15 Dis 2009

Jawatankuasa Disiplin Tidak Boleh Bias

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang dijalankan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berhubung dakwaan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno, MSTAR dipetik.

Beliau meminta agar pihaknya diberikan masa untuk membuat penelitian dengan terperinci berhubung perkara berkenaan.

"Saya harap jangan ada pihak yang buat apa-apa andaian lagi, bagilah kami ruang untuk teliti perkara ini dengan lebih mendalam.

"Jangan buat spekulasi berhubung siapa yang salah atau siapa yang betul, kita perlu buktikan dahulu dengan fakta.


"Memang ada tuduhan, tapi tuduhan itu tak semestinya benar," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini siasatan yang dijalankan pihaknya ke atas beberapa pemimpin PAS Selangor berhubung dakwaan terbabit.

Beliau sebelum ini mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima surat jawapan daripada Hassan dan beberapa lagi pemimpin Pas Selangor.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, Jawatankuasa Disiplin PAS akan bermesyuarat pada 23 Disember depan bagi meneliti mengenai dokumen-dokumen berhubung siasatan berkenaan.

"Saya sendiri dah tengok dokumen-dokumen berkenaan, tapi kami ahli jawatankuasa perlu duduk bersama untuk meneliti secara khusus.

"Lagipun saya baru pulang menunaikan haji di Mekah dan ahli-ahli lain juga ada yang ke luar negara... sebab itu siasatan ini tertangguh sebentar," katanya.

Tambah beliau, keputusan sama ada perlu memanggil Hassan dan beberapa lagi pemimpin lain untuk memberikan penjelasan akan diputuskan pada mesyuarat berkenaan.

"Bergantung pada hasil mesyuarat kita nanti, kalau ada kes terhadap beliau, mungkin kita akan panggil untuk beri penjelasan," katanya.

Ulasan GB

Dato Tuan Ibrahim, selaku Pengerusi Lambaga Tatatertib (meskipun GB sehingga kini masih belum mendapat jawapan tentang pembentukan Lembaga tatatertib samada ia memenuhi kehendak Perlembagaan Parti seperti GB nyatakan di SINI) sepatutnya tidak mengeluarkan perkataan ini:

"Memang ada tuduhan, tapi tuduhan itu tak semestinya benar,"

Sebab saya menyatakan ia tidak boleh di keluarkan, awal-awal lagi ia menunjukkan ciri bias. Kerana ianya boleh ditempelak, "tuduhan itu tak semestinya salah" dan dengan sendirinya kredibiliti dan integriti Lemabaga tatatertib boleh dipersoalkan lantarannya.

Senario yang hampir sama pernah berlaku semasa Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), yang setelah menerima surat pengosongan DUN Changkat Jering dan Behrang mengeluarkan kenyataan berikut:

"Saya telah terima surat dari Speaker Perak, tetapi saya juga telah menerima surat bantahan dari ADUN-ADUN berkenaan".

Sedangkan surat-surat dari ADUN-ADUN berkenaan sepatutnya tidak dilayan kerana tiada peruntukan undang-undang untuk Pengerusi SPR berbuat demikian.

Hasilnya, keputusan tidak berpihak kepada kebenaran yang sepatutnya pilihanraya kecil diadakan, tetapi berpihak kepada konspirasi untuk mempastikan kedua-dua kerusi itu kekal kepada BN.

Jawapan yang hampir sama diberikan oleh Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) sewaktu ditanya mengenai kes rasuah bekas MB Selangor, Mohd Khir Toyo.

"Memang ada laporan tentang kes rasuah berkenaan, tetapi tiada ada bukti kukuh untuk mendakwanya".

Dan Mohd Khir Toyo bebas lepas.

Itu dua contoh "hakim" yang tidak berwibawa. Itu contoh "hakim" yang menyalahgunakan kuasa. Itu contoh "hakim" yang khianat dan durjana.

Seorang hakim tidak boleh berpihak. Seorang hakim perlu adil. Seorang hakim perlu menghukum dengan kebenaran dan keadilan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Hakim itu ada tiga macam, Satu di syurga dan dua di neraka:
1) Yang di syurga adalah hakim yang tahu kebenaran dn ia menghukum dengan kebenaran tersebut
2) Seorang lelaki yang tahu kebenaran tetapi ia menyimpang daripada kebenaran itu, maka ia ke neraka
3) Seorang lelaki yang menghukum manusia tanpa ilmu, maka ia ke neraka.
(Abu Dawud, Tarmidhi, Ibn Majah)

Sebelum ini, GB menyatakan bahawa Perlembagaan PAS menetapkan bahawa Jawatankuasa Tatatertib perlu dilantik oleh Majlis Syura Ulamak.

Jika jawatankuasa yang ada tidak dilantik oleh Majlis Syura Ulamak, tetapi oleh Presiden dan sebagainya, dengan sendirinya ia terbatal dan tidak berkuatkuasa.

Majlis Syura Ulamak sepastinya mengetahui bahawa Jawatankuasa Disiplin yang hendak dilantik perlu mempunyai kriteria seseorang itu mempunyai 'ilmu (dan sebaik-baiknya ada pengalaman) di dalam bidang perundangan dan penghakiman bersuaian dengan hadith yang dinukilkan tadi.

