24 Feb 2010

Konspirasi II: PR Akan Lawan Habisan Pembohongan Umno

Pakatan Rakyat akan menghantar perwakilan ke Australia dan Amerika Syarikat dalam masa terdekat bagi menjelaskan kedudukan sebenar berhubung perbicaraan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perwakilan yang diwakili oleh pimpinan KEADILAN, PAS dan DAP dijangka menemui 50 Ahli Parlimen Australia yang menghantar petisyen kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra bagi mendesak supaya kes datuk Seri Anwar digugurkan manakala di Amerika perwakilan itu akan bertemu Senator John Kerry, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika. Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata tindakan itu wajar dilakukan memandangkan Pakatan Rakyat tidak mahu pihak kerajaan Malaysia memberikan persepsi yang berat sebelah dan salah kepada dunia luar.

Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay berkata baru-baru ini Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra akan mengadakan sesi penerangan minggu depan kepada 50 Ahli Parlimen Australia berhubung perbicaraan kes Datuk Seri Anwar.

"Kemungkinan saya sendiri akan menyertai rombongan Pakatan Rakyat ke luar negara bagi memantau kenyataan dan penjelasan yang diberikan oleh pihak Kementerian Luar dan kami juga akan memberi penjelasan yang sebenarnya.

"Kita mesti pastikan Kementerian Luar tidak berbohong kepada wakil kerajaan asing dalam kes Datuk Seri Anwar dan kita akan sedaya upaya patahkan segala hujah palsu dan pembohongan Umno dan Barisan Nasional," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu ketika dihubungi Suara Keadilan.

Jelas beliau pada masa sama Pakatan Rakyat juga akan berusaha meraih sokongan dunia luar dalam usaha mendesak kerajaan bagi memastikan kes yang dihadapi Datuk Seri Anwar dilaksanakan dengan adil dan mengikut lunas perundangan negara.

Ahli politik veteran itu juga berkata tuntutan negara asing seperti Australia dan Amerika Syarikat yang mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak memastikan sistem perundangan berjalan yang adil berkaitan kes Datuk Seri Anwar sewajarnya membuka mata pemimpin negara ini bahawa segala tindak tanduk mereka diperhatikan dunia luar.

Menurutnya lagi tumpuan masyarakat antarabangsa bukan sahaja terhadap perjalanan perbicaraan malahan sistem kehakiman negara juga turut diletakkan di bawah teropong negara luar.

"Kini seluruh dunia sedang memerhatikan kes Datuk Seri Anwar dan juga sistem kehakiman negara kita sama ada benar-benar adil dalam membuat keputusan atau masih mengamalkan "double standard" seperti dahulu," tegas Karpal. -SK

2 ulasan:

  1. rakyat dah tahu, sekarang terang kepada pelabur asng pula.

    BalasPadam
  2. terang dengan jelas kepada negara luar kezaliman UMNO

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.