21 Feb 2010

JK Disiplin PAS Perlu Dibebaskan

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyokong cadangan supaya perlembagaan PAS dipinda bagi membolehkan jawatankuasa disiplinnya dipengerusikan oleh pihak yang benar-benar bebas dan tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.

Mustafa diminta mengulas gesaan timbalan pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar baru-baru ini supaya pindaan perlembagaan dibuat bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dan perasaan serba salah dalam mengadili sesuatu kes.

Isu tersebut muncul setelah keputusan jawatankuasa pimpinan naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap dua pemimpin kontroversinya – pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad – pada 29 Januari lalu dianggap berat sebelah.

Walaupun anggota jawatankuasa disiplin PAS perlu dilantik daripada kalangan tokoh yang benar-benar bebas, tetapi perlembagaan PAS mensyaratkan, pengerusinya mestilah mempunyai jawatan di peringkat pusat.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Mustafa menerangkan cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan tersebut, telah dibincangkan, tetapi belum ada sebarang kata putus dibuat.

“Sudah berjalan secara perbincangan umum, tetapi belum ditulis untuk jadi pindaan. Kita tidak buat (pindaan tentang) satu perkara, (tetapi) banyak perkara. Kita tidak hendak tiap kali muktamar, (dibuat) pindaan perkara-perkara kecil,” katanya.

Orang lama PAS itu menjangka, cadangan tersebut turut akan dibangkitkan dalam muktamar agungnya yang akan datang dijangka diadakan antara Mei dan Jun ini.

Menjelaskan rasional pemilihan Tuan Ibrahim, Mustafa berkata, “beliau yang palik layak” memikul tanggungjawab tersebut.

Menurut Mustafa, PAS tidak boleh menunggu pindaan perlembagaan dibuat untuk menentukan nasib Dr Hasan dan Khalid kerana “kes sudah ada”.

“Kes sudah ada, takkan kita hendak tunggu pindaan perlembagaan (baru bertindak). Kita menaruh keyakinan orang yang dilantik (sebagai pengerusi) itu mempunyai kewibawaan untuk membawa keadilan.

“Dan kalau itu pun (mengundang) tidak puas hati, ada salurannya untuk dikemukakan perkara itu,” katanya. -malaysiakini

Ulasan GB

GB telah mengkritik Jawatankuasa Disiplin Parti di dalam beberapa siri entri yang lalu yang tidak jelas siapa yang melantik mereka, atas kapasiti apa mereka dilantik, mekanisme apa yang digunakan didalam perlantikan itu dan setakat mana ilmu kehakiman yang mereka ada untuk menjadi seorang anggota yang mampu menjalankan keadilan di dalam parti.

Ramailah juak-juak UG bangkit menempelak GB lantarannya.

Kini, ternyata apa yang GB utarakan adalah benar bahawa Jawatankuasa Disiplin Parti perlu ditukar ahlinya, perlu dirombak, perlu diperkasakan supaya ianya tidak bias dan dapat melaksanakan tugas menegakkan kebenaran dan keadilan untuk semua.

Dan apabila diakui bahawa JK Disiplin parti perlu dibebaskan segera ini bererti keputusan JK Disiplin yang lalu terhadap kes Hassan Ali dan Khalid Samad adalah terbatal dan tidak boleh diakui sebagai adil dan saksama. Ia perlu dibicarakan semula.

Kita sering persoalkan keadilan di dalam sistem kehakiman di dalam negara kita yang dilihat tidak adil, berpihak dan begitu bias, sedangkan lembaga disiplin parti kita 2 x 5.

Dan bukan sahaja JK Disiplin parti yang perlu di"bebas"kan, malah pimpinan tertinggi parti juga perlu dibebaskan dari cengkaman kumpulan yang mengkhianati perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan parti.

Kita tidak perlu takut dan melayan golongan pengampu dan pencacai yang berhiruk-pikuk mendabik dada kononnya merekalah pejuang PAS sejati dan melabelkan orang lain dmunafik dan seumpamanya.

GB yakin kebenaran itu tetap akhirnya akan menang melawan kebatilan. Kerana demikian janji Allah.

2 ulasan:

  1. Allah berpihak kepada yang benar dan akan menghancurkan yang batil. teruskan perjuanganmu di alam siber ini GB.

    BalasPadam
  2. Jangan pulak nanti JK Disiplin dipenuhi oleh juak-juak dari Terengganu dengan alasan kelayakan mereka. Kalau macam tu sampai bila pun cerita ni tak habis.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.