Ini diperkuatkan dengan satu hadith yang lain:

“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan bukan kepada ahlinya, maka nantikanlah kehancuran” – (Bukhari)

Ketelitian pemilihan jawatankuasa disiplin atau tatatertib perlu diberikan perhatian serius oleh parti agar kebenaran dan keadilan itu benar-benar ditegakkan.

Saya dengan ini meminta supaya persoalan mengenai ahli jawatankuasa Lembaga Tatatertib disemak semula supaya melantik mereka yang benar-benar berkeahlian memegang jawatan itu sebelum PAS hancur binasa kerananya sesuai dengan amaran hadith kedua tadi.


Nik Aziz Sedia Jadi 'Pemimpin Rohani' Pakatan Rakyat

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia dilantik sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat setelah gabungan parti pembangkang itu berjaya didaftarkan.

"Sekarang ini saya dilantik (sebagai) mursyidul am (PAS) oleh jawatankuasa agung (parti). Apa salahnya jika (dilantik) mursyidul am bagi Pakatan Rakyat, tidak ada apa (masalah)," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"Hendak dengar (pandangan saya) terima kasih. Tidak (mahu) dengar, (kalau) kata tidak terima (cadangan saya), saya tanya balik, tidak terima kenapa?"

Nik Aziz diminta mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan Pakatan, yang mengesyorkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.

Menulis di blognya pada 17 November lalu, bekas menteri itu berkata, syor itu ditimbulkan kerana Pakatan memerlukan seorang seperti tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan perdana menteru, tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan itu, beliau akan bersikap terbuka walaupun cadangan-cadangannya mungkin ditolak.

"Jangan pula orang tolak (cadangan), kita marah. Itu tidak Islamik. Saya acapkali kata, kalau awak tolak Islam dan kalau awak boleh bawa hujah yang kukuh, saya pun tidak mahu Islam.

"Tetapi awak tolak Islam tanpa ada hujah, hanya begitu-begitu sahaja, mana boleh saya terima?" katanya, Khamis lalu.

Ditanya sama ada jawatan tersebut akan menambahkan bebannya yang sedia ada, Nik Aziz berkata, tidak mengapa selagi "menambahkan pengikutnya".

"Saya lebih suka pimpin orang Cina yang berfikiran terbuka daripada pimpin orang Melayu yang tertutup fikiran," tambahnya. -Malaysiakini


DAP buat aduan polis terhadap Utusan Malaysia

Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran membuat aduan polis terhadap Utusan Malaysia berhubung rencana ‘Malaysia Menuju republik’ yang disiarkan pada Ahad lalu.

Penulis Awang Selamat dalam kolumnya menuduh DAP mahu menukar Malaysia kepada negara republik, bermula dengan mempertikaikan isu ketuanan Melayu.

Kulasegaran berkata pihaknya kesal Utusan Malaysia menggunakan sentimen perkauman untuk meningkatkan penjualan akhbar tersebut.

"Saya membuat aduan polis hari ini terhadap Utusan Malaysia setelah menyiarkan artikel penulis Awang Selamat yang berbaur hasutan dan tidak bertanggungjawab serta boleh menyebabkan timbul masalah kaum dan kurang senang masyarakat di negara ini," kata beliau.

Ahli Parlimen Ipoh Barat ini memfailkan laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, petang semalam.

Kulasegaran menegur Utusan Malaysia supaya menghentikan retorik perkauman jumud, dan mendapat semangat 1Malaysia yang dicanang Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

"Utusan Malaysia dan Awang Selamat hendaklah berhenti bermain dengan api. Jika mereka masih mahu meneruskan pertuduhan palsu dan propaganda politik terhadap saya dan DAP, mereka harus membaca dahulu apa yang diperkatakan oleh Ahmad Nazri dan Lim Keng Yek tentang ketuanan Melayu," ujar beliau. -TVS



Kelantan Bakal Jadi Negeri Kaya Sekiranya Royalti Minyak Dikembalikan

Rakyat Kelantan bakal merasai kemewahan dan keselesaan sekiranya Kerajaan Persekutuan mengembalikan kesemua royalti minyak kepada negeri itu.

ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkata ditambah dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah tidak mustahil Kelantan menjadi negeri terkaya dengan hasil royalti yang ada.

“Hak rakyat Kelantan yang berhak menerima 5 peratus royalti minyak dan kita percaya dengan kepimpinan amanah tok guru Nik Aziz royalti ini sudah cukup menjadikan rakyat Kelantan termewah kerana setiap sen, setiap peratus hasil daripada royalti itu akan dicurahkan semula kepada rakyat,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pidato Rakyat: Antara royalty dan ehsan: Siapa pengkhianat bangsa?

Saari berkata, keyakinan itu timbul kerana Kelantan di bawah kepimpinan Nik Aziz tidak menghadapi sebarang masalah rasuah, penyelewengan dan tiada ketirisan dalam pentadbiran

Katanya, situasi ini sangat berbeza dengan pimpinan pusat di bawah Barisan Nasional yang melakukan pengkhianatan dengan menyekat royalti minyak Kelantan sehingga memaksa Nik Aziz berdoa atas penganiayaan tersebut.

