4 Okt 2009

Slogan Najib Altantuya Agar UMNO Berubah Atau Diubah Hanyalah Palsu Bila Isa Samad Dicalonkan

Hasnah, rakan pejabat saya menghantar mesej melalui Twitter menyebut dia kecewa mendapat tahu calon Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang ialah Tan Sri Mohd Isa Samad. Tepat dugaan ramai.

Wanita ini tidak seharusnya begitu runsing kerana dia bukan pengundi di kawasan itu. Kalaupun dia pengundi, dia diketahui tidak akan memilih Isa untuk menjadi wakil rakyatnya.

Namun, dia menjelaskan sungguhpun semua andaian saya itu tepat, dia tetap kecewa kerana segala harapannya ke atas UMNO untuk berubah hancur berkecai. UMNO mendapat tempat dalam hatinya. Bapanya, ibunya dan beliau sendiri menjadi penyokong kuat UMNO dahulu. Dia hanya ‘beralih rasa’ pada Mac 2008 sahaja. Itu pun dilakukannya penuh tangisan.

Episod terakhir di mana Isa dipilih menjadi calon UMNO menyebabkan keyakinan itu berkecai. “Hasnah tidak akan percaya lagi.”

Cakap-cakap dan seruan agar UMNO mendengar desakan rakyat yang sering disebut oleh para pemimpin tingginya, hanyalah palsu dan tidak ikhlas. ‘Berubah atau diubah’ kalimat sering diucapkan Presiden UMNO, Najib menjadi asas harapan kepadanya.

Memang menakjubkan, dua kali berturut-turut UMNO memilih daripada kalangan ratusan ribu anggotanya di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dua orang yang mempunyai imej yang tercalar. Seorang dikatakan menyalahgunakan akaun amanah pelanggan dan seorang lagi dihukum kerana terlibat dalam rasuah politik.

Siri kekalahan (semuanya empat iaitu, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manek Urai dan Permatang Pasir) yang dihadapi UMNO bila berdepan Pas dalam PRK menyebabkan UMNO semacam lembik lutut.

Habis segala taktik telah digunakan tetapi masih tewas kepada Pas. Habis segala jentera parti dan kerajaan digerakkan membantu calon-calonnya, UMNO tetap kalah.

Bagan Pinang dikehendaki mengadakan PRK berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), wakil dari UMNO. Mahu tidak mahu, UMNO mesti sekali lagi berdepan dengan Pas.

Maka, kali ini UMNO tidak boleh kalah lagi. Ramai bersetuju kalau UMNO kalah kali ini, maka bolehlah UMNO menyertai Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun masuk lipatan sejarah sebagai sebuah parti yang pernah memerintah. Semua perkiraan mesti dibuat agar UMNO tidak kalah.

Faktor calon berupa hal terpenting untuk diambil kira bagi menjamin kemenangan parti. Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu, di mana sesiapa yang memakai songkok UMNO boleh menang mudah pilihan raya.

Lain zaman lain keperluannya. Siapa calon sering ditanya. Calon yang boleh membawa kemenangan sahaja akan dipilih.

Berdasarkan keyakinan itu, timbul satu teori dikemukakan dalam usaha mempastikan UMNO dapat mempertahankan kerusi ini. Jangan kira batang tubuh calon, kiralah popularitinya. Jika dia popular dan boleh membawa kemenangan kepada parti, angkatlah dia menjadi calon. Pedulikan kisah silamnya.

Mengikut peneraju teori ini, dan teori inilah nampaknya diapakai oleh UMNO utamakan matlamat mencapai kemenangan dulu. Masalah lain yang berbangkit darinya akan diselesaikan kemudian hari.

Berdasarkan teori ini, pertempuran kali ini adalah penting. Ia menolak pendapat bahawa UMNO mesti memberi tumpuan untuk memenangi peperangan keseluruhannya pada masa akan datang. Pengemuka teori ini bertanya apakah ada peluang lagi untuk memenangi peperangan pada masa akan datang jika pertempuran kali ini UMNO kalah?

Kalah pertempuran ini akan menyebabkan segala semangat, akan musnah dan tamatlah riwayat UMNO. Lagipun, peperangan itu akan hanya berakhir dengan kekalahan-kekalahan UMNO dalam pertempuran. Jadi, usahakan kemenangan yang ini dulu, sebagai penaik semangat.

