5 Mei 2010

Ahmedinejad: Iran Tak Ada Keluarkan Senjata Nuklear

New York: Republik Islam Iran menguasai perdebatan pada hari pembukaan persidangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan cara menghentikan percambahan senjata nuklear.

Tetapi di sebalik tabir, negara-negara anggota Majlis Keselamatan PBB sedang berbincang cara untuk menghukum Iran kerana melanggar arahan mereka supaya mengehadkan aktiviti nuklear yang boleh digunakan untuk membuat bom.

Presiden Iran Mahmoud Ahmedinejad menggunakan platform PBB sebagai satu-satunya ketua negara untuk berucap pada persidangan Perjanjian Anti-Percambahan Nuklear (NPT) untuk mengutuk hasrat Majlis Keselamatan untuk mengenakan sekatan terhadap negaranya.

Berucap di podium dewan perhimpunan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton menuduh Iran "melanggar peraturan" NPT kerana mensyaki Iran melaksanakan program pengkayaan uranium.

"Saya berharap kita boleh mencapai kata sepakat dalam Majlis Keselamatan mengenai langkah sekatan baru yang lebih ketat terhadap Iran," Clinton memberitahu para pemberita dengan menambah, "saya percaya hanya dengan cara ini, kita dapat menarik perhatian Iran."

Terdahulu, Ahmedinejad menolak tuduhan terhadap program nuklearnya dengan berkata, Washington tidak dapat tunjuk, walau hanya satu bukti, bahawa Iran sedang mengeluarkan senjata nuklear. Iran berkata ia mahu teknologi tersebut untuk menghasilkan kuasa nuklear.

Ketika presiden itu berucap, delegasi AS bertindak keluar dari dewan perhimpunan, disertai oleh beberapa delegasi dari Eropah, termasuk dari Perancis dan Britain manakala para pegawai peringkat rendah Iran mendengar Clinton berucap sehingga selesai.

Perdebatan di antara AS dan Iran ini menguasai suasana pada hari pertama persidangan selama sebulan itu untuk mencari jalan bagi memperbaiki NPT.

Perjanjian ini disemak semula setiap lima tahun pada mesyuarat melibatkan semua 189 negara anggota di dunia yang menandatangani NPT kecuali India, Pakistan, Israel dan Korea Utara. Empat negara ini sama ada telah mengesahkan atau dipercayai mempunyai senjata nuklear.

- AP

1 ulasan:

  1. USA, Britain, Perancis, China boleh ada senjata nuklear kenapa Iran tak boleh?

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.