28 Sep 2010

Siapa Serigala Berkulit Bebiri Dalam PKR?

Ada serigala dalam PKR? Oleh Siddique Ghouse

Bila Nurul Izzah menyebut adanya “serigala berkulit bebiri” dalam PKR beberapa hari yang lalu, kebanyakan ahli parti itu tercengang-cengang kehairanan; Bila pula adanya serigala seperti itu dalam PKR?

Apakah kenyataan seperti itu suatu sandiwara atau apakah ini benar-benar suatu peristiwa? Kalau Nurul bersandiwara, ahli parti kena tarik balik gelaran srikandi yang diberi padanya.

Jika ini peristiwa yang benar, ahli parti kena ambil berat dan tidak boleh main-main. Ini bukan sekadar cerita penglipur lara “The Shepherd Boy and the Wolf” dalam koleksi ceritera yang ditulis oleh Aesop.

Jika “serigala” itu hanya dijumpai di kota Kuching, tempat Nurul meneriakkan amaran serigala dan hanya akan “membaham bebiri” di persekitaran kota Kucing, barangkali Nurul tidaklah “cemas” sangat.

Dia mungkin boleh bisik-bisik kepada ahli dan pimpinan PKR di kota Kuching supaya “berjaga-jaga” kerana serigala itu sudah kelihatan di situ.

Tetapi apabila Nurul melihat serigala itu sudah merayau-rayau ke seluruh pelusuk kota dan desa di negeri satu Malaysia, untuk menjadikan dirinya “ketua bebiri” dan nantinya akan membaham lebih banyak bebiri dalam PKR, makanya Nurul sudah tentu menjadi amat cemas lalu meneriakkan amaran dengan nyaring “Awas ! Awas! Serigala itu sudah datang !!”

Dia memakai kulit bebiri, dia mahu jadi ketua bebiri! Dia akan membaham bebiri! Parti bebiri akan hancur tinggal tulang! Yang boleh bunuh; bunuh! Yang tidak boleh bunuh; lari! Lari!

Barangkali itulah teriakan dalam hati srikandi yang namanya Nurul itu. Hebat juga srikandi Nurul ini.

Tak nampak

Ahli-ahli parti juga hairan bagaimana srikandi Nurul boleh mengenali serigala itu walhal hampir semua pemimpin besar dalam PKR macam tak “perasan” adanya seekor serigala seperti itu dalam PKR.

Takkanlah ketua umum tidak nampak dan beri amaran awal. Takkan presiden, timbalan, naib, setiausaha dan pemimpin kanan PKR lain tak nampak. Hatta ketua strategik yang bertanggungjawab ehwal keselamatan PKR pun macam tak nampak juga.

Atau mungkin juga mereka betul-betul tidak nampak kerana barangkali kulit serigala itu “sebijik” macam kulit orang-orang besar dalam PKR.

Bila cerita serigala ini di dedahkan oleh srikandi Nurul, ramai orang tertanya-tanya dan pelbagai soalan timbul; macam mana Nurul boleh kenal serigala itu?

Bila agaknya kulit bebiri yang dipakai serigala itu terselak dan ternampak oleh wajah sebenar serigala itu?

Di mana Nurul nampak wajah sebenar serigala itu ? Di tengah-tengah majlis parti, atau di pejabat parti atau di rumah ketua parti - tempat di mana bebiri selalu bertemu dan berkumpul.

Dan persoalan yang paling dinantikan jawabannya ialah siapakah gerangannya pemimpin dalam PKR yang dikatakan serigala berkulitkan bebiri itu?

Mengikut Nurul pemimpin seperti serigala ini tidak harus diangkat menjadi pemimpin PKR. Jika baru masuk harus ditendang. Jika sudah lama di dalam parti dia harus diterajang, kerana itulah layanan selayaknya kepada serigala yang ganas yang menyembunyikan jatidirinya semata-mata untuk mempastikan matlamatnya dicapai, iaitu membaham mampus seluruh warga bebiri dan memusnahkan terus “parti bebiri” yakni parti PKR.

Siapa serigala PKR?

Apapun jua soalan yang dikemukakan, srikandi Nurul mungkin tidak akan mendedahkannya kepada umum siapakah yang dimaksudkan itu. Kecuali orang yang bertanya itu kenalan rapat Nurul atau orang yang dipercayai Nurul.

Yang pastinya orang itu bukan Datuk Zaid Ibrahim kerana semasa Nurul memberi amaran serigala dalam PKR di Kota Kucing tempohari, dia dengan jelas menyatakan bahawa ahli-ahli PKR harus memberi tempat kepada tokoh seperti Zaid Ibrahim.

