21 Sep 2010

Tengkorak Dan Rangka Manusia Ditemui Di PD. Jenayah Menjadi-jadi.

Polis temui tengkorak dan rangka manusia di tepi lombong

Gambar: Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Baljeet Singh (kiri) serta anggota unit forensik polis memeriksa rangka serta tengkorak manusia ditemui di tepi sebuah lombong di Jalan Sua Betong berhampiran Kampung Barisan dekat sini semalam. Rangka yang ditemui dalam keadaan terikat dengan wayar serta ditutup dengan selimut tebal itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk bedah siasat. Foto: Bernama

Port Dickson: Polis menemui tengkorak dan rangka manusia dipercayai seorang dewasa, di tepi sebuah lombong di Jalan Sua Betong berhampiran Kampung Barisan, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata rangka itu ditemui dalam keadaan terikat dengan wayar serta ditutup dengan selimut tebal.

"Keseluruhan mayat sudah reput dan hanya tulang yang dapat dikesan di situ," katanya, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penemuan berkenaan, beliau berkata seorang pemancing berusia 53 tahun menemui tengkorak itu pada Ahad lalu, namun dia yang tidak pasti dengan penemuannya bertindak menanam tengkorak berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas dinasihatkan rakan, dia membuat laporan polis semalam, dan sepasukan polis yang dihantar ke lokasi menemui rangka berkenaan.

Baljeet berkata pihaknya yakin mangsa dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang di situ.

Tengkorak dan rangka itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya yang turut meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222 atau balai polis berdekatan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.