12 Sep 2010

Polis Periksa Tulang Berwarna Kelabu Kehitaman

Penyelam Polis Marin Cari Bahan Bukti Pembunuhan Sosilawati

Gambar: Anggota polis unit skuba bersiap sedia untuk menyelam ke dalam sebuah anak sungai Kancong Laut yang dipercayai tempat pembuangan abu mayat pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya berhampiran Ladang Gandong, Tanjong Sepat dekat Morib di sini, hari ini.-- foto BERNAMA

Pasukan penyelam Polis Marin, Ahad menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lain.

Tinjauan Bernama berhampiran sungai itu yang terletak di jalan utama menuju Banting-Tanjung Sepat mendapati pasukan polis memeriksa bahan yang kelihatan seperti tulang berwarna kelabu kehitam-hitaman.

Daripada pemerhatian, terdapat beberapa penandaan (marking) diletakkan pada bahan-bahan itu.

Memandangkan para wartawan tidak dibenarkan menghampiri kawasan operasi itu, mereka terpaksa berpusing di sekitar kawasan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Polis pada Ahad mengesahkan bahawa Sosilawati dan tiga orang lain mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Tiga orang lagi itu ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Operasi polis ini menarik perhatian orang ramai yang cuba memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Sementara itu, orang ramai turut berkumpul di satu kawasan yang terletak kira-kira 600 meter dari Ladang Gadong, tempat di mana mangsa-mangsa dipercayai dibakar.

Kira-kira pukul 6 petang, polis mengarahkan mereka bersurai dan hanya membenarkan wartawan berada di situ. - BERNAMA


2 ulasan:

  1. wahai MP UMNO...marilah bersama2 PAS menyokong hudud demi kesejahteraan kita semasa hidup di dunia dan juga akhirat...masih belum terbuka kah pintu hatimu wahai MP UMNO tentang kebenaran Islam yg kamu anuti....

    BalasPadam
  2. pemimpin UMNO hidup aman, rakyat hidup dalam ketakutan, jenayah meningkat dalam pemerintahan BN.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.