12 Jul 2010

Zahrain, Kamu Pengkhianat Yang Tidak Bermaruah

Surat Terbuka Americk Sidhu Kepada Zahrain Hashim

Zahrain,

Pertama sekali, cuba fahami beberapa fakta yang akan dibincangkan.

Anda dipilih sebagai Ahli Parlimen oleh majoriti pengundi di kawasan pengundian anda yang bersetuju dan menyokong manifesto parti yang anda wakili pada masa itu.

Ini bermakna majoriti pengundi di kawasan parlimen anda mengundi untuk parti pembangkang bagi mewakili mereka, dan jelas mereka tidak mahu Barisan Nasional mewakili mereka.


Itulah intipati yang sebenar dan bukan susah sangat untuk memahaminya, dan saya harap anda dapat terus bersabar mendengar penjelasan saya.

Tetapi sebaliknya, anda telah mengkhianati kepercayaan para pengundi yang memenangkan anda dengan meninggalkan kesemua prinsip yang anda dokong dahulu dan mengalih sokongan anda kepada BN.

Anda lakukan demikian tanpa meminta izin daripada pengundi yang mengundi anda di kawasan anda. Alasan bahawa anda adalah ahli parlimen bebas yang menyokong BN tidak menjustifikasikan kenyataan bahawa anda telah meninggalkan pengundi yang memilih untuk mewakili mereka, dengan mengabaikan keperluan dan aspirasi mereka ke arah sebuah bangsa dan masa hadapan yang lebih baik.

Biar saya beritahu anda apa seorang yang bermaruah sepatutnya lakukan dalam keadaan ini. Seorang individu yang mempunyai maruah sudah tentu akan mengosongkan kerusinya dan meminta pengundi kawasannya untuk memutuskan siapa patut mewakili mereka, walaupun individu itu telah mengkhianati pengundinya.

Anda tidak berbuat demikian, jadi pada pandangan saya, anda seorang yang tidak bermaruah. Anda kini hanya seorang ahli parlimen dengan alasan palsu.

Pada hakikatnya, anda langsung tidak harus menduduki kerusi di Parlimen kerana Ahli Parlimen patutnya mereka yang berintegriti dan mempunyai kehormatan diri, selain menjadi wakil sah yang dipilih oleh majoriti pengundi di kawasannya.

Sebagai seorang ahli parlimen dengan tiada integriti dan berpura-pura mempunyai prinsip yang telah mengkhianati pengundi yang memilih anda, saya tidak merasa anda berada dalam kedudukan moral atau berhak mengkritik tindakan ahli parti yang anda khianati. Anda juga pada masa yang sama bersembunyi di balik perikatan palsu yang telah anda cipta untuk diri anda sendiri dengan kumpulan yang dianggap rakyat Malaysia yang waras sebagai jelmaan syaitan.

Lebih mengejutkan, komen anda bahawa KEADILAN telah memasang 'jerat' politik untuk SPRM amat melucukan.

SPRM bertanggungjawab untuk menyoalsiasat P Balasubramaniam dan tidak ada apa-apa 'jerat' dipasang untuk SPRM. Malah merekalah mahaguru 'menjerat', bukan kita.

SPRM yang mula-mula menyatakan ingin menyoalsiasat Bala. Kita, sebagai peguam mewakili Bala telah melakukan segala termampu bagi membantu SPRM dan ini tiada kaitan langsung dengan KEADILAN.

Hanya kerana bukti yang ada pada Bala berpotensi menjejaskan pemimpin parti baru yang anda sokong tidak bererti itu adalah cerita yang dikarang oleh pembangkang. Cerita dongeng sebenarnya dikarang oleh rakan-rakan baru anda dan bukannya Bala.

Daripada kenyataan anda memuji tindakan SPRM membatalkan soalsiasat di London pada saat akhir jelas membuktikan betapa kuatnya sokongan anda kepada golongan yang berniat untuk memesong dan mengekang keadilan. Saya tidak lihat apa-apa sebab lain disebalik kenyataan anda itu.

Anda telah membuat beberapa dakwaan yang serius yang menjejaskan integriti saya sebagai peguam dengan kenyataan sembrono bahawa saya menyediakan skrip untuk dibacakan Bala kepada SPRM. Saya berharap anda mempunyai bukti yang kukuh kerana jika tidak anda akan kelihatan lebih bodoh daripada keadaan yang anda berada sekarang.

Anda nampaknya lebih mengetahui mengenai kecenderungan politik dan hubungan saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih dari saya sendiri.

Saya tidak pasti apa kredibiliti sumber kamu dan saya cadangkan anda mencari sumber lain kerana maklumat yang anda perolehi semuanya longgar. Saya ingin memberitahu anda bahawa malangnya saya bukan ahli KEADILAN tetapi saya harus mengaku melihat kepada perkembangan yang berlaku kebelakangan ini saya sedang membuat mempertimbangan serius untuk menyertai KEADILAN. Kenyataan anda yang tidak berasas telah menyemarakkan semangat saya menyertai perjuangan KEADILAN dan untuk itu saya ucapkan berterima kasih.

Anda mungkin sedikit kurang waras untuk memikirkan bahawa Zaid dan Anwar mempunyai tanggungjawab bersama untuk memujuk Raja Petra dan Bala kembali ke Malaysia dan 'menghadapi sesiapa pun".

Ini kerana pengalaman lalu di negara ini memperlihatkan sesiapa sahaja yang menjadi ancaman kepada golongan berkuasa akan mendapati diri mereka ditembak dikepala sementara mayat mereka diletupkan menggunakan bahan ledakan gred tentera di kawasan belukar.

Akhirnya Zahrain, apabila anda dan rakan-rakan baru anda memutuskan keluar daripada kepompong di mana anda dan rakan-rakan berselindung, anda akan menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak lagi sebodoh yang difikirkan untuk menerima apa sahaja sampah politik yang anda lemparkan tanpa menyoal.

Sungguh malang anda tidak berpeluang untuk hadir pada pelancaran 'Friends of Pakatan Rakyat' di London minggu lalu, kerana ia akan menjadi pembuka minda bagi anda, seperti juga kepada saya.

Kini saya sedar bahawa sejumlah besar warga Malaysia ingin melihat semua kesalahan dan kesilapan yang dilakukan masa lalu dibetulkan kembali, dan aspek yang paling terserlah pada pelancaran tersebut ialah sokongan padu yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.

Inilah Malaysia yang diingini semua. Bukan Malaysia yang anda dan rakan-rakan anda telah hancurkan dengan sifat tamak dan mementingkan diri sendiri.
-SK

2 ulasan:

  1. orang yg tidak berpendiriandan jati diri sebagaimana puak alkodoki tidak sepatutnya dibagi peluang menjadi peminpin,puak2 ni kalau jadi peminpin jahanam punahranah lingkup terus negara ini,puak2 ni hanya layak jadi pecacai umnoapco/bn untok buat lakwak supaya menarik perhatian rakyat.

    BalasPadam
  2. PKR yang jadi bebas sebenarnya dah jadi UMNO, tapi tak berani mengaku

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.