“Kezaliman yang sedang dilakukan dalam Umno, Barisan Nasional khususnya di bawah pimpinan Najib Tun Razak yang mengkhianati perjanjian yang telah dimeterai, digubal oleh ayahandanya sendiri, Tun Razak bin Hussein. Tentang perjanjian petroleum di negeri-negeri yang pesisir pantainya ada minyak. Dia sendiri mengkhianati perjanjian yang dibuat ayahandanya sendiri," katanya. TVS



Urus Tadbir Selangor Bukti Ketelusan Pakatan Rakyat - Azmin

Kerajaan Negeri Selangor menjadi negeri terbaik dalam menguruskan ekonomi dan kewangan negeri apabila menyumbangkan RM16 billion kepada kerajaan pusat melalui hasil kutipan cukai.

ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berkata, laporan Ketua Audit Negara mengiktiraf Selangor sebagai negeri terbaik mengurus kewangan membuktikan ketelusan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, pendapatan Selangor juga meningkat berbanding dengan kerajaan pusat yang mengalami banyak keciciran, rasuah dan bocor sebanyak RM28 billion sebagaimana dilapor laporan itu.

“Kalau tuan-tuan baca dan teliti laporan ketua audit negara yang dibentangkan dalam parlimen baru-baru ini, bukan dibuat oleh Pas, bukan dibuat oleh Keadilan dan DAP, melaporkan kepada parlimen negeri terbaik menguruskan ekonomi dan kewangan adalah negeri Selangor,"katanya.

Beliau berkata demikian pada Pidato Rakyat: Antara royalty dan ehsan: Siapa pengkhianat bangsa?

Azmin berkata, ketelusan PR juga terbukti apabila Kerajaan Negeri Kedah turut dilapor mencatatkan prestasi terbaik dalam pengurusan ekonomi dan kewangan dengan keuntungan berganda.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada Umno supaya tidak berselindung di sebalik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengheret institusi istana dalam kancah politik.

“Jangan heret raja dalam politik. Mari berdepan dengan rakyat dalam pilihanraya yang akan datang,"katanya. -TVS



JKuasa Pusat MCA Letak Jawatan Beramai-ramai

Naib presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai adalah antara 13 anggota jawatankuasa pusat (CC) parti itu Selasa meletak jawatan untuk membolehkan pemilihan semula parti itu diadakan.

Surat peletakan jawatan masing-masing diserahkan kepada setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Meng di bangunan Parlimen di sini.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan, berkata tindakan itu perlu untuk menyelesaikan segera krisis dalaman parti itu.

"Masa dah semakin suntuk, jadi krisis ini perlu diselesaikan segera. Kita dipilih oleh perwakilan dan kita letak masa depan kita kepada perwakilan dan saya percaya ia akan dapat menyelesaikan masalah dalaman MCA selain dapat menyatukan semula anggota MCA.

"Kalau berpanjangan ia akan memberi kesan buruk kepada parti dalam mendapatkan sokongan rakyat. Pemilihan baru adalah jalan keluar yang terbaik untuk menyelesaikan masalah," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Turut melakukan tindakan yang sama ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung, Datuk Wong Mook Leong, Tan Kok Hong, Lee Wei Kiat, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Senator Datuk Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Edward Khoo Keok Hai and Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee.

"Kini, kita hanya perlu lapan lagi untuk memenuhi syarat dua pertiga jawatankuasa CC meletak jawatan untuk membolehkan pemilihan baru diadakan," kata Liow.

Ditanya adakah pemilihan baru MCA itu diadakan setelah mendapat desakan daripada pimpinan Barisan Nasional (BN), Liow berkata ia adalah kehendak ahli.

"Kita dalam MCA telah bermesyuarat dan mengadakan perbincangan bahawa kita perlukan pemilihan semula. Untuk itu, kita telah menubuhkan satu jawatankuasa panel pemilihan untuk membincangkan perkara ini secara terperinci. Kita telah bermesyuarat sebanyak dua kali," katanya.

Wong, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, memberitahu pemberita bahawa pemilihan baru parti memerlukan sekurang-kurangnya 21 daripada 30 anggota jawatankuasa pusat parti meletak jawatan.

"Buat masa ini kita akan simpan dulu surat peletakan jawatan ini di ibu pejabat MCA dan kita akan tunggu sehingga 25 Dis ini sama ada masih ada anggota jawatankuasa pusat yang berhasrat untuk meletak jawatan," katanya.

Wong Mook Leong, yang merupakan veteran parti itu, menyifatkan kemelut dalaman MCA adalah antara yang terburuk dan beliau menyerah kepada perwakilan untuk menentukan masa depan parti itu.

"Kita dapat lihat MCA dalam keadaan kucar-kacir. Saya tidak pernah meletak mana-mana jawatan sejak menjadi anggota jawatankuasa pusat sejak 32 tahun lepas. Saya dipilih oleh delegasi dan mereka akan menentukan nasib saya," katanya. BERNAMA

Identiti Menteri Hadiah Kereta Mewah Didedahkan

FreeMalaysiaToday melaporkan teka-teki siapakah identiti menteri kanan yang menghadiahkan kereta mewah berharga lebih RM1 juta kepada artis kegemarannya, terjawab dengan pendedahan yang dibuat oleh sebuah blog pro-Umno selamatkanumno.blogspot.com.

