1 Mac 2010

Bekas Setiausaha Agong PKR Broker Pemimpin PKR Keluar Parti?

Bekas setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Salehuddin Hashim hari ini secara terbuka mengakui lebih ramai Ahli Parlimen parti itu akan keluar — dipercayai lebih daripada 10 orang.

Menjawab soalan desas-desus akan ada 10 anggota Dewan Rakyat akan keluar dalam waktu terdekat, Salehuddin (gambar) membayangkan jumlah itu “mungkin lebih.”

“Ya (akan ada yang akan keluar)... tolak kumpulan sosialis, tolak NGO, tolak kroni... anda kira sendiri, anda akan dapat jawapan,” kata beliau kepada wartawan ketika menemani Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng umum keluar PKR dan jadi Ahli Parlimen Bebas di sini.

Justeru itu apabila ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) akan memperoleh balik majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, beliau yang turut telah keluar PKR bulan lalu memberitahu:

“Mereka keluar jadi ahli bebas, Pakatan Rakyat akan hilang satu pertiga (kedudukan kerusi) tetapi tidak bermakna BN akan menang (dapat balik) majoriti dua pertiga,” katanya.

Salehuddin juga berkata Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan apa yang patut untuk memujuk supaya tiada lagi wakil rakyat keluar PKR.

“Tetapi jangan sangka yang keluar parti itu tiada semangat reformasi.

Salehuddin juga mengaitkan perkembangan semasa ini berpunca daripada sikap pucuk kepimpinan parti “mengejek mereka yang keluar PKR macam kebudak-budakkan.”

“Bila-bila lama-lama ejek orang, maka orang keluar, rumah kita sendiri tak ada orang lagi, kita seorang sahaja,” katanya.

Selain itu katanya sikap kepimpinan yang mengamalkan “pelukan asmara” dengan hanya gemar menerima orang baru tetapi pada masa yang sama meminggirkan ahli dan pemimpin lama menjadi punca kepada keadaan sekarang.

Ditanya sama ada beliau yang memainkan peranan mendalangi tindakan wakil rakyat dan pemimpin PKR keluar parti, Salehuddin dengan ketawa besar menjawab: “Adakah anda maksudkan saya pengarah strategi, saya nak kata saya tidak pernah gigit orang, saya bukan pengarah strategi.”

“Saya dijemput oleh Tan Tee Beng,” katanya dengan diturut diakui Tan sendiri.

Hari ini Tan mengumumkan keluar parti, sekali gus menjadi wakil rakyat Bebas.

Tiga minggu lalu Salehuddin juga hadir pada sidang media Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim yang mengambil pendirian yang sama.

Ketika ditanya sama ada tindakan ahli-ahli Parlimen PKR menjadi wakil rakyat Bebas akan mewujudkan blok baru di Parlimen, Salehuddin berkata, anggota PKR sudah mengambil pendirian mereka dan kemungkinan ada wakil dalam DAP dan PAS juga mahu berbuat demikian.

Kini di Parlimen BN mempunyai 137 kerusi manakala PKR dan DAP masing-masing 28 dan PAS pula 23 serta seorang dari Parti Sosialis Malaysia. Lima yang lain ialah wakil rakyat Bebas termasuk dua bekas anggota PKR.

BN memerlukan 11 kerusi untuk kembali menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen. -MI



2 ulasan:

  1. hal ni tok moh kat wartamaya mesti tahu bab cerita ni .

    rahsia leman duit 20 j pun dia tahu.

    Iss Iss Iss bijak betul tok moh ni.

    otak skrew driver

    BalasPadam
  2. Bila kita dengar Salehuddin Hashim berkata .. "tolak kumpulan sosialis, tolak NGO, tolak kroni... anda kira sendiri, anda akan dapat jawapan"... seolah-olah ramai ahli akan meninggalkan parti PKR dan ada kemungkinan yang tinggal hanya Datok Seri Anuar dan isterinya saja...?

    Untuk pengetahuan Salehuddin Hashim...

    Kalau orang dalam parti dah tak suka pada anda menunjukkan bahawa anda adalah ahli politik yang lemah.

    Buat apa duduk sebumbung lagi kalau orang lain dah tahu kelemahan diri anda....semangat berkobar-kobar tapi tenaga tidak ada.

    Memekak sana memekak sini bukannya orang simpati pada anda, tetapi bertambah menyampah. Oleh kerana itu keluar sajalah dan cari parti baru.

    Dalam parti baru tu nanti serah pada nasib kalau "Untung sabut timbul, kalau untung batu... goodbye... duduk elok-elok dan buat bodoh macam ahli UMNO.

    Parti PKR tidak pernah takut kehilangan ahli yang bermasaalah sehingga parti itu akan terus jadi parti pembangkang, tapi kalau diberi peluang parti PKR jadi parti pemerintah....alhamdulilah..!

    Oleh kerana itu adalah lebih baik penyokong setia PKR raikan kepada sesiapa saja yang ingin meninggalkan parti dengan ucapan...

    "SELAMAT JALAN ROMEO..."

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.