14 Okt 2010

Gadis Dilarikan Jin Dapat Permata! Ulasan GB.

Dapat permata

JERTIH: Kisah gadis misteri yang semakin menarik perhatian orang ramai, Siti Balqis Mohd Nor, 22, bertambah unik apabila tujuh batu permata dipercayai delima, nilam dan zamrud tiba-tiba jatuh dari siling rumahnya, semalam.

Gambar: BUKTI...Norizan menunjukkan batu permata yang jatuh di rumahnya, semalam.

Lima daripada batu itu berwarna putih manakala dua lagi masing-masing berwarna biru dan hijau sebesar kira-kira duit syiling 20 sen.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Siti Balqis dan ahli keluarganya berada di ruang tamu dan mereka terdengar bunyi benda jatuh dalam biliknya.

Selepas membuat pemeriksaan, mereka menemui sebiji batu delima di atas katil.

Manakala batu kedua pula jatuh jam 2.45 petang di ruang tamu, diikuti batu ketiga pada jam 3 petang.

Kira-kira 20 minit kemudian, sebiji lagi batu delima jatuh di hadapan seorang jurukamera TV3 yang sedang minum bersama kru rancangan Misteri Nusantara di ruang tamu dan terpelanting pada kameranya.

Dua biji batu lagi jatuh kira-kira jam 6 petang di ruang tamu dengan salah satu daripadanya berwarna biru dipercayai nilam. Kira-kira sejam kemudian, sebiji batu berwarna hijau dipercayai zamrud pula jatuh di ruang tamu.

Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, dia menyifatkan penemuan batu terbabit sesuatu yang luar biasa dan mungkin ada hikmahnya.

Katanya, semua batu berkenaan kini disimpan dalam bekas khas yang direndam dengan air Zam-Zam. -hmetro


Balkis ghaib lagi

BESUT - Kejayaan dua bomoh yang mendakwa berjaya menangkap sembilan jin dan makhluk halus yang sering ‘menyembunyikan’ seorang gadis, Siti Balkis Mohd Nor, 22, kelmarin nampaknya tidak berjaya menghalang gadis itu daripada terus ghaib pada waktu senja.

Semalam, gadis itu ghaib lagi dan ditemui terkulai tidak sedarkan diri di atas pokok rambutan belakang rumahnya di Gong Nangka, Apal di sini.

Gadis itu didapati ghaib jam 7.30 malam semalam dari rumahnya iaitu kira-kira 30 minit sebelum ketibaan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat bersama tiga tokoh agama dari Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Difahamkan hajat Khazan membawa tiga pegawai YIT berkenaan bagi membantu merawat Siti Balkis dengan kaedah rawatan Islam namun tidak dapat berbuat demikian kerana gadis itu terlebih dahulu ghaib.

Kehilangan gadis itu semalam selepas berlaku sejak dua bulan lalu menggemparkan lagi orang ramai dan usaha mencari di merata tempat dilakukan tetapi dia gagal ditemui.

Bagaimanapun kira-kira jam 11.30 malam, ibu Siti Balkis, Norizan Said, 47, menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada anaknya memberitahu dia berada di celah batu di satu lokasi seakan-akan di Bukit Keluang, kira-kira 13 kilometer dari rumahnya.

Menerusi SMS itu juga, Siti Balkis meminta keluarganya membaca Yasin dan sehubungan itu Khazan mengadakan bacaan Yasin beramai-ramai.

Sementara itu pada masa sama, orang ramai, keluarga termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bergegas ke Bukit Keluang untuk mencari Siti Balkis namun tidak berhasil menemuinya, didakwa dia telah disorokkan ke tempat lain disebabkan kelewatan orang ramai tiba di situ.

Sehingga jam 1 pagi, Siti Balkis masih gagal ditemui dan Khazan bersama pegawai berkenaan pulang meninggalkan rumah gadis misteri itu.

Kira-kira 30 minit selepas Khazan beredar, penduduk kampung akhirnya menemui gadis itu berada di atas pokok rambutan hanya 20 meter di belakang rumahnya.

Kata keluarganya, ketika ditemui, Siti Balkis tidak sedarkan diri dan badannya tersangkut pada dahan pokok rambutan.

Dia dibawa turun ke bawah oleh orang ramai dalam keadaannya tidak sedarkan diri dan hanya sedar kira-kira jam 5 pagi semalam.

Semalam akhbar termasuk Sinar Harian melaporkan kisah bomoh tempatan yang mendakwa berjaya menangkap sembilan daripada sepuluh makhluk halus yang dikatakan sering mengganggu Siti Balkis. -SH


Ulasan GB

Macam dalam kisah Ahmad Albab pulak, jin boleh beri macam-macam harta karun. Sekarang dikisahkan pula jin boleh bawakan permata seperti delima, nilam dan zamrud. Siap dengan ada saksi lagi, dengan wartawan TV3 dengan kameranya bersama... Dihebohkan pula oleh blogger yang main tampal dalam blog ikut suka.