Malah blog pro-Umno berkenaan juga turut mendedahkan nama artis berkenaan.
Sehubungan itu, blog itu mendesak menteri berkenaan segera menafikan jika tidak mahu memburukkan Umno yang sudah ‘busuk hingga ke usus’ seperti yang dirakamkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bolgnya Chedet, baru- baru ini.

Desakan itu dibuat oleh blog berkenaan setelah laporan mengenai skandal itu disiarkan Suara Keadilan dua minggu lalu.

Komentar blog berkenaan pada 6 Disember lalu menginatkan mereka yang terbabit, skandal berkenaan akan menjejaskan lagi imej dan integriti Umno jika dakwaan itu dapat disahkan.

Pendedahan nama menteri dan artis itu dibuat selepas blog itu mengambil inisiatif menyelidik dakwaan tersebut melalui maklumat daripada beberapa wartawan.

“Kita mahu menghentikan spekulasi ini dan meminta Menteri Kanan tersebut menafikan secepat mungkin. Tindakan ini perlu dilakukan segera agar spekulasi (berkenaan) tidak merosakkan Umno,” kata blog itu lagi.

Suara Keadilan menyiarkan desas-desus pemberian istimewa menteri kepada artis berkenaan setelah ia menjadi perbualan hangat di kalangan wartawan hiburan dan pemimpin Umno.

Pemberian itu dikatakan menjadi pengetahuan umum setelah artis itu menunjuk-nunjukkan hadiah istimewanya itu pada majlis-majlis yang dihadirinya.

Di dalam satu perkembangan berasingan, menteri yang dipercayai yang dimaksudkan itu telah berkata ada antara penulis blog menulis tanpa mengikut peraturan dan etika kewartawanan untuk meraih populariti berbanding wartawan tempatan yang berpegang kepada etika penulisan yang betul.

"Kita ada etika dan mereka tidak ada dan tidak mengamalkan etika kewartawanan. Inilah yang membezakan kita dengan mereka," katanya pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2009 di sini Isnin malam, Bernama dipetik.

Beliau berkata wartawan di negara ini tidak perlu bimbang kerana selagi laporan yang dibuat berpegang kepada etika kewartawanan, ia akan diterima baik oleh masyarakat.

Katanya tidak mungkin wartawan yang berada di atas dasar yang benar akan dihukum dan tidak mungkin yang menabur fitnah akan berjaya.

Walau bagaimanapun beliau tidak ada membuat sebarang penafian mengenai isu pemberian kereta mewah berkenaan kepada siapa yang dituduh sebagai "kekasih"nya.

Nizar Dijamin Menang Jika Di Negara Lain - Tommy Thomas

Saya menjamin kepada anda. Seandainya kes-kes negeri Perak ini dibicarakan di mahkamah enam buah negara ini, pihak kami (Nizar Jamaluddin) pasti menang! Saya jamin!"

Krisis perlembagaan Perak lantaran daripada rampasan kuasa telah menjadi perdebatan hangat pakar perlembagaan dan peguam antara kedua-dua pihak. Tommy Thomas (gambar kiri), pihak yang mewakili Pakatan Rakyat ketika berucap dalam satu forum anjuran MerdekaReview, menjelaskan bahawa Malaysia sebagai negara Komanwel yang mengamalkan common law, akan merujuk kepada kes penghakiman di Britain, Kanada, Australia, New Zealand, India, malah Eropah dan Afrika Selatan dalam perundangan.

Dengan penuh yakin Tommy Thomas menjamin kepada hadirin, "Saya menjamin kepada anda. Seandainya kes-kes negeri Perak ini dibicarakan di mahkamah enam buah negara ini (Britain, Kanada, Australia, New Zealand, India dan Eropah), pihak kami (Nizar Jamaluddin) pasti menang! Saya jamin!"

Dengan cepat beliau menyambung, "Sememangnya, sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah Zimbabwe, kami mesti kalah!" Hujahnya meledakkan dewan yang dipenuhi kira-kira 250 hadirin dengan gelak ketawa.

Forum "Ke arah mana Perlembagaan? Natijah dari Krisis Perak" (Whither the Constitution? Lessons to be learnt from the Perak Crisis), anjuran MerdekaReview, pada malam 9 Disember, telah membariskan Menteri Besar Negeri Perak Pakatan Rakyat, Mohd Nizar Jamaluddin dan Pakar Perlembagaan Shad Saleem Faruqi sebagai ahli panel.

Malah, Tommy Thomas menggantikan Kevin Tan (gambar kanan) pada saat-saat terakhir, apabila Kevin Tan gagal tampil sebagai panelis kerana polis mengenakan syarat terhadap pensyarah dari Singapura ini untuk mendapatkan Pas Ikhtisas sebelum hadir sebagai panelis.

Walaupun forum ini menyaksikan pandangan pakar perlembagaan dan peguam yang saling bercanggah dalm isu krisis Perak, namun mereka sebulat suara menyetujui bahawa bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan pilihan raya adalah penyelesaian kepada krisis Perak.

