15 Jan 2010

Sebentar Lagi Gerhana Matahari Bermula Jam 3.03 ptg

Umat Islam di negeri ini disyorkan supaya menjalani solat sunat Gerhana Matahari dua rakaat pada hari ini (15 Januari) bermula jam 3.03 petang hingga 5.45 petang.

Pegawai Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Ahmad Talhah Abdul Rahman, berkata, fenomena Gerhana Matahari Separa akan berlaku dengan kadar 34.5 peratus.

“Ia meliputi tiga fasa dalam tempoh berkenaan iaitu pada jam 3.03 petang Fasa Sentuhan Pertama (mula gerhana), jam 4.31 petang Fasa Maksimum (34.5 peratus matahari tertutup) dan 5.45 petang bagi Fasa Sentuhan Terakhir (tamat gerhana).

“Waktu yang paling elok untuk melakukan solat sunat Gerhana Matahari ini pada jam 3.30 petang pada hari ini,” katanya kepada :Sinar Harian.

Beliau berkata, pada hari ini juga Gerhana Cincin dijangka berlaku di bahagian Tengah Afrika, Lautan Hindi, Kepulauan Maldives, Selatan India, Utara Sri Lanka, Burma dan China, manakala di Malaysia khususnya di Kelantan pula akan menyaksikan Gerhana Matahari Separa.

“Dengan kejadian fenomena ini, ia memperingatkan umat Islam mengenai Hari Kiamat, kebesaran Allah yang menguji manusia dan tanda kekuasaan Allah.

“Pada 26 Januari 2009, berlaku Gerhana Cincin, akhir Disember lalu Gerhana Penuh yang kemudian dijangka akan dilihat pada 2042 nanti dan pada 1 Januari baru-baru ini berlaku Gerhana Bulan,” katanya.

Program cerapan dan solat sunat Gerhana Matahari turut diadakan di Dataran Balai Islam, Lundang di sini, hari ini.


Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah)

i. Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari :

أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

ii. Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia adalah yang sekurang-kurangnya. Yang akmalnya dilakukan dengan dua kali ruku’ dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

iii. Yang terlebih akmal ialah dengan 2 rakaat, dengan 2 ruku dan qiyam bagi tiap-tiap satu rakaat dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

Kaifiatnya adalah seperti berikut:

Berdasarkan hadis :

عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ رَأْسُهُُ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً ثُمَّ فَعَلَ ِفي الرَّكْعَةِ الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ ثُمَّ سَلَّمَ وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسِ فَقَالَ ِ في كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ إِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آياَتِ اللهِ َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.


Maksud: Dari Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian beliau mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan beliau berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian beliau bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bersyukurlah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ.

Maksud: Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, beliau berkata: “Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah SAW, maka diserukan : ‘as solatu jami`ah’. Lalu Rasulullah SAW melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian matahari kembali muncul. Aisyah berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melakukan ruku’ ataupun sujud yang lebih lama daripada itu”

(Sahih Muslim 2-hlm: 81) Secara ringkasnya seperti berikut :
A Rakaat Pertama
1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Ta`awudz. ( تعاوز )
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca mana-mana surah,yang terlebih afdhal surah ABaqarah.
6. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.
7. Iktidal (AllahuAkbar)serta membaca surah al-Fatihah dan membaca ali-Imran atau mana-mana surah.
8. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.
9. Iktidal.(SamiAllahulimanHamidah)
10.Sujud dan membaca tasbih.
11.Duduk antara 2 sujud.
12.Sujud kembali.
13.Berdiri ke rakaat kedua.

B. Rakaat Kedua
1. Membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
3. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat semasa ruku’.
4. Iktidal (AllahuAkbar) serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah Al-Maidah atau mana-mana surah. 5. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.
6. Iktidal.(SamiAllahulimanHamidah)
7. Sujud dan membaca tasbih.
8. Duduk antara 2 sujud.
9. Sujud kembali.
10.Membaca tasyahud akhir.
11.Memberi salam.

* Tiada iqamah tapi cukup sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
* Mana-mana surah hendaklan mengikut susunan surah dari Al-Quran
* Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.
* Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.

Khutbah Solat Gerhana :

Dalil dari Aisyah r.a. berkata :

ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة.


Ertinya : Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)

i. Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang. ii. Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir. iii. Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya. iv. Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.

Secara umumnya bila pertembungan ini berlaku maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan. Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling kuat.

Contoh : i. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah. ii. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari atau bulan kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu. iii. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan witir didahulukan solat gerhana.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.