Maka, kata mereka, pilihlah kucing yang boleh menangkap tikus. Jangan kira warna kucing itu, hitam atau putih. Rumusannya, pilihlah Isa tanpa mengira dia kucing putih, kucing hitam atau kucing buangan. Asalkan dia boleh tangkap tikus!

Ramai orang menjangka bahawa Isa akan menjadi pilihan UMNO Teluk Kemang. Awal-awal lagi mereka memberitahu akan mencadangkan hanya satu nama, iaitu Isa. Mereka kenal Isa dan mereka mahu Isa. Mereka tahu kisah silam Isa. Hanya Mahathir dan Tengku Razaleigh yang tidak mahu UMNO mencalonkan Isa.

Malah, UMNO bahagian ini mengugut untuk memboikot PRK jika pucuk pimpinan memilih orang lain selain Isa. Sikap inilah yang Hasnah, rakan sepejabat tadi beritahu saya amat menjelekkannya.

Kata beliau, inilah corak pemikiran orang Melayu yang dihasilkan oleh UMNO. Taat setia kepada ketua membabi buta. Sudah tidak tahu membezakan yang mana intan yang mana kaca.

Jadi, nampaknya, yang tidak mahu berubah itu bukan sahaja pemimpin UMNO malah pendokong parti itu di peringkat bawahan, akar umbi. Mereka tidak sensitif dengan kehendak rakyat. Sebab itulah jeritan untuk menolak politik wang itu gagal disambut kerana ia adalah amalan peringkat bawahan jua. Mereka gembira pemimpin mereka rasuah kerana tentunya mereka boleh mendapat ‘tempias’ juga.

Kalau yang bersalah itu peringkat bawahan, orang atasan bagaimana? Sama sahaja nampaknya. Isa, jika dia mahu, jika dia mementingkan masa depan parti UMNO keseluruhannya boleh menolak pencalonan itu.

Setinggi mana sanjungan orang kampung terhadap anak tempatan yang berjaya dan mereka tetap mahu anak tempatan itu terus berjaya hendaklah dibalas oleh Isa dengan penuh hikmah melalui penolakan. Katalah, “Saya sanjung tinggi penghormatan itu tetapi demi parti, saya tidak dapat menerimanya.”

Itu sikap pemimpin berjiwa besar. Tetapi Isa tidak berjiwa besar. Dia tetap menerimanya kerana kedudukan itu akan memberikannya kuasa. Mungkin suatu hari, dia dilantik kembali menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Dari aspek ini, Isa turut bersalah kerana mementingkan diri.

Kalau UMNO Teluk Kemang bersalah, Isa bersalah, bagaimana pula kedudukan orang lain?

Keputusan seperti yang diumumkan oleh Muhyidin memilih Isa itu memperlihatkan sikap kepimpinan Najib dan Muhyiddin yang lemah. Mereka tidak berani mengatakan ‘BIG NO’ kepada desakan UMNO Teluk Kemang.

Ini menunjukkan mereka bukan jenis pemimpin yang mampu membawa Malaysia ke tahap lain yang diterokai Mahathir jika mereka bertindak seperti kerbau ditarik hidung.

Sewaktu mengumumkan Isa sebagai calon, Muhyiddin kelihatan gembira dikelilingi oleh barisan pemimpin kanan BN. Senyuman lebar mereka menunjukkan mereka amat berpuas hati dengan pilihan itu. Mereka juga akur besar. Semua sama.

Rakyat sedar bahawa UMNO mempunyai dasar yang pelik dalam menentukan hukuman kepada wereka yang terlibat dalam politik wang. Ada yang dibawa ke mahkamah, ada yang dilarang bertanding dan diminta letak jawatan kerajaan (Isa) tetapi ada yang dilarang bertanding tetapi dibenar memegang jawatan (KM Melaka).

Apapun, pendirian Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) jelas. Satu wawancara disiarkan oleh akhbar New Straits Times pada 25 Januari 2009, Ketua Komisionernya, Ahmad Said Hamdah menjelaskaskan secara nyata bahawa politik wang adalah rasuah mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Ini katanya: “When you pay people to vote for you, that is corruption. People call it money politics but not us. Under the law, anybody who sells or buys votes is guilty of corruption, so we go on that basis.”

Bila SPRM tidak bertindak bukan bererti seseorang itu tidak melakukan rasuah. Itu pilihan SPRM dan hanya ia tahu alasannya tidak bertindak. Rakyat hanya boleh menduga.