Shad Saleem Faruqi: Angka yang menentukan

Shad Saleem Faruqi menekankan bahawa angka menjadi penentu dalam politik demokrasi. Oleh demikian, Sultan Azlan Shah telah menyetujui penubuhan kerajaan DAP, PKR dan PAS pada tahun 2008 kerana mempunyai 31 kerusi berbanding 28 daripada BN. Perkara yang sama berlaku apabila Sultan Azlan Shah memberi laluan kepada BN untuk menubuhkan kerajaan apabila BN memiliki 31 kerusi berbanding 28 oleh Pakatan Rakyat pada tahun 2009.

Shah Saleem Faruqi (gambar kiri) berkata, "apa yang menyesalkan, dalam perkara angka ini, PR telah tewas kepada ADUN yang melompat."

Namun, Shad Saleem Faruqi menyetujui bahawa antara penyelesaian yang menjadi pilihan Sultan Perak termasuklah pembubaran DUN, dan menyerah kepada rakyat untuk menentukan kerajaan mereka.

Walau bagaimanapun, Tommy Thomas mempunyai pandangan yang berbeza terhadap 13 isu dalam krisis Perak yang dibentangkan oleh Shad Saleem Faruqi.

Tommy Thomas berkata, dari segi angka, PR telah memenangi 53.8% undi, 31 kerusi dan memerintah dengan majoriti tiga kerusi selepas PRU ke-12. "Seandainya kamu masih ingat Kelantan yang diperintah PAS, mereka telah memerintah dengan hanya majoriti satu kerusi, tetapi berkekalan untuk lebih daripada satu tahun. Oleh itu, majoriti tiga kerusi adalah jarak yang sangat selesa," katanya.

Dengan kata lain, Tommy Thomas tidak bersetuju dengan pandangan Shad Saleem Faruqi bahawa kerajaan PR di Perak adalah pakatan pemerintah yang tidak stabil.

Shad Saleem Faruqi melontarkan pandangan bahawa DAP, PKR dan PAS bergabung secara tergesa-gesa selepas keputusan PRU ke-12 diumumkan, menjadikan kurang wajar untuk Sultan menyerahkan kuasa kepada PR berbanding dengan BN. Namun, Tommy Thomas menyanggah pandangan Shah Saleem Faruqi ini, menganggap bahawa tiada masalah untuk tiga parti PR bergabung hanya selepas PRU ke-12.

Secara terus terang, Tommy Thomas (gambar kanan) menyatakan bahawa situasi di mana gabungan parti untuk membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya diumumkan adalah sesuatu yang lumrah, dan berlaku di negara misalnya Itali, Jepun dan India. "Jadi, untuk saya, siapa yang membentuk kerajaan gabungan selepas 8 Mac bukan masalah, kerana jawapannya ialah Pakatan Rakyat."

Pakar Perlembagaan Shad Saleem Faruqi telah merujuk kepada beberapa kes di luar negeri, misalnya krisis perlembagaan di Australia pada tahun 1975. Belanjawan yang dibentangkan oleh Presiden Australia ketika itu, Gough Whitlam tidak diluluskan di Dewan Senat, lantas berdepan dengan krisis kerajaannya digulingkan. Namun, Gough Whitlam merancang untuk meminjam wang dengan bank agar kerajaannya boleh terus beroperasi.

Governor-General Australia ketika itu, John Kerr telah melucutkan jawatan Gough Whitlam dengan menggunakan artikel ke-64 dalam Perlembagaan Australia, dan melantik pembangkang, John Malcom Fraser secara terus untuk menyandang jawatan Presiden sementara.

Shad Saleem Faruqi menggunakan contoh di atas untuk menyatakan bahawa Sultan Azlan Shah tidak semestinya perlu kembali ke DUN untuk mengetahui siapa yang telah memegang majoriti, sebelum menentukan Menteri Besar.

Tommy: Ini contoh yang buruk!

Sebaliknya, Tommy Thomas menuduh bahawa contoh yang dipetik oleh Shad Saleem Faruqi adalah contoh yang buruk, "John Kerr hanya mewakili Queen, dan Queen Elizabeth II ketika itu berasa serba salah dan langsung enggan mencampur tangan dalam isu ini, dilihat sebagai 'apa yang John Kerr lakukan tiada kena mengena dengan beta.'"

Apa yang lebih penting, Tommy Thomas berkata, "Saya boleh jamin, tiada Governor-General Australia selepas John Kerr yang mengulangi perbuatan John Kerr. Pengajaran daripada contoh ini adalah jangan belajar daripada John Kerr. Namun, jelas kami tidak belajar daripada pengajaran ini."

Peguam untuk speaker DUN Perak Pakatan Rakyat, V.Sivakumar ini bertanggapan bahawa apa yang berlaku di Perak adalah kudeta, "pertukaran kerajaan tanpa melalui pilihan raya dan pengundian adalah kudeta." Beliau menyifatkan bahawa rampasan kuasa di Perak adalah keadaan yang paling teruk sejak 52 tahun kemerdekaan dan amalan sistem raja berperlembagaan di negara kita.

