3 Apr 2010

Hulu Selangor : BN Tersepit, Palanivel Hampir Pasti Dicalonkan, Umno Terus Gigit Jari?

Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel mengesahkan hanya namanya dicalonkan parti itu bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor untuk pertimbangan Perdana Menteri.

"Presiden MIC hanya pilih saya sebagai calon. Ini kerana saya adalah ketua bahagian (MIC Hulu Selangor), Pengerusi MIC Selangor dan Timbalan Presiden. Kalau tidak hanya satu nama, calon lain mari akan timbul persaingan. Itu akan menggegarkan cawangan MIC di seluruh negara," katanya kepada Bernama di Batang Kali di sini.

Difahamkan MIC sebelum ini menyenarai beberapa nama kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon pilihan raya kecil itu yang ditetapkan pada 25 April ini.

Palanivel, bekas wakil rakyat kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum tewas pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, disebut-sebut mewakili BN di kawasan itu walaupun ada desakan supaya diketengahkan calon daripada Umno.

Ditanya adakah beliau bersedia memberikan laluan kepada calon Umno, pemimpin nombor dua MIC itu mengakui ada usaha melobi calon lain, namun perkara itu terpulang kepada keputusan Perdana Menteri.

Pilihan raya kecil parlimen itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Penamaan calon ditetapkan 17 April ini.- BERNAMA


Kembalikan Kerusi Hulu Selangor Kepada Umno

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd Rahman meminta supaya kerusi Parlimen Hulu Selangor dikembalikan ke pangkuan Umno selepas hampir 51 tahun 'diserahkan' kepada MCA dan MIC.

Beliau berkata permintaan ahli-ahli Umno di kawasan berkenaan sepatutnya diterima pucuk pimpinan setelah hampir 10 penggal mereka bersabar dan beralah dalam isu itu.

"Pada pendapat saya, setelah lebih 50 tahun kerusi Parlimen Hulu Selangor terlepas dari tangan Umno, eloklah dikembalikan semula kerusi itu kepada Umno, tidak ada salahnya pun jika Barisan Nasional (BN) mengikut suara rakyat dan Umno meminta balik kerusi yang telah dipinjamkannya itu. Ini soal hak dan rintihan rakyat Hulu Selangor yang mahukan Umno kembali berkuasa di kawasan itu.

"Calon MIC sudah bertanding di Hulu Selangor selama enam penggal sejak 1986 dan tibalah masanya Umno meletakkan calonnya di pilihan raya kecil kawasan itu 25 April ini," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Sebelum ini, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu mencadangkan supaya timbalannya Datuk G.Palanivel mewakili BN untuk bertanding bagi kerusi parlimen Hulu Selangor.

Palanivel merupakan Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum kalah pada 2008.

Kerusi parlimen Hulu Selangor dimenangi calon wanita dari Umno, Halimathon Saadiah pada pilihan raya umum 1955, pilihan raya persekutuan yang pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan dua tahun kemudian, dan 'diserahkan' kepada MCA pada pilihan raya umum 1959 sehingga 1982 dan seterusnya 'diserahkan' kepada MIC pada 1986 sehingga kini.

Ramli yang juga bekas exco Selangor dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kalumpang, turut mencadangkan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu. - BERNAMA


1 ulasan:

  1. Ada can kuil yang jadi kecoh di Shah Alam hari tu pindah ke sana.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.