8 Mac 2010

93% Berpendapat Yang Keluar Parti Perlu Juga Kosongkan Kerusi

Undian SMS Edisi 7 menyatakan 93% berpendapat mereka yang kelaur parti perlu juga mengosongkan kerusi mereka. Itulah suara rakyat.

Sementara itu, semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh mencabar empat anggota Parlimen yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 15 Mac ini.

"Saya mencabar mereka tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat kelak bagi membolehkan kerusi dalam Dewan Rakyat dikosongkan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya perkara 52 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang anggota Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat selama satu penggal maka jawatan ahli Parlimen akan gugur secara automatik.

Empat anggota Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan Zulkifli Nordin (Kulim/Bandar Baru).

Karpal Singh berkata oleh kerana DAP merupakan anggota dalam pakatan pembangkang, beliau menyifatkan mereka sebagai satu keluarga dan berhak mencampuri urusan PKR.

"Jika mereka mengatakan pemilihan mereka berdasarkan pilihan rakyat, saya cabar mereka meletak jawatan dan satu pilihan raya (kecil) diadakan untuk membuktikan kemenangan mereka memang dipilih oleh rakyat dan mereka harus ingat, jangan bermegah kerana mereka menang pun atas tiket PKR," katanya.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor yakin tiada lagi pemimpin PKR akan keluar parti kerana mendakwa "pengkhianat" dalam PKR sudah tiada.

"Saya yakin selepas ini tiada lagi yang akan keluar parti walaupun Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui PKR menghadapi masalah apabila beberapa wakil rakyat keluar parti itu namun saya lihat ia satu proses pembersihan parti," katanya.



2 ulasan:

  1. suara rakyat juga tak mahu BN/UMNO perintah malaysia lagi...

    BalasPadam
  2. semua kerusi UMNO juga patut dikosongkan, nak test sokongan rakyat

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.