3 Feb 2010

Lagi Mengenai Laungan Reformasi Semalam

Perbicaraan konspirasi II mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini diiringi doa ribuan penyokongnya yang sedia menanti di tingkat bawah Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Laungan reformasi bergema lagi petang tadi dengan diketuai oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

Chegu Bard yang ditemui Tv Selangor menyifatkan apa yang berlaku pada hari ini sebagai sambungan kepada kebangkitan reformasi 1998 dan ianya merupakan pergerakan yang lebih besar kepada menyatukan kaum Melayu, Cina dan India.

“Apa yang berlaku pada hari ini kita tidak melakukan mobilisasi secara rasmi, yang berlaku ini ialah pergerakan rakyat secara organik dan saya yakin dan jelas bahawa angin kebangkitan tahun 98 itu dapat saya hidu. Hari ini dapat saya lihat petanda jelas, dan lebih jelas lagi 98 hanya ada sekumpulan anak muda Melayu dalam kelompok yang besar, dan hari ini kita ada muka-muka baru. Anak muda Melayu, Cina dan India, muka-muka baru yang terpisah dalam gerakan 98” ujar Chegu Bard.

Selain Chegu Bard, penyokong yang lain juga punyai pendirian mereka sendiri mengapa mereka berkumpul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Nama saya Lim. Saya datang dari Ipoh. Tujuan saya datang adalah untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

“Semua orang miskin sokong Anwar, sokong reformasi. Tadi masa saya mahu masuk, polis kacau. Ini pukul 2.30 polis tidak bagi jurukamera dan wartawan pula masuk” ujar Sasikumar pula.

Sementara menurut seorang lelaki tua yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ya berharap, kebenaran akan muncul kerana beliau percaya Anwar adalah mangsa fitnah kerajaan UMNO-BN.

“Saya Pak Ya. Saya datang dari Permatang Pauh. Saya datang untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar sebab kita tahu perbicaraan dia kebanyakannya berunsur fitnah. Akal saya tidak dapat terima. Bagi pandangan saya dia seorang yang agak warak. Orang seperti dia difitnah, memang tidak patut” katanya.

“Minta doa supaya Tuhan beri kemenangan kepada dia sebab kita rasa sayang kepada dia. Puak-puak UMNO memang sengaja hendak menjatuhkan dia” tambahnya lagi.

Menurut Pak Ya, beliau bersama rakan-rakan yang lain bertolak jam 12 malam tadi semata-mata untuk memberikan sokongan kepada Anwar.

Manakala bagi Rajenand pula, meski apa pun yang berlaku, beliau sentiasa memberikan sokongan yang padu kepada Pakatan Rakyat kerana yakin hanya gagasan ini yang telus dalam pemerintahan.

“Di tempat saya, Pakatan Rakyat, Keadilan, PAS atau DAP, saya sokong. BN saya tidak sukalah. Pagi dalam pukul 4.30am, lebih kurang 5 berada di Petronas Gopeng, dalam pukul 9 pagi sampai di sini”. -TVS


1 ulasan:

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.