24 Feb 2010

Lelaki Sydney dituduh bunuh pemandu Konsulat Malaysia

Seorang lelaki warga Sydney berusia 55 tahun menghadapi pertuduhan memukul hingga mati pemandu Konsulat Malaysia, Mohd Shah Saemin, di Leichardt, pinggir bandar Sydney, Ahad lalu.

Polis berkata, lelaki itu ditahan malam tadi oleh detektif daripada Skuad Homisid dan polis Leichhardt di sebuah rumah di Brighton Street, Croydon.

Dia dituduh membunuh Mohd Shah, 43, dan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum kes itu disebut di Mahkamah Tempatan Burwood lewat hari ini.

Siasatan kes pembunuhan itu masih diteruskan, menurut laporan Sydney Morning Herald.

Mohd Shah dikatakan diserang dengan tukul besi dan ditikam oleh dua lelaki di luar unit kediamannya di Marion Street, Leichhardt, kira-kira tengah malam Ahad.

Seorang wanita yang mendakwa menyaksikan serangan itu dan cuba meleraikannya, mendapat pujian kerana usahanya itu.

Mohd Shah yang berasal dari Melaka dan tinggal di Australia sejak beberapa tahun lalu menjadi warganegara Australia dan bekerja sebagai pemandu di Konsulat Malaysia di Sydney.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata jenazah Mohd Shah akan tiba di Kuala Lumpur sama ada esok atau Jumaat.

Polis meminta sesiapa saja yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau unit Pembanteras Jenayah di talian 1800 333 000. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.