Beliau menekankan, satu-satunya jalan penyelesaian krisis Perak adalah pembubaran DUN Perak, mengadakan pilihan raya dan menyerah kepada rakyat untuk mengundi kerajaan yang mereka mahu. -merdekareview

Kes Altantuya : Bala Sedia Temui SPRM

Penyiasat persendirian P. Balasubramaniam. yang sedang “diburu” pihak berkuasa berhubung pendedahan rakaman temu ramah terbaru berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesediaan itu dinyatakan dalam surat yang dihantar kepada suruhanjaya itu minggu lalu.

Surat dihantar kepada SPRM beberapa hari selepas Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd. Akin diambil keterangan oleh pegawai bahagian siasatan Penguasa Abdul Rahman Bachok pada Dis 4 lalu.

Surat itu dialamatkan terus kepada Abdul Rahman.

Dalam surat itu, Americk Sidhu yang bertindak sebagai peguam kepada Balasubramaniam (gambar) berkata, Subramaniam telah melahirkan hasrat itu agar dimaklumkan kepada SPRM.

“Saya telah difahamkan bahawa anda mahu menemu bual Balasubramaniam berhubung aduan yang dibuat oleh Shamsul Iskandar Mohd. Akin (Ketua Angkatan Muda Keadilan) pada Dis 3 2009.

“Dalam hubungan ini saya telah diarahkan untuk memaklumkan anda bahawa Balasubramaniam bersedia untuk membantu anda dalam siasatan anda dan bersedia untuk ditemu bual oleh anda sendiri,” kata beliau dalam surat itu yang salinannya diperoleh The Malaysian Insider.

Surat itu turut dimuatkan dalam blog Shamsul Iskandar.

Pada Dis 4 lalu Shamsul Iskandar yang membuat laporan dan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya Shaariibuu dengan Datuk Seri Najib Razak kepada SPRM.

Balasubramaniam membuat pengakuan itu pada satu wawancara dengan tiga peguam terkenal di Singapura baru-baru ini.

Dalam perkembangan terbaru, selepas portal-portal utama menyiarkan temu bual itu selepas Raja Petra Kamarudin menyiarkan secara bersiri beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam surat dihantar kepada SPRM, Balasubramaniam mengenakan enam syarat antaranya temu bual harus dikendalikan di Singapura ataupun di London.

Selain itu, masa dan tarikh temu bual perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak terlibat, kesemua kos penerbangan ditanggung oleh SPRM termasuk yang membabitkan peguam mengiringnya dan begitu juga kos penginapan, sara hidup dan pengangkutan pihak-pihak terbabit.

Dua syarat lain ialah sebarang kenyataan dirakamkan daripada Balasubramaniam hendaklah dikendalikan dalam Bahasa Inggeris dengan satu salinan diberikan kepada anak guamnya dan membolehkan rakaman video dilakukan. -G.Manimaran

Najib cuba pulih imej di persidangan Islam antarabangsa?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang terpalit dengan dakwaan rasuah dan pembunuhan akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-2 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Disember ini

Di samping Najib, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mewakili Malaysia pada persidangan itu dan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dijangka hadir.

Para ulama’ tersohor telah disenaraikan dalam website persidangan sebagai penceramah termasuk beberapa individu yang terkenal, yang sebenarnya tidak akan hadir.

Kami dapat tahu Syeikh Dr Tawfik Ramadan Al-Bouti, pensyarah kanan di Universiti Damsyek tidak hadir. Begitu juga dengan ulama’ Sunni berwibawa, Habib Ali al-Jifri, pengasas dan pengarah Yayasan Tabah.

Walaupun kedua-duanya tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, individu-individu yang rapat dengan para ulama’ itu melahirkan rasa prihatin mereka tentang kaedah dan penajaan persidangan itu.

Hubungan rapat di antara Yayasan Kepemimpinan Perdana dengan persidangan itu, penyertaan ahli-ahli politik kanan Umno berprofil tinggi dan tempat itu sendiri, memberi gambaran bahawa terdapat motif politik yang terselindung disebaliknya.

PWTC dikenali ramai sebagai ibu pejabat Umno, dan tempat di mana perhimpunan agung tahunan parti itu di adakan, yang sarat dengan perbincangan bercorak rasis dan hujah retorik.

Yang nyata tidak ada penyertaan dari dua tokoh agama utama di negara ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Nik Mat dan bekas timbalan perdana menteri dan juga ketua pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua Nik Aziz dan Anwar telah disenaraikan di antara 500 tokoh Muslim paling berpengaruh dalam satu penerbitan baru-baru ini, yang dikeluarkan oleh Pusat Pengajian Islam Diraja di Jordan. Anwar termasuk dalam senarai 100 tertinggi tokoh Muslim dalam majalah Time pada tahun 2008.

Ketidakhadiran kedua-dua tokoh ini daalam program persidangan ini, yang mempelopori keamanan dunia dan memupuk perpaduan, telah dibangkitkan untuk pengetahuan pihak penganjur, Muhammad Umar, seorang warga Britain dan pengerusi Yayasan Ramadhan.