UMNO patut tahu apa yang rakyat duga itu. Semua laungan Najib berkaitan ketelusan dan kebertanggungjawaban hanyalah kata-kata dan janji kosong. Sepatutnya, bahagian itu ditegur kerana tidak bertindak selaras dengan hasrat UMNO yang mahu berubah. ‘Berubah atau diubah’ hanyalah kokokan retorik semata-mata.

Sudah banyak ‘retreats’ UMNO lakukan untuk membaik pulih parti. Kali terakhir dua hari lepas mereka berkumpul lagi di Janda Baik. Lain rumusan dibuat, lain tindakan diambil. Para pemimpinnya masih memilih jalan pintas yang memberikan keseronokan segera tetapi hanya menjerat diri pada masa akan datang. Sayangnya, UMNO jadi taruhan.

Pelantikan Isa sebagai calon mendedahkan bahawa UMNO berada dalam keadaan terlampau selekeh. Memang ia memerlukan kemenangan untuk melengah kegelinciran lanjut parti itu dari kemusnahan. Tetapi, ia tidak perlukan Isa.

Apakah sebuah kawasan yang pada 2004 ditawan oleh seorang calon UMNO yang tidak terkenal seperti Azman Mohammed Noor itu di celah-celah kekuatan pembangkang dan di kawasan ‘bandar tentera’ dengan hampir 5,000 undi pos sudah tidak boleh diyakini mampu dipertahankan oleh BN kecuali Isa yang diletakkan sebagai calon?

Kalahkah calon BN jika bukan Isa yang jadi calonnya? Jika itu keadaannya, nyata UMNO sudah diserang sakit. Penyakit hilang keyakinan iaitu satu sifat yang amat penting dimiliki dalam pertarungan. Ia satu isyarat menemui jalan kehancuran.

Apakah kekuatan Isa sebenarnya? Jawatannya selama 23 tahun sebagai Menteri Besar dan beberapa tahun sebagai Menteri yang membolehkannya memberi kontrek kepada juak-juaknya yang menyebabkan beliau popular atau apa? Isa gagal mengekalkan jawatan Naib Presiden pemilihan parti awal tahun ini.

UMNO bukannya gagal melihat denyut nadi kehendak rakyat tetapi ia sudah sebati dengan cara hidupnya yang sudah mendarah daging menyebabkan sukar dikikis.

Benarlah kata Hasnah dalam mesejnya kepada saya, UMNO tidak memerlukan sebuah pakatan pembangkang yang kuat, ia akan mereput dengan sendirinya mengikut usia. UMNO sudah tua. -Sinar Harian


Era Najib Altantuya : Azeez Pembohong

PAS mendakwa Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berbohong berhubung isu beliau dipukul oleh sembilan lelaki yang dipercayai penyokong PAS.

Malah Naib Presidennya, Salahuddin Ayub juga mendakwa Abdul Azeez sengaja mencetuskan provokasi dan mencari publisiti murahan.

"Beliau telah berbohong, beliau bercakap bohong dan beliaulah yang merupakan tokoh provokasi.

"Boleh saya katakan di samping pembohong, beliau juga merupakan pencari publisiti murahan... beliau sebenarnya tidak dipukul.

"Beliau sengaja lalu di kawasan yang telah diwartakan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan polis sebagai kawasan untuk penyokong Pakatan Rakyat... saya percaya beliau lakukan dengan niat," katanya dalam sidang media di Markaz Induk PAS di sini hari ini.

Salahuddin berkata demikian bagi mengulas mengenai insiden melibatkan Abdul Azeez yang mendakwa dipukul oleh penyokong PAS.

Menurut Abdul Azeez, beliau telah diserang oleh kira-kira sembilan orang lelaki yang memakai pakaian yang mempunyai logo PAS.

Jelas Salahuddin, beliau sempat bertemu dengan Abdul Azeez semalam di tempat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di dewan Majlis Perbandaran POrt Dickson dan menurutnya, beliau tidak nampak sebarang kesan lebam hasil daripada tumbukan seperti yang didakwa.

"Semalam beliau datang berjumpa dengan saya, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri, mendengar dengan telinga saya sendiri bahawa beliau mengatakan telah dipukul oleh sembilan orang pemuda PAS.

"Awak boleh bayangkan kalau sembilan orang yang pukul, tentu ada kesan-kesan tumbukan... lebam.

"Malah hari ini saya telah meneliti gambar berwarna di akhbar, saya gunakan mikroskop yang agak canggih, saya tak nampak pun sebarang kesan di leher, tak nampak pun kesan lebam," katanya.

