5 Mei 2010

Keterangan Saksi Utama Kali Ketiga Konsisten

Polis hari ini memanggil semula Azzamuddin Omar, 15, untuk memberikan keterangan dalam insiden remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis pada 26 April lepas.

Ini merupakan kali ketiga saksi utama insiden tersebut dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.

Azzamuddin tiba di IPK Selangor kira-kira jam 5.20 petang bersama seorang rakannya, peguambela N Surendran dan Latheefa Koya serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mohtar.

Dalam sidang media yang diadakan di luar IPK, Surendran berkata Azzamuddin telah memberikan keterangan yang konsisten kepada pegawai polis, DSP Nazri Zawawi.


"Azzamuddin telah ditanya dengan beberapa soalan tambahan berhubung insiden malam semasa Aminulrasyid ditembak mati.

"Kebanyakkan soalan kepada saksi telah ditanya semasa sesi keterangan sebelum ini dan beliau telah konsisten menjawabnya.

Menurut Surendran lagi pada sesi keterangan kali ini, DSP Nazri telah bertanyakan sembilan soalan dan antaranya ialah bilakah kali terakhir Azzamudin mendengar bunyi tembakan.

"Azzamuddin secara konsisten menjawab kali terakhir bunyi tembakan adalah sebelum kereta tersebut melanggar pokok dan dinding.

"Tembakan kali terakhir itu juga katanya semasa kereta tersebut masih lagi bergerak dan pada ketika itu, kereta peronda polis berada di belakang kereta mangsa.

"Selepas tembakan tersebut, Aminulrasyid rebah ke pangkuan Azzamuddin dan kereta tersebut kemudiannya melanggar penghadang jalan, pokok dan akhirnya merempuh dinding," jelas Surendran kepada media.


Surendran juga menegaskan walaupun sudah tiga kali memberikan keterangan, Azzamuddin telah menjawab soalan yang diajukan kepada beliau secara konsisten termasuk keterangan semasa sesi sidang media yang diadakan pada Isnin lepas. -SK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.