Jawapan yang diperolehi memberi gambaran bahawa “Yayasan Ramadhan adalah sebuah organisasi bebas dan dasarnya tidak mahu terlibat dengan politik dalaman sesebuah negara.”

Perbalahan di antara para pemimpin Umno berhubung isu modul latihan Biro Tata Negara di mana ahli-ahli Pakatan Rakyat mendedahkannya sebagai alat mempromosi semangat kebangsaan Melayu yang melampau telah menenggelamkan mesej perpaduan yang dibawa oleh persidangan ini. -FMT

Pakatan Rakyat Tewas 1 Undi. Salah Siapa Kali Ini?

Pakatan Rakyat tewas tipis 1 undi apabila Pakatan Rakyat memperolehi 63 undi berbanding BN 64 undi dalam proses pengundian meluluskan Bajet 2010 bagi Kementerian Dalam Negeri semalam.

Setelah berakhir perbahasan penggulungan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk wira Abu Seman, Usul Belah Bahagian dijalankan atas permintaan MP PKR Subang dan Speaker Dewan Rakyat membenarkan Belah Bahagian tersebut.

Difahamkan, Lima Ahli Parlimen PAS tidak hadir. Seorang ke luar negara. Seorang lagi balik ke kawasan atas urusan di kawasan Parlimen yang diwakilinya dengan kebenaran Presiden PAS (Tok Guru Presiden tunggu sampai malam begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang). Tak diketahui apa terjadi kepada tiga orang lagi Ahli Parlimen PAS yang lesap (mungkin ada alasannya tersendiri) dan tidak ada dalam Dewan itu.

Syabas juga kepada MP Pasir Puteh yang bergegas ke Kuala Lumpur apabila dipanggil jam 2.00 petang (masih berada di Kuala Krai) sempat berada di Parlimen pada jam 10.35 malam.

15 lagi yang tidak ada dalam Dewan adalah dari PKR dan DAP. Belum dapat disahkan lagi berapa dari PKR dan berapa dari DAP.

Di sebelah pihak BN pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup berkejar ke Dewan Rakyat untuk menyelamatkan partinya dari mengalami kekalahan dalam pengundian.

Ada orang kata kekalahan memalukan itu menyebabkan Tok Guru Presiden marah. Tidak dapat dijangkakan adakah beliau akan mengambil tindakan atau tidak.

Saat mendebarkan bagi PM, Najib Razak. Syabas PR atas apa yang terjadi itu. Jangan menyesal dan Buatlah lagi lain kali!

Syabas kepada MP PAS Marang, Bachok, Tumpat, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Kuala Selangor, Titiwangsa, Rantau Panjang, Shah Alam, Bukit Gantang, Padang Terap, Jerai, Kuala Terengganu, Sik, Pasir Puteh, Kota Raja, Pendang dan Kota Bharu.

Senarai PKR dan DAP akan dimaklumkan kemudian. -jiwokelate


Ulasan GB

GB pernah mengulas isu ketidak-hadiran MP-MP Pakatan Rakyat di Parlimen terutama semasa undi belah-bagi dijalankan. Jika kita masih ingat sewaktu undi belah-bagi dilakukan untuk menggantung Gobind Singh Deo dari Parlimen, beberapa ahli parlimen PAS tidak hadir yang akhirnya kemenangan berpihak kepada BN. Anda ingat siapa yang tidak hadir di parlimen pada masa itu? GB cukup ingat. Diharap PR ambil pelajaran hal ini jika benar-benar mahu menjadi "kerajaan yang dinanti" - jika tidak TURUN dari menjadi Ahli Parlimen PR.

Husam Bakal Anjur Rapat Umum Royalti Minyak

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berhasrat mengadakan rapat umum besar-besaran berhubung isu pemberian royalti minyak.

Katanya, rapat umum yang akan diadakan di Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur itu akan menjemput kehadiran Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Satu daripada cadangan kita untuk mengadakan majlis rapat umum ceramah besar-besaran dengan penyertaan Pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah bersama dimulakan dengan Kelantan, Terengganu, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pidato Rakyat bertajuk Antara Royalti dan Ehsan: Siapa Pengkhianat Bangsa, semalam.

Husam berkata, Kelantan berhak menerima royalti minyak yang disumbangkan kepada perindustrian petroleum Negara setelah menandatangani perjanjian pada 1975 selepas Akta Petroleum 1974 dibentangkan.

Katanya, mengikut seksyen 4 akta ini menyatakan bahawa segala hak keistimewaan dan khazanah petroleum yang diserahkan kerajaan negeri kepada Petronas akan menerima bayaran wang tunai.

“Dalam seksyen 4 menyatakan segala hak keistimewaan dan khazanah petroleum ini diserahkan oleh kerajaan negeri kepada Petronas dan Petronas mesti membayar wang tunai kepada kerajaan negeri yang berkenaan,” katanya.

Husam berkata, royalti yang diterima ini juga bukan sahaja untuk Kelantan tetapi juga boleh digunakan untuk membentuk satu model penggunaan wang kekayaan negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

Beliau turut mendesak bakal Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed lebih telus menangani isu rasuah.