Ditanya sama ada PAS akan membuat laporan polis untuk menyangkal dakwaan Abdul Azeez itu, Salahuddin berkata: "Saya tak nak layan pembohong ini, saya ada banyak kerja lain nak dibuat... biarlah beliau mencari publisiti dalam beberapa hari ini," katanya.

Era Najib Altantuya : Nik Aziz Tolak Tuduhan Kekecohan Dilakukan Ahli PAS Berdasarkan Pakaian

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa insiden Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditumbuk semasa penamaan calon pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang semalam dicetuskan oleh penyokong PAS berdasarkan pakaian, demikian lapor Bernama.

Menteri Besar Kelantan itu berkata pakaian (seragam) adalah dalil atau bukti yang tidak boleh diterima.

"Sebab pakaian seragam sekarang boleh dibeli di mana-mana, malah uniform polis, tentera boleh dibeli untuk digunakan atas sesuatu tujuan atau niat mereka," katanya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diselar kerana membuat tuduhan tanpa bukti kononnya sikap biadap penyokong pembangkang dari PAS yang memukul dan menumbuk penyokong Umno tidak melambangkan sikap parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam.

Katanya, ini merupakan contoh parti yang tidak beradab sedangkan pada masa yang sama ia mengaku memperjuangkan Islam.

"Mereka kata Islam itu berhemah, berbudi pekerti, berakhlak tinggi, bermoral tetapi nampaknya mereka ini tidak seperti parti Islam," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon Umno dan PAS di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu.

"Apakah benar yang menumbuk dan memukul itu ahli PAS atau Pakatan Rakyat ataupun ianya adalah temberang UMNO BN sendiri untuk menimbulkan kebencian pengundi terhadap PAS dan Pakatan Rakyat?" tegur seorang pemimpin PAS Kawasan di sini.

"Muhyiddin perlu kemukakan bukti, siapa yang terlibat di dalam insiden berkenaan, ahli PAS nombor berapa dan apa bukti mereka ahli PAS," ujarnya lagi.

Setiap kali pilihanraya kecil atau umum, di mana-mana, akan wujud satu budaya di mana hanya parti pembangkang akan dipersalahkan di dalam setiap insiden pertengkaran yang berlaku seolah-olah ia sudah ada skrip awal untuk memburukkan parti pembangkang.

Era Najib Altantuya : PAS Kedah Bantu Bagan Pinang

Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, jenteranya telah pun memulakan persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil di Bagan Pinang pada 11 November ini.

Katanya, jentera Pas Kedah akan mula turun padang bagi meninjau keadaan pengundi di sana yang akan dimulakan dengan berjumpa pengundi di sekitar kawasan Teluk Kemang pada minggu ini.

Mahfuz berkata, kali ini beliau dan jenteranya tidak akan mengehadkan jumlah kawasan untuk menyampaikan maklumat malahan pada pilihan raya kecil kali ini lebih banyak kawasan yang akan ditinjau bagi memastikan Pas tetap memperoleh kemenangan pada pilihan raya kecil Bagan Pinang.

“Satu mekanisma baru juga akan dikaji untuk digunakan ketika jentera menyampaikan maklumat kepada pengundi kerana kita mahu setiap maklumat yang disampaikan akan dapat diterima oleh mereka.

“Jadi dengan cara ini kita akan dapat sampaikan maklumat dengan lebih mudah dan secara tidak langsung kepercayaan pengundi terhadap kepimpinan dan parti ini akan menjadi lebih kuat,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai persiapan Pas Kedah untuk pilihan raya kecil di Bagan Pinang.

Mahfuz berkata, jentera yang kuat juga amat perlu bagi pilihan raya kecil pada kali ini kerana kebanyakan pengundi di kawasan itu membabitkan anggota tentera yang secara tidak langsung berkait dengan undi pos.

Katanya, beliau juga risau dengan keadaan itu namun yakin dengan jiwa kepahlawanan yang ada pada setiap anggota tentera itu.

Beliau berkata, semangat mengutamakan keselamatan negara yang ada pada jiwa anggota tentera itu juga mampu membuatkan mereka untuk berfikir pemimpin yang manakah yang layak untuk memimpin kawasan itu.

Era Najib Altantuya : Pengundi Akan Pilih Calon Yang Bersih

Pakatan Rakyat yakin pengundi N31 tidak sewenang-wenangnya memilih calon Adun Bagan Pinang berdasarkan kriteria anak tempatan semata-mata, sebaliknya, kelayakan calon mestilah terdiri oleh seorang yang berakhlak mulia serta tidak mengamalkan rasuah.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, calon Pakatan Rakyat Zulkefly Mohamad Omar tidak mustahil memenangi hati anak tempatan, seperti yang berlaku dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir lalu.

