19 Feb 2010

Benarkah Ustaz Abd Hadi Berkata Demikian?

Presiden Pas selar Ahli Parlimen Australia - Bernama

KUALA TERENGGANU: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini menyelar tindakan beberapa Ahli Parlimen Australia untuk campur tangan dalam kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau mahu perkara itu diselesaikan mengikut sistem kehakiman negara ini tanpa dipengaruhi oleh anasir luar.

"Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia, saya mahu negara kita menjadi sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlulah kepada campur tangan asing apatah lagi dari negara Barat, negara bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan himpunan pemuda Islam Kuala Terengganu di Kuala Ibai dekat sini.

Baru-baru ini, 50 penggubal undang-undang Australia itu telah meminta Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat terhadap Anwar.

Tindakan mereka ini dikecam hebat pelbagai pihak di negara ini kerana dilihat cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Abdul Hadi, bagaimanapun, berkata Pas tidak bercadang untuk mengemukakan sebarang bantahan berhubung campur tangan Ahli Parlimen Australia itu.

Beliau mencadangkan badan kehakiman negara ini diletakkan di bawah Parlimen atau Majlis Raja-raja bagi mengelak badan itu dipengaruhi mereka yang berkepentingan.

Mengenai cadangan Pas untuk menjalin kerjasama dengan Umno dalam isu keselamatan, ekonomi, agama dan politik, Abdul Hadi berkata Pas sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk muzakarah dengan Umno.

"Kita bersikap positif sepanjang masa dalam perkara yang positif, yang baik dan kita akan bekerjasama," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan seperti yang pernah dicadangkan dahulu tidak akan berlaku.

Ulasan GB

Ya itu persoalannya: benarkah Haji Hadi berkata demikian?

Jika benar nampaknya ia selari dengan suara para pendemo tempohari oleh Ibrahim Ali dari Perkasa, UMNO dan BNBBC yang dikatakan membantah campurtangan Australia di dalam urusan kehakiman di dalam negara ini. Dan sewajarnya Presiden PAS telah menyertai demo berkenaan.

Sedangkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini telah mengecam tindakan Ahli-ahli Parlimen daripada juak Umno-Barisan Nasional (BN) yang membuat demonstrasi di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia itu, sebagai tidak wajar dan tidak mewakili hati dan pemikiran mereka.

Malah demonstrasi itu jelas menunjukkan ketakutan pihak Umno-BN yang mendapat tekanan daripada 50 Ahli Parlimen Australia baru-baru ini, meminta kerajaan Malaysia mengugurkan pertuduhan kes liwat terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli-ahli Parlimen PR sepakat akan menghantar memorandum kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail agar menggugurkan pertuduhan ke atas Anwar secepat mungkin.

Malah mereka akan memohon satu tarikh bagi mesyuarat tergempar kepada Speaker Dewan Parlimen, Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Mulia sebelum Parlimen bersidang Mac depan.

Sementara itu menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kes itu perlu ditarik balik kerana tidak mahu Malaysia dan badan kehakiman secara keseluruhannya dianggap sebagai raja lawak.

Jika kenyataan Hj Hadi itu tidak benar dan diputarbelitkan oleh media arus perdana, sekali lagi Presiden PAS perlu membuat "pembetulan" setelah pembetulan dilakukan terhadap satu kenyataannya yang lain sebelum ini yang dikatakan telah diputarbelit oleh Utusan Malaysia.



Utusan Malaysia putar belit kenyataan Presiden PAS
Oleh Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Akhbar Umno, Utusan Malaysia telah mengambil kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita bertajuk "Umno mula alami perubahan yang baik - Hadi" dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan.

Jelas, apa yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah berbeza.

Berikut adalah kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.

S: Datuk Seri, boleh perjelaskan sedikit apa yang dikatakan percanggahan pendapat antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz dengan Presiden PAS dalam isu perbincangan PAS dengan Umno?

J: Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Dato’ Nik Abdul Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam. Agama dengan politik dengan sosial dan sebagainya. Apa sahaja masalah dalam dunia ada kaitan dengan agama. Di mana, Tuan Guru Nik Aziz bercakap dalam konteks ‘ad-deen’ (agama dengan cara yang menyeluruh) dan saya mungkin menyentuh aspek-aspek tertentu. Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Guru Nik Aziz.

S: Ini bermakna, apa yang diperkatakan orang tentang berlaku percanggahan itu jauh sekali berlakunya?

