17 Mac 2010

SMS Dedah PM, TPM Restu Ong Ka Ting Bertanding Jawatan Presiden MCA

Nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dikaitkan dengan pertandingan jawatan presiden MCA pada 28 Mac ini.

Pendedahan itu dibuat oleh bekas Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (kiri) pada satu majlis di Alor Star.

Laporan Bernama memetik beliau sebagai berkata khidmat pesanan ringkas (SMS) kini tersebar luas di seluruh negara yang mengaitkan keputusan Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding jawatan presiden MCA mendapat restu perdana menteri dan timbalannya.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Chua mendakwa SMS itu tidak benar dan hanya mencemarkan nama baik Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sejak semalam ramai perwakilan mendakwa menerima SMS, Ka Ting bertanding kerana direstui Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini tidak benar. Saya telah berjumpa Najib dan Muhyiddin selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang menyatakan mereka sayangkan MCA dan tidak akan campur tangan tangan dalam pemilihan parti," kata Chua.

Beliau seterusnya menggesa Ka Ting (bawah, kanan) yang juga bekas presiden MCA agar membuat penafian secara terbuka berhubung dakwaan sms berkenaan.

Kemelut dalam MCA hanya boleh diselesaikan dengan pemilihan yang bersih, katanya.

MCA akan berpecah

Chua juga melihat hasrat bekas presiden MCA itu untuk bertanding pada pemilihan parti 28 Mac ini akan menyebabkan perpecahan dalam MCA.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya, Chua berkata beliau belum membuat keputusan.

"Saya belum buat keputusan muktamad untuk bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden atau tidak sehingga selepas mendapat maklumbalas perwakilan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas setiausaha agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga merupakan abang kepada Ka Ting berkata nama Perdana Menteri tidak harus diheret.

Ini kerana katanya, Najib bukan ahli MCA.

Ka Chuan yang bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan 2008 juga berkata beliau tidak akan bertanding jawatan tertinggi parti itu kali ini untuk mengelakkan berlakunya masalah 'sensitif'.

Bukan salah kami adik beradik

"Bukan salah saya kerana kami adalah adik-beradik,” katanya sambil bergurau dengan pemberita di lobi parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga didakwa 'campurtangan' bagi menentukan kepimpinan MCA, tidak mahu mengulas lanjut mengenai hasrat Ka Ting untuk kembali ke arena politik dan saga MCA.

“Jangan heret saya dalam situasi ini. Saya berpendapat tidak adil bagi timbalan presiden BN untuk campurtangan dan membuat ulasan yang akan merumitkan lagi keadaan,” katanya.

“Saya fikir adalah lebih baik, bagi saya untuk tidak mengeluarkan kenyataan kerana ia mungkin ditafsirkan dalam bentuk yang berlainan.”

Beliau mengulangi keyakinannya bahawa MCA mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan yang terbaik bagi parti Cina itu.

Sebelum EGM parti itu tempoh hari, Muhyiddin pernah bertindak sebagai orang tengah bagi mencari jalan keluar di kalangan pemimpin MCA yang bertelagah. -mk



1 ulasan:

  1. Kata kawan-kawan yang jadi penganalisa politik, bila Ong Ka Ting bertanding, Dr Chua Soi Lek bakal terpinggir. Nak tunggu dalam MCA lagi? Belahlah sebelum jadi lebih aib.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.