"Ustaz (Mohd) Salleh Man bukanlah anak tempatan Permatang Pasir. tetapi boleh menang kerana pengundi sendiri menolak Rohaizat (Othman) yang tidak bersih."

Katanya, Salleh nyata tidak dikenali penduduk tempatan, berbanding Rohaizat Othman yang kebetulan anak jati tempatan.

Tapi, apalah gunanya seseorang calon itu dikenali sebagai pecah amanah, terlibat dalam salah guna kuasa dan mempunyai beberapa masalah peribadi yang begitu meruncing.

Jelasnya lagi, 22 tahun Isa menjadi Menteri Besar jika berjasa kepada rakyat sekalipun, itu adalah tanggungjawab pemerintah.

Pun begitu, khalayak lebih tahu sejauh mana kepemimpinan serta kemampuan Isa sebelum ini.

"Beberapa isu seperti perparitan yang tidak berfungsi, projek mee segera yang banyak terbengkalai, isu pembiakan lalat terutama waktu musim hujan, sampah sarap tidak diurus dengan baik, semuanya masalah rakyat yang tidak diselesaikan Isa."

Tambahnya lagi, Isa juga perlu menjawab beberapa tanda tanya rakyat mengapa PD Marina dibina atas 20 ekar tanah rizab rakyat Melayu.

Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena menjelaskan, jika Zulkefly menang dalam pilihanraya kecil N31; bermakna ia mempercepat kemenangan Pakatan di Negeri Sembilan dan Selatan Malaysia.

"Umno tidak boleh sombong mendabik dada mengatakan Zulkefly tidak boleh buat apa-apa jika menang kerana negeri di bawah Umno.

"Beza kerusi tidak banyak. Mereka (BN) 19 dan kita (Pakatan) 15. Kalau Zulkefly memang, mendekatkan kita pada membentuk kerajaan jika ada beberapa adun BN yang bersih sedia bersama kita.

"Jika Zulkefly menang, Umno akan lebih berkhidmat untuk (rakyat) Bagan Pinang dan negeri kerana tidak mahu lagi Dun yang lain pula jatuh ke tangan Pakatan," katanya.

Sebelum menjadi calon, Zulkefly telah berkhidmat dalam beberapa sektor swasta profesional; termasuk mempengerusikan gerakan 'No Incinerator' di Broga.

Kelulusan peringkat Sarjana (Master) dalam Sains serta pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi melengkapkan lagi kepemimpinan pengurusan beliau.

Kelmarin, Zulkefly menjelaskan bahawa beliau anak jati Negeri Sembilan. Isa pula dikenali sebagai anak jati Telok Kemang.

Pengumuman SPR pagi tadi, mengesahkan Zulkefly bakal ditentang oleh Isa.

Pilihanraya kecil N11 menyaksikan Umno sedaya upaya meraih sokongan pengundi dengan memainkan sentimen anak tempatan, sedangkan PAS serta Pakatan Rakyat pula yakin pengundi akan terus memilih calon yang berakhlak, bersih serta amanah seperti beberapa pilihanraya kecil sebelum ini. -harakahdaily

Era Najib Altantuya : Isa Juga Bukan Anak Tempatan

Media massa arus perdana memainkan isu anak tempatan dengan menyatakan calon PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Zulkefly Mohamad Omar bukan anak tempatan Bagan Pinang, satu faktor yang mungkin memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Zulkefly Mohamad, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, telah terus memancung persoalan itu dengan menyatakan soal anak tempatan tidak timbul kerana beliau dilahirkan di Lenggeng, juga di negeri itu.

"Saya anak watan Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon PAS menentang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dari BN bagi pilihan raya kecil pada 11 Okt ini.

Zulkefly berkata isu "anak tempatan" tidak timbul kerana Mohd Isa, yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, bukan berasal dari negeri itu sebaliknya dilahirkan di Melaka.

Di dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir, UMNO telah menurunkan calon anak tempatan Rohaizat Othman melawan Ustaz Mohd. Salleh Man dari dari Parlimen Tasek Gelugor dan calon UMNO itu telah menerima kekalahan teruk di dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Era Najib Altantuya : Zul Ucap Terima Kasih Dan Yakin Menang

Calon PAS, Zulkefly Mohamad bin Haji Omar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pimpinan tertinggi PAS, pimpinan PKR dan DAP, semua petugas dan penyokong yang turut serta memberi sokongan dalam penamaan calon pagi tadi.

