21 Sep 2010

Zam Minta UMNO Lupakan PAS. PAS Jawab: Pinggan Pun Tak Retak...

Perpaduan Melayu: Zam minta Umno lupakan kerjasama PAS

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata perpaduan Umno dan PAS tidak akan menjamin kekuatan bangsa, sebaliknya tiga parti utama pengasas Barisan Nasional (BN) iaitu Umno, MCA serta MIC perlu memulihkan jati diri dengan tegas dan berani menerusi pendekatan baru, untuk menjamin masa depan negara.

“Umno seharusnya melupakan sahaja perpaduan Melayu menerusi PAS yang sejarahnya berakar umbi perkauman dan keagamaan dogmatik, sebaliknya bersama-sama dengan rakan-rakan sejatinya dalam BN menolak sentimen kaum masing-masing,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada umno-online.com.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam berkata Umno, MCA, MIC dan parti komponen BN yang lain sewajarnya meneruskan kerjasama membina dan seharusnya tidak membicarakan isu sensitif secara terbuka kerana ia tidak akan memulihkan kekuatan parti.

“Sebaliknya akan tambah meluaskan perasaan tidak puas hati apabila sesuatu tuntutan tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan dengan segera, ataupun menghadapi halangan,” katanya.

Beliau berkata BN juga harus menampakkan pemisahan identiti daripada golongan mencari kekuatan menerusi sentimen perkauman dan keagamaan dan di luar daripada formula serta nilai sosial yang telah diasaskan oleh parti Perikatan sejak sebelum merdeka.

Katanya, Umno dan BN mesti berani dan tegas mengimbangi kehendak yang munasabah serta realistik, selain tidak terikut-ikut dalam kerakusan pendemokrasian baru sehingga melupakan ancaman musuh sebenar.

Bagaimanapun, beliau berkata kekeliruan rakyat dalam hala tuju negara akan dapat diperbetulkan sekiranya semua parti komponan BN kembali kepada keperibadian asal dan jati diri, dengan hanya membuat pembaharuan pendekatan tanpa mengetepikan nilai asal serta kawalan sosial yang telah dibangunkan.

Zainuddin berkata perjuangan berasaskan ideologi, terutamanya agama, tidak mengenal tolak ansur, bersifat keras serta wajah manis mereka adalah bersifat sementara dalam menunggu kesempatan dan kuasa.

“Ketika itu, tentu sudah terlewat untuk rakyat, kerana yang sesal dahulu pendapatan, dan sesal kemudian tak ada gunanya,” kata beliau. – Bernama

Ulasan GB

Apabila melihat gelagat UMNO yang tersangat desperate ini teringat kita tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam. Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial-kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut.

Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut. Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.

Demikianlah kisahnya UMNO yang dah tak dapat nak melamar PAS sebab "garangnya" ahli-ahli PAS terhadap pemimpinnya yang satu ketika ingin berbaik malah ingin membenarkan UMNO merujuk PAS semula.

Kini, PAS berdiri teguh dan kita nyatakan kepada ZAM itu: Pinggan tak retak, nasi tak dingin... orang tak hendak, kami sebenarnya lagi tak ingin!


1 ulasan:

  1. Sudahlah Zam Zam Ala-Kazam.
    Ingat Najib nak pilih lu jadi calon PRU13 ke?
    Nasib dia pun belum tau.
    Lu pergi jual cendol lagi baik.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.