10 Mac 2010

UMNO Lepas Tangan Dalam Tragedi Natrah

Walaupun mengajak semua pihak bersatu dengan mengambil tragedi Natrah sebagai contoh, pimpinan Umno sebenarnya lepas tangan dalam memperjuangkan akidah gadis Belanda itu.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu sebelum diambil alih Umno, Said Zahari berkata, Umno tidak mengambil peduli isu berkenaan sebaliknya membiarkan tokoh pembangkang lain memainkan peranan.

"Umno sebagai parti tidak terlibat. Kecuali adalah beberapa orang pemimpin kelahiran Singapura antaranya (Tun) Saadon Zubir," katanya kepada TV Selangor hari ini.

Beliau mengakui Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman terlibat dalam perjuangan berkenaan tetapi Presiden Umno kedua itu pada masa berkenaan, belum menyertai Umno.

Said berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya meminta umat Melayu-Islam di negara bersatu dengan mengambil contoh tragedi Natrah.

Sebaliknya Utusan Malaysia dengan memetik kenyataan Muhyiddin cuba memutar belit sejarah kononnya semua parti termasuk Umno mendukung perjuangan terhadap Natrah.

Kenyataan itu dibuat pada pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, kononnya Umno bersama-sama Hizbul Muslimin dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bersatu mempertahankan kesucian Islam Natrah.

Tragedi Natrah atau nama sebenarnya Maria Hertogh di Singapura pada tahun 1950 hingga kini menjadi simbol perjuangan Islam dinegara ini.

Gerakan memperjuangkan akidah Natrah, bukan gerakan bersepadu parti politik sebaliknya didominasi tokoh parti pembangkang termasuk bekas Presiden PAS, Dr Burhanuddin Helmy.


Mengikut buku ‘Tragedi Nadra’, Umno tidak membuat apa-apa sebagai sebuah parti malah mengambil sikap berkecuali berikutan hubungan baiknya dengan penjajah, Inggeris yang ketika itu terikat dengan Perjanjian Inggeris-Belanda.

Malah, Presiden Umno ketika itu, Datuk Onn Jaafar dipetik sebagai berkata beliau 'enggan campur tangan kerana ia bukan isu politik, sosial mahupun keagamaan.'

Sehingga kini, tragedi yang menimpa Natrah dipadamkan dari lipatan sejarah tanah air lantaran ia tidak terkandung dalam skema pembelajaran sejak dulu lagi.

Malah, sebuah lagu berjudul Natrah yang mengisahkan tragedi menyayat hati yang didendang sebuah kumpulan rock sekitaar tahun 80-an, diharamkan penyiarannya. -TVS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.