ia dilaporkan menurun 9.5 peratus, berbanding Ops Sikap ke-21 tetapi kemalangan ngeri tetap berlaku dan ia sebenarnya mampu dikurangkan jika semua pihak bekerjasama.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata tidak ada sesiapa yang mahukan kemalangan berlaku tetapi tragedi tetap berlaku atas sebab dan alasan tersendiri. Apa yang pasti, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedang menyiasat secara terperinci kemalangan itu.

“Di negara ini, apabila sudah berlaku kemalangan, baru orang sibuk memperkatakan siapa yang bersalah, ngerinya kemalangan dan punca kemalangan. Sebaliknya, kita gagal mengambil iktibar. Kita tidak pernah mengharapkan semua ini berlaku dan kita tidak mahu pun ia berlaku. Apa yang penting, sudah tiba masanya pengguna bekerjasama dengan kerajaan. Kerajaan tidak mampu bertepuk sebelah tangan dan jangan hanya memandang ia sebagai tragedi,” katanya.

Prof Dr Ahmad yakin sudah tiba masanya semua pengusaha bas mempraktikkan secara keseluruhan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) bagi mengurangkan kemalangan terutama bas ekspres. Kod amalan itu, mencakupi komitmen pengurusan tertinggi syarikat terhadap keselamatan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan risiko dan perjalanan dan pengurusan dokumen pengurusan kenderaan.

SHE tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994). Kod ini diperkenalkan pada 2007 dan Kabinet memutuskan untuk mewajibkan semua pengusaha kenderaan melaksanakan Kod Amalan SHE.

Mengulas penggunaan Alat Sistem Kedudukan Global (GPS), Prof Dr Ahmad berkata, penggunaan ‘technology in a vacuum’ bukanlah sesuatu yang digalakkan kerana Kod Amalan SHE dilihat lebih sesuai berbanding kebergantungan terhadap alat elektronik.

Walaupun diperkenalkan tiga tahun lalu, masih ramai pengusaha bas tidak memahami kod amalan SHE, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai salah satu syarat wajib lesen. Perkara ini pernah didedahkan Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Apabila kita ambil keputusan jadikan SHE syarat lesen, rupanya hampir semua syarikat tak faham apa itu jawatankuasa dan polisi SHE, inikan pula nak tubuhkan audit dalaman... mereka tak faham apa patut dibuat. Oleh kerana mereka tidak faham, kita tak dapat kuatkuasakan SHE.

“Jadi, sekarang kita nak beri kefahaman kepada mereka dulu. Justeru, selepas kita selesai memberi penerangan kepada mereka mengenai SHE, kita akan beri mereka tempoh tiga bulan untuk bangunkan ketiga-tiga elemen ini dan kemudian baru boleh kenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Berikut ialah senarai nama mangsa yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam kelmarin:

R Ramachandra, 52 – pemandu bas Ekspres Delima (Alamat: Batu 3 Kampung Tengah, Klebang Besar, Melaka)
Muhammad Farizuddin Talib, 19 – penumpang bas (Balai Panjang, Malim, Melaka)
Azizi Ajis, 20, – penumpang bas (Kampung Japis, Nyalas, Melaka)
Norazmi Abdul Karim, 24 – penumpang bas (Kampung Pondok Kempas, Selandar, Melaka)
Sharene Sofia Fadzry Tan, 18 – penumpang bas (Taman Semabok, Melaka)
Nur Shafika Baba, 19 – penumpang bas (Jalan Pokok Mangga, Melaka)
Ng Sok Kuan, 52 – penumpang bas (Sungai Udang, Melaka)
Pau Khaw Tual, 21 – penumpang bas (Warga Myanmar)
Kam Khaw Tual, 19 – penumpang bas (Warga Myanmar)
Cin Chwen Tuang, 30 – penumpang bas (Warga Myanmar)
Goo Chuan Heng, 34 – pemandu van Toyota(Taman Maju, Batu Pahat, Johor)
Pang Shi Moe, 57 – penumpang kereta Honda Accord (Taman Segar, Segamat, Johor)

Mangsa dirawat (mengikut hospital)

Hospital Tuanku Jaafar, Seremban – 23 orang (4 parah, 19 cedera ringan)
Hospital Melaka – 11 orang (2 parah, 9 cedera ringan)
Hospital Kuala Lumpur – 1 orang (parah dan kritikal)
Hospital Pantai, Melaka – 3 orang (parah dan kritikal)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.