"Tidak lupa juga kepada semua penyokong yang mendoakan perjalanan hari penamaan calon walaupun tidak dapat hadir bersama ke tempat penamaan calon itu," ujarnya ketika ditemui di markaz induk PAS Bagan Pinang selepas selesai penamaan calon pagi tadi.

Disamping itu, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua parti Pakatan Rakyat yang memberi kerjasama dan sokongan yang cukup baik kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Tambahnya, kepercayaan yang diberikan oleh Pakatan Rakyat merupakan amanah yang besar kepadanya dalam mengisi kemenangan berturut kepada Pakatan Rakyat.

Ditanya mengenai peluang untuk menang, beliau yakin bahawa Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS mampu memenangi kerusi DUN Bagan Pinang pada hari pengundian 11 Oktober nanti. Ditambah sokongan kuat dan gerak kerja berterusan dari ahli PKR dan DAP

"Ini adalah berdasarkan kepada kesedaran rakyat Bagan Pinang yang memahami keadaan politik negara pada masa ini," ujarnya.

Terdahulu, beliau turut meminta petugas dan penyokong PAS agar menunaikan solat hajat demi mencapai kemenangan yang diharapkan.

Era Najib Altantuya : Pembohongan Muhyiddin Dan Media Pro Kerajaan Semakin Nyata

Semalam kami mendedahkan pembohongan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang memetik berita dari media arus perdana yang membuat tuduhan tanpa bukti kononnya sikap biadap penyokong pembangkang dari PAS yang memukul dan menumbuk penyokong Umno tidak melambangkan sikap parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam.

"Muhyiddin perlu kemukakan bukti, siapa yang terlibat di dalam insiden berkenaan, ahli PAS nombor berapa dan apa bukti mereka ahli PAS," ujar seorang pemimpin PAS Kawasan.

Media massa arus perdana kemudiannya melaporkan polis sebenarnya masih belum mengenal pasti suspek yang menumbuk Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, semasa proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata polis sedang menyiasat insiden itu selepas Abdul Azeez yang juga Ketua Umno Bahagian Baling membuat laporan di IPD Port Dickson pada 12.30 tengah hari tadi.

"Kami telah menerima laporan kes tumbuk itu yang berlaku kira-kira jam 9.20 pagi. Menurut laporan itu, si pengadu telah ditumbuk di bahagian belakang, leher dan pipi ketika beliau melalui kawasan penyokong Pas yang berkumpul, setakat ini tak ada saksi dan kepastian siapa yang ampunya angkara.

"Bagaimanapun, seorang lagi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang turut bersama beliau tidak membuat laporan kerana terselamat daripada insiden itu," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, polis akan menyiasat dengan kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Mengenai balingan botol air meneral oleh penyokong PAS kepada FRU seperti yang didakwa oleh BHOnline dan New Straits Times sewaktu membuat lintas lansung melalui widget Cover-It Live, Osman berkata polis setakat ini tidak mendapat laporan berhubung insiden baling botol minuman ketika proses penamaan calon itu.



Era Najib Altantuya : Siapa Dulu Serah Borang Pun Media UMNO BN Nak Tipu

Pengurus Pilihan Raya Kecil, Abdul Wahab Shamsuddin telah mengumumkan pencalonan yang diterima bagi pilihan Raya Kecil Bagan Pinang selepas bantahan ditutup pada jam 11.00 pagi.

Calon PAS, Zulkifly Mohamad Omar menghantar borang pencalonannya seawal jam 9.06 pagi mendahului calon BN pada jam 9.45 pagi, bukan seperti yang dilaporkan sebaliknya oleh Bernama dan media massa pro kerajaan.



Pilihanraya kecil siri ke sembilan ini menyaksikan pertandingan dua penjuru diantara PAS dan BN ini bakal menemukan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad bin Haji Omar dengan Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Sehingga tempoh bantahan ditutup, SPR menerima dua bantahan yang dikemukan terhadap pencalonan-pencaloan tersebut. Namun setelah masa bantahan ditutup, tiada calon yang ditolak kertas penamaannya.

Kehangatan persaingan antara kedua-dua calon ini amat dirasai dengan kehadiran penyokong parti masing-masing daripada negeri-negeri luar yang membanjiri perkarangan dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyebabkan beberapa jalan utama sekitarnