8 Jan 2010

Kerajaan, KDN Politikkan Isu Kalimah Allah

Pakatan Rakyat membidas tindakan kerajaan Umno-BN dan Kementerian Dalam Negeri mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah untuk semata-mata meraih sokongan orang Melayu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Umno-BN seharusnya bertindak mengadakan dialog dengan semua pihak berkepentingan dan tidak membiarkan isu itu melarat hingga ke peringkat mahkamah.

“Dan kini, setelah mahkamah membuat keputusan... Kementerian Dalam Negeri pula menyokong tunjuk perasaan oleh pelbagai pihak pada ketika emosi agama orang ramai melayang pada tahap yang begitu tinggi,” kata Anwar.

“KDN jelas bersifat pilih bulu untuk membenarkan tunjuk perasaan tertentu dan memukul penujuk perasaan lain pada perhimpunan yang tidak digemarinya,’ tambah Anwar.

Anwar berkata daripada memberi sokongan terbuka kepada protes dan tunjuk perasaan esok, kerajaan Umno-BN seharusnya menganjurkan dialog antara kumpulan berkepentingan bagi memastikan kepentingan Islam dan agama lain dipertahankan.

Beliau berkata dialog sedemikian akan memastikan penyelesaian yang rasional dan bersandarkan penelitian mendalam yang boleh diterima oleh semua pihak.

“Saya percaya kepada kebebasan bersuara tetapi KDN harus bersikap adil dan tidak memilih untuk menyokong kebebasan itu hanya dalam kes-kes tertentu,” tambah Anwar. -TVS



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.