J: Tidak…kita mesti memahami agama mengikut definisi Islam dari perkataan ‘ad-deen’ yang disebut al-Quran oleh Tuhan. Berbeza dengan agama yang diterjemahkan ‘religion’ dalam bahasa Inggeris atau agama dalam bahasa ‘Sanskrit’. Di mana, Islam adalah ‘ad-deen’ bukan sahaja agama, bukan sahaja ‘religion’ termasuk di dalamnya cara hidup ‘way of life’ yang termasuk di dalamnya politik, ekonomi, sosial dan segala perkara yang berkait dalam urusan kehidupan manusia secara individu dan masyarakat, secara bangsa dan antarabangsa, secara globalisasi.

Berkait dengan segala aspek yang menjadi tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini. Apa yang disebut oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz ialah tentang surat yang dihantar kepada Perdana Menteri. Surat itu menyatakan PAS sedia berbincang dengan Umno dalam aspek Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini sebagai satu penyelesaian cara hidup bagi negara kita. Setelah kita melihat kegagalan-kegagalan yang dialami dalam negara kita talu-bertalu.

Kita mengalami masalah politik yang belum selesai. Masalah ekonomi, masalah sosial yang makin hari makin parah. Sepatutnya, dibincang apakah penyelesaiannya. PAS boleh mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian secara Islam. Dalam hal ini, kita mengambil sikap yang terbuka dan boleh berbincang dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan sendiri. PAS pernah melibatkan diri dengan forum Islam. Bukan sahaja melalui Parlimen, melalui Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bahkan, PAS pernah menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen). PAS pernah menyertai apa sahaja forum secara khusus yang diatur oleh kerajaan. Termasuklah yang terkini dalam isu kalimah Allah. Di mana, PAS telah menghantar wakil dalam perbincangan dengan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dan kita mengemukakan pandangan kita sebagaimana dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam kitab yang banyak yang dikarang oleh mereka.

S: Tuan Guru, adakah kaedah bagi penyatuan tersebut kerana isu perbincangan antara Umno-PAS telah lama tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?

J: Masalah penyatuan ini kita hendaklah faham. Di sana ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang harus bersatu dan ada perkara yang haram bersatu dan tidak boleh bersatu sampai bila-bila. Perkara yang haram bersatu antara benar dan salah, adil dan zalim, antara haram dan halal, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah.

Perkara yang prinsipal, perkara yang konsep, yang diputuskan oleh al-Quran, yang ada nas. Di mana, dalam hal ini tidak boleh disatukan sama sekali antara perbezaan yang berlaku dengan manusia. Ini tidak boleh kita satu, perkara yang ‘tabie’, perkara yang naluri. Dan di sana, ada perkara yang boleh disatukan. Perkara yang menjadi kepentingan bersama, yang menjadi tujuan bersama, keadilan untuk semua. Hak kebaikan untuk semua, menolak keburukan untuk semua. Walau pun persepsinya berbeza itu boleh dibincangkan. Perkara yang boleh disatukan ada, perkara yang boleh diraikan antara satu sama lain, tolak ansur itu ada dan ini perlu dilihat.

Kita tidak boleh melihat secara menyeluruh sebagai satu prinsip yang beku, yang jumud, yang tidak boleh rungkai. Oleh sebab itu, PAS bersdia untuk mengadakan perbincangan dalam perkara yang boleh dirungkai, yang boleh diselesaikan secara ‘ijtihad’, secara kebijaksanaan yang berpandukan kepada prinsip-prinsip ‘fleksibel’ yang ada dalam al-Quran, yang diajar oleh Nabi kita Muhamad SAW.

S: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?

J: Kita (PAS) tidak pernah menentukan si anu bin si anu kafir. Kita (PAS) menyataka batas-batas iman dan kufur. Saya sendiri mengarang sebuah buku tentang Aqidah Muslim. Dan Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis. Jilid yang pertama yang menyatakan batas-batas Iman dan Kufur.

Di sana, ada dinyatakan ada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa. Dan kita (PAS) tidak boleh menentukan siapa-siapa jadi kafir melainkan melalui Badan Kehakiman secara Islam yang sah. Dalam Islam ada hukum dan undang-undang orang yang murtad. Dengan sebab itulah, mesti melalui Badan Kehakiman Islam yang kita (umat Islam) kena faham. Apa yang kita (PAS) sampaikan adalah secara ilmu.