Nanti al-hasilnya, ramai tak percaya lagi majlis bacaan Yassin, ramai tolak kaedah agama. Lebih baik ikut cakap jin... dapat batu-batu permata... ghaib sekejap tak apa, asalkan dapat batu permata berharga "kurniaan" jin...

Inilah akibatnya apabila ilmu tauhid dan aqidah sudah kesasar jauhnya. Jin mengambil-alih mentadbir dunia, bukan lagi manusia menjadi khalifah. Akal kurniaan Allah sudah tidak berguna. Jin berkuasa bawakan itu dan ini, kata mereka... sedangkan ilmu tauhid mengajar kita "yang baharu tidak boleh memberi bekas" - samada mendatangkan menafaat atau mudharat.

Maka jadilah Terengganu dari sebuah darul-iman bertukar menjadi negeri jin bertendang.. dengan kisah Balkis ini, histeria di sekolah agama di negeri Terengganu... dihebohkan oleh wartawan yang ilmu tauhidnya juga empang-empang alang.. Ramailah yang terpesona dengan kisah ini, bukan sahaja UMNO, tapi ada sekerat dua dalam PAS yang berkopiah juga.. Dan jin runtuh itu khabarnya dah pergi ke Kedah juga. Semalam ada bangunan sekolah di Pokok Sena yang runtuh cederakan 10 pelajar, nak uji Mahfuz di sana. Jin ini, dibela dan diharapkan oleh UMNO akan runtuhkan kerajaan Kedah di sana.

Percaya kepada kuasa jin inilah timbul mendarem, timbul kisah politikus jumpa bomoh nak pertahankan jawatan, nak jadi YB sampaikan terjadi kisah Mona Fendy pun masih tak insaf-insaf lagi.

Dunia kita dibentuk oleh minda kita sendiri. pegangan kita sendiri, aqidah kita sendiri, ilmu yang pada kita sendiri. Apa yang ada di dalam fikiran kita, itulah kita. Kalau percaya jin tu yang boleh bawa permata, jadilah ia begitu. Maka hilanglah pengetahuan tentang kudrat dan iradat Allah yang menakluki segala yang maujud, maujud qadim dan maujud hadith. Hilanglah pengertian ayat kelima suratul fatihah (iyyaka na'budu waiyyaka nasta'in) dan ayat kedua suratul ikhlas (Allahus-Samad) yang dbaca saban hari.

Apabila ilmu tauhid sekangkang semut, maka runtuhlah aqidah sepertimana runtuhnya bangunan-bangunan di negeri Terenganu yang oleh politikus dan wartawan dikatakannya nanti, akibat jin-jin. Justeru itu, serunya lagi, mari beriman dengan jin - darul-iman juga namanya! - kata mereka.

5 ulasan:

  1. kisah ini patut di jadikan pengajaran dlm hidup pasal tuhan jdi kan dunia ini bukan utk manusia shja.itu yang patut di iktibarkan bukan cerita nya.hal demikian boleh berlaku di mana2 shja di negri tanah malasia ini.

    BalasPadam
  2. kah kah kah!
    padan muka melayu asyik ditipu, dengan orang kampung jerteh yang tak sekolah pun kena tipu.
    Kalau ditipu tokoh ugama terkenal ada kelas sedikit, penipunya cerdik, ini tidak dengan orang jerteh pun kena tipu.
    Kalau yang mengaku pandai agama dan ustaz menipu orang dengan kaitkan jin, saka dan sihir, mengapa pula orang kampung tak boleh menipu. Padanlah Ayah Pin tipu pengikutnya, beliau memerintah kerajaan langit.
    Yang hairan dan peleknya, permata yang diberikan Jin telah dicanai dan berkilat. Ini menunjukkan jin juga ada teknologi canai permata.
    Bodohnya melayu, dah lah bodoh kaitkan pula dengan agama.
    Nanti tengok nanti, pakai nombor orang beratur pergi berubat dengan budak sekolah tu. Boleh buat rumah batu lah bapanya.

    BalasPadam
  3. bagus ulasan GB... kena selamatkan org yg tersesat...

    BalasPadam
  4. dah ramai perempuan melayu dilarikan jin, tapi jadi kaldai dan dipenjara diluar negara

    BalasPadam
  5. Assalammualaikum,

    Susah mahu mempercayai dan bagaimana pula untuk menidakkannya. Memanglah ganjil dan menghayalkan.

    Cuba-cubalah kesana untuk melihat keadaan sebenar kalau betul gadis itu boleh dihilangkan. Tidakkah teknologi kini dapat menentukan batu apakah itu sebenarnya - nilam, zamrud atau sebaliknya. Betulkah ia dari langit? atau sahaja direka-reka.

    Apa pula kata wartawan yang telah berkunjung kesana?. Tentu boleh diceritakan apa yang dilihat, disentuh, dihidu dan didengari sendiri. Kiranya itu mahu dikatakan tahyul buktikanlah. Jabatan Agama tentu boleh menidakkan tahyul ini.
    Wasallam.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.