“Kita minta pesuruhjaya SPRM yang baru ini lebih adil dalam cara dia menangani isu-isu dalam negara kita dan tidak membiarkan isu-isu yang tebrengkalai,” katanya. - FANSURINA ABDULLAH (TVS)


Dewan Rakyat Tolak Usul Bincang Laporan Kewangan Petronas

Usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) bagi membincangkan Laporan Kewangan Petronas untuk separuh tahun pertama 2009 ditolak Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usul itu tidak mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak mempunyai perkara yang perlu disegerakan.

“Ahli-ahli yang berhormat saya telah menerima usul di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) daripada ahli yang berhormat daripada kawasan Permatang Pauh pada hari Khamis, 10 September 2009, teks usul adalah seperti yang telah dibaca oleh yang berhormat. Bagi membolehkan perkara ini dipertimbangkan oleh majlis mesyuarat pada hari ini, saya sebagai yang Dipertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh yang berhormat itu memenuhi tiga syarat. Perkara perkara ialah perkara itu adalah perkara tertentu, yang kedua adalah sebagai kepentingan orang ramai, dan perkara yang ketiga ialah dikehendaki disegerakan",ujar Junaidi.

Walaubagaimanpun ujar Junaidi, setelah melakukan penelitian, usul Anwar tidak menepati perkara yang ketiga di dalam pertauran tersebut.

“Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa, tertentu bahawa perkara ini adalah tertentu, kepentingan orang ramai, ia adalah kepentingan orang ramai, berkehendak disegerakan,perkara ini tidak perlu disegerakan. Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2)”katanya.

Menurut beliau, perkara itu masih boleh dibangkitkan pada masa akan datang contohnya ketika Dewan Rakyat membahaskan bajet tambahan.

Anwar dalam jawab balas kepada Junaidi berkata, Dewan Rakyat perlu membincangkan segera hal berkenaan kerana jelas peruntukan sebanyak RM 58 bilion yang terkandung dalam Bajet 2010 telah hilang.

“Yang Dipertua, sidang kita akan berakhir minggu hadapan, kalau perkara ini tidak dibincangkan segera, Dewan Rakyat dan rakyat, tidak akan mendapat sebarang penjelasan tentang bagaimana perkara ini boleh dilakukan. Kita boleh tolak ansur yang Dipertua, dalam maksud tidak menolak semua perkiraan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan tetapi kita perlu mendapat penegasan aspek mana yang boleh dikurangkan kerana parlimen tidak boleh diminta terus berbincang manakala kita tahun RM 57 bilion akan dipotong daripada peruntukan yang ada sekarang”.

Suasana di dalam Dewan menjadi kecoh seketika apabila ramai ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat meminta supaya Dipertua Dewan memikirkan semasak-masaknya usul Anwar itu.

Anwar dalam usul tersebut memberikan laporan kewangan Petronas yang menunjukkan kejatuhan purata pendapatan syarikat itu sebanyak RM58 bilion atau 37.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang diumumkan pada 8 Disember lalu.

Anwar berkata, perkara itu menjejaskan kedudukan ekonomi, kewangan dan Bajet 2010 negara yang sedang dipertimbangkan oleh Dewan Rakyat.

Malah menurut Anwar, kebergantungan kerajaan kepada Petronas akan menjejaskan kepentingan semua rakyat yang melibatkan perbelanjaan dan perbekalan oleh kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Dalam masa yang sama, para peniaga yang berurusan dengan Petronas, pengguna hasil pengeluran Petronas dan banyak lagi. -TVS



Jusco Mall Melaka Meletup, I Maut 19 Cedera

Seorang terbunuh manakala 19 lagi cedera apabila kebocoran pada saluran gas di Aeon Jusco Mall di sini menyebabkan satu letupan besar sehingga menjejaskan persiapan untuk pembukaan rasmi gedung membeli-belah itu Khamis ini.

Aeon Jusco Mall Melaka yang terletak di Jalan Lagenda, Bachang itu bakal menjadi gedung Jusco yang terbesar di Malaysia.


Dan persiapan untuk majlis pembukaannya rancak dijalankan dengan para pekerja dan penyewa sibuk menyiapkan lot/ruang kedai masing-masing apabila malapetak ini berlaku sejurus sebelum jam 1 petang tadi.

Letupan yang berlaku di bahagian medan selera aras bawah Jusco Mall itu sangat kuat sehingga meninggalkan lubang sedalam dua meter
.

Kaca dan serpihan yang pecah dari letupan tersebut melayang sejauh 25 meter.

Ketika pihak bomba tiba, terdapat dua orang mangsa ditemui tertiarap di luar bangunan manakala lima mangsa diselamatkan dari runtuhan akibat letupan tersebut.

Bagaimanapun, pihak bomba menemui Tiau See Peing, 25, seorang penyelia Restoran Old Town White Coffee ditemui mati dengan kecederaan teruk pada leher dipercayai terkena serpihan yang terpelanting.

Timbalan Pengarah Operasi Bomba Negeri, R. Ezhumalai ketika ditemui berkata, letupan tersebut kemungkinan disebabkan oleh kebocoran pada saluran paip gas berdasarkan keterangan beberapa saksi yang mengadu terhidu sesuatu seperti bau gas sejurus sebelum letupan itu berlaku.