Kita (PAS) tidak menafikan ada di kalangan masyarakat kita yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, yang menghina hukum hudud, yang menghina hukum qisas. Dan ada di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak perlu saya sebut namanya yang mengatakan sekiranya dilaksanakan hukum hudud akan jadi huru-hara.

Jika laksanakan hukum Islam ramai orang Islam yang kudung (potong tangan). Ini hukum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Mungkin mereka mengatakan demikian kerana jahil dan jika kerana jahil dia berdosa kerana tidak belajar. Tetapi, jika dia kata dengan pengetahuan dia, dengan tahu dia sebagai seorang Islam dan tiba-tiba dia menafikan hukum Allah. Ini boleh merosakkan aqidah (Islam) dia. Dan menjadi tanggungjawab kitalah (PAS) menyampaikan. Alhamdulillah, kita (PAS) telah berjaya menyampaikan mesej kita (Islam) sehingga hari ini Umno tidak boleh mendedahkan kesilapan kita dalam masalah ini.

Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.

Apa yang berlaku ialah mereka (Umno-BN) telah melanggar semangat dan konsep federalisma yang diamalkan, tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Bila pakatan Rakyat telah menubuhkan kerajaan, mereka (Umno-BN) mesti menghormati keputusan ini tetapi seolah-olah tidak berlaku penghormatan terhadap keputusan ini. Ini suatu hal yang lain dari prinsip Islam. Dengan sebab itu, perbincangan Islam secara ‘usuli’ secara asas perlu antara PAS dengan Umno yang merupakan ada di kalangan Islam disemua pihak.

Jadi perbincangan secara ilmu sangat penting. Dan PAS telah meneroka, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menjemput kami (PAS) menghadiri perjumpaan dengan IKIM dan saya sendiri hadir dalam majlis itu bersama dengan wakil PAS dalam persidangan itu dan kita (PAS) telah mengemukakan pandangan- pandangan kita (PAS). Ini suatu perkembangan yang sangat positif dan kita (PAS) bersedia untuk hadir jika dibuka ruang untuk kita (PAS) menghadirinya.


Yang bertanda merah itu, dipertikaikan oleh kebanyakan oleh ahli-ahli PAS sendiri. Apakah benar sudah berlaku anjakan paradigma di kalangan ahli UMNO seperti yang disuarakan oleh Presiden PAS? Apakah benar tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma?

17 ulasan:

  1. Saya bersetuju dengan pendapat saudara. Jika benarlah apa yang dilaporkan oleh Utusan, saya mencadangkan Tuan Guru HH meletakkan jawatan sebagai Presiden dan masuklah parti yang menyokong BN.

    BalasPadam
  2. Berita utusang yang dimaksudkang tu dah beberapa hari berlalu. Baru hari ni nak buat penapiang. Itu pong selepas beberapa blogger telah hebohkang.

    dah berpuloh tahung berpolitik, doh berpuloh kali kena sabotaj dengang utusang, dok reti-reti lagi soalan mana yang genuine, soalan mana yang perangkap.

    Doh tahu doh utusang kerjanya memutorbelit kenyataang, yang dok bagi penerangang panjang lebor tu watpe. Bukang mereka tu jahil.

    Kali ni aku sukar sikit nak percaya. dah banyak kali, bila UMNO dalam keadaang terdesak, utusang carilah seorang dua pemimping PAS untuk dapat ulasang yang menguntungkang UMNO. Utusang pong cerdik, bila perlu sokongang, depa tau pemimping PAS mano yang mereka perlu cari untuk dapat ulasang molek.Dok nok saloh kat utasang lagi ke?

    bat_lapang (Bat8)

    BalasPadam
  3. kalau hadi berkata demikian, nampak sangat kebodohannya, boleh letak jawatan.

    BalasPadam
  4. makin jelas UG didada hadi kalau benar kata begitu.

    BalasPadam
  5. majoriti ahli pas orang cerdik, dipimpin orang bodoh, kalau kata demikian

    BalasPadam
  6. hadi tak bijak dan tak nampak kita dijajah oleh UMNO sekarang.

    BalasPadam
  7. mereka tegur kebodohan pemimpin UMNO bukan nak jajah, presiden pas tak boleh terima teguran?

    BalasPadam
  8. adoi
    ust hadi merapu lagi
    masuk umno lah senang
    bawa sekali puak terengganu sema

    BalasPadam
  9. kenapa tak marah dgn yusof qardawi.yusuf qardawi pun campurtangan gak dlm kes anwar.