Takkan pula Nurul nak sokong seorang tokoh yang bersifatnya “Serigala yang menyamar sebagai Bebiri“ yang akan membaham mati ahli dan parti yang diperjuangkan. Jadi tak mungkin serigala itu bernama Zaid.

Jadi siapakah yang dimaksudkan?

Nak kata naib presiden nombor satu, Azmin Ali itu berwatak serigala dalam PKR, barangkali tak mungkin juga kerana Azmin diketahui sangat rapat dan disayangi ketua umum. Takkan pula “serigala itu boleh masuk kandang bebiri sampai begitu dalam dan berkampung begitu lama” malah bergandingan erat pula dengan ketua umum.

Banyak “bual kosong” orang politik di kota yang berjiran dengan kota Kucing, heboh “menggosip” perihal gandingan mantap Azmin-Anwar yang sedang diatur sekarang ini dan gandingan itu katanya turut mahu “membaham” Zaid Ibrahim.

Tidak mungkin juga serigala itu naib presiden Mustafa Kamil Ayub kerana Mustafa amat dikenali sebagai budak baik, kerja rajin dalam PKR. Macam-macam projek dia buat untuk mempromosi PKR cumanya kekadang dia lebih banyak memperaga wajahnya yang lawa itu lebih dari imej PKR. Taring Mustafa belum nampak ada “kesan darah membaham bebiri”

Terbakar dan bisa

Kalau bukan dua Naib Presiden tersebut maka siapa lagi serigala itu kerana serigala yang dimaksudkan oleh Nurul itu adalah yang mahu menonjolkan dirinya sebagai pemimpin kanan PKR.

Barangkali serigala itu mengikut Nurul mahu menjadi timbalan presiden atau naib presiden kanan. Kalau serigala itu setakat mahu bertanding AJK Pusat, mungkin Nurul tidak kisah sangat dan tidak akan “sibuk-sibuk” menimbulkan isu yang panas seperti ini. Dia pasti akan turut “terbakar” akibat kepanasan isu ini, kerana “ngauman serigala” itu “bisa” membakar sesiapa sahaja yang berani mengganggu pelan strategiknya.

Jadi ahli parti kena mula teropong jauh ke dalam parti mengenalpasti serigala itu. Jangan sampai sudah banyak yang terkorban baru para ahli nak berkonvensyen dan merumuskan resolusi menghapuskan sang Ssrigala itu.

Dalam pemilihan PKR kali ini srikandi Nurul sudah memberi isyarat awal bahawa serigala itu sedang bersiap sedia untuk menjadi pemimpin utama parti dan Nurul amat resah jika serigala itu kali ini berjaya lagi sebab itu dia berteriak nyaring kali ini.

Mesej Nurul adalah supaya ahli parti segera menganalisis watak serigala ini dan segera mengenalpasti orangnya dan segera menghalau atau membunuhnya dari perkampungan PKR.

Orang yang berwatak serigala yang menyamar sebagai bebiri ini mengikut Nurul tidak boleh dibenar memimpin parti PKR.

Begitulaj mesej Nurul yang terkandung dalam ucapannya di kota Kuching, Sarawak yang dipetik oleh media alternatif yang ulung, yang antara lain berbunyi; “they should be aware of leaders who were just like a wolf wearing a sheepskin. It means he is being deceitful, dishonest and not to be trusted”

Berita ini tidak sempat berlegar luas di media alternatif lain kerana ia tiba-tiba tenggelam atau sengaja dipadam, selepas bermulanya pencalonan bagi jawatan utama PKR yang sedang rancak berjalan sekarang ini.

Ahli parti yang sempat mendengar dan faham mungkin sudah mulakan sesuatu untuk menghalau serigala ini. Namun ia tidaklah semudah meneriakkannya kerana serigala tersebut mungkin sudah punya ramai sekali pengikut dari kalangan “bebiri yang pekak dan bisu” yang sedang berkira-kira nak menjadi “ketua umum kepada Ketua JKKK” apabila serigala itu sudah memperoleh kuasa dalam PKR dan kerajaan Pakatan Rakyat tahun depan. -mk

4 ulasan:

  1. kenapa media UMNO macam sokong zaid sedangkan masa dihulu selangor dibelasah mereka?

    BalasPadam
  2. UMNO ada agenda melaga-lagakan pemimpin Pakatan Rakyat..

    BalasPadam
  3. dah lam UMNO rancang nak buat kekecohan masa pemilihan PKR. nak rosakkan imej PKR.

    BalasPadam
  4. Entahlah hanya Nurul yang tahu tp bagi saya mudah je...kalau Nurul tak sokong pemimpin berkenaan orang itulah serigala berkulit bebiri.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.