19 Okt 2010

[Bergambar] Kes Aminulraysid: Mahkamah Lawat Tempat Kejadian

Hari ini, hakim dan peguam yang terbabit di dalam perbicaraan kematian remaja 15 tahun Aminulrasyid Amzah yang didakwa ditembak polis telah melawat ke tempat kejadian di Seksyen 11, Shah Alam.

Saksi, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin juga telah memberi keterangannya semasa berada di Jalan Tarian 11/2 apabila kereta yang dipandu oleh remaja itu terbabas dan berlanggar apabila mangsa dan rakannya telah ditembak oleh polis yang mengejarnya.

Zafrullah yang tinggal di hadapan jalan yang mana kereta Iswara berkenaan terbabas telah memberitahu mahkamah bahawa dia terdengar bunyi tembakan dan siren sekitar jam 1.30 pagi pada 26 April. Beliau kemudiannya telah ternampak kereta itu berlanggar dari tingkap rumahnya itu.

Pada keterangan hari ini, Zafrullah turut berkata dia ternampak seseorang yang dipercayai Azamuddin Omar, 15, yang berada di kereta bersama si mati. Azamuddin dikatakan berlari dari kawasan itu menuju ke Jalan Wau 11/2 yang terletak lebih kurang 25 kaki dari kereta Proton Iswara tersebut.

Zafrullah pula ketika itu berdiri di bahagian belakang rumahnya yang kedudukannya lebih tinggi daripada kawasan perlanggaran yang terletak kira-kira 30 meter jauhnya.

Oleh kerana pintu belakang tidak mempunyai jalan ke lokasi berkenaan, Zafrullah ke luar melalui pintu depan dan perjalanan untuk sampai ke hadapan rumahnya mengambil masa kira-kira lima minit.

Zafrulah memberitahu mahkamah bahawa pintu pemandu dilihatnya terbuka tetapi beliau tidak dapat memastikan sama ada pintu penumpang depan rosak ataupun terbuka.

Kes ini akhirnya melibatkan seorang pegawai polis yang bernama Korporal Jenain Subi, 48, yang telah didakwa atas tuduhan membunuh tanpa niat pada kejadian antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu.

Sekiranya Jenain didapati bersalah, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.