    BalasPadam
  10. salam, kita hormat TGHH sebagai ulamak, kita tak nafi ilmunya. Tapi bab ni sy rasa kecewa sgt kerana ia mendedahkan kekurangcerdikkannya bila berdepan pemberita. Kita tak mau perjuangan murni berpuluh tahun tetiba rosak seminit jua. Jadilah pemimpim yg cerdik.....

    BalasPadam
  11. Gasaklah Australia ni sokong kita ke tidak. Dia tak perlu sampai buat memorandum ke apa ntah macam tu. Dia boleh nyatakan pendirian, tapi kalau sampai tahap mendesak memang itu dah di kira campur tangan dan kita perlu bantah.

    Jangan pasal Australia ni sokong kita, terus kita sokong tindakan dia. Aku nak tanya pada puak2 bengap yang bantai TGHH pasal benda ni, kalau takdir suatu hari nanti DSAI jadi PM, dan Mahathir tu masuk mahkamah pasal kena bicara kes salah guna kuasa, bunuh orang Memali etc, kemudian kawan2 baik Mahathir macam Robert Mugabe desak dakwaan tu di gugurkan, masa tu kita nak suka jugak ke?

    Tu beza orang yang pandang jauh macam TGHH dan orang otak sempit.

    http://ali-zaidan.blogspot.com/2010/02/tghh-tak-faham-perlembagaan.html

    BalasPadam
  12. ailizaidan buat lawak pasal anwar, mahathir dan mugabe plak. lansung tak da kaitan. bengap 100x

    tghh dah ketara nak ke umno. baca kenyataannya di atas betul2.

    pertama dah puji umno melambung-lambung konon umno dah tak pisahkan lagi agama dan politik, dah ada anjakan paradigma.

    kedua dah terangkat sangat bila pak lah panggil dia pergi ke mesyuarat ikim walaupun akhirnya pak lah peralatkan menyatkan hadi sertai keputusan ikim larang guna kalimah allah untuk bukan islam

    ketiga beliau tak putus asa nak bersama umno sekalipun menggunakan istilah berbeza - a) muzakharah b) kerajaan perpaduan c) kerjasama dalam hal2 ekonomi, keselamatan dan lain2

    BalasPadam
  13. TGHH ni memang kemaruk pada mikrofon macam orang kemaruk karaoke. Nak masuk karaoke malu sebab pakai jubah ulamak. Jadi berkaraokelah dia dengan wartawan walaupun suara sumbang.

    BalasPadam
  14. jangang maroh kat ali zaidan yang dok tengah high tu...dia baru telang 20 bijik pil walla sakning


    bat_lapang(bat8)

    BalasPadam
  15. jika benar Presiden Pas berpendirian demikian..di harap TG Haji Hadi letak jawatan presiden laa.
    Jangan biar semakin ramai org marah dan menyampah..

    Ali Zaidan,
    betul la kita x suka campur-tangan negara luar. tp tengok isu dan kes lar.. hang nak banding kes Anwar dgn Mahathir?!!

    Sepaham aku, MP Australia minta gov.Malaysia buang kes Anwar, bukan campur-tangan dgn mahkamah.
    Hang percaya kot dgn kes liwat nih?

    BalasPadam
  16. Para juhala' politik dengan gelojohnya membuat ulasan yang tidak bijaksana terhadap Tuan Presiden PAS. Ramai yang tidak faham n tidak tahu membuat perbandingan beza.

    BalasPadam
  17. TGHH ni sebenarnya bukan cerdik sangat pasal politik.Kalau pasal agama memang boleh tahan.Mengenai politik biasanya dia pinjam otak Stopa Ali sebab itu kalau sebut saja nama UMNO dia mula meracau sebab keinginan untuk UG tu masih menebal dan mendalam dijiwanya.Dasarnya mengenai UG "buka,tutup,buka,tutup".
    Kalau beginilah sikap Presiden PAS,pada PRU ke13 akan datang lingkuplah PAS.
    Ali Zaidan tu marah sangat sebab bossnya kena lekup.Manusia yang kena penyakit "wala membabi buta " ni memang susah nak diobat.Ada juga yang nak suruh kita menerima "kebijaksanaan"TGHH.Tolonglah bhai,pepatah Inggeris ada menyebut: You can bluff some people sometimes,but you cannot bluff all the people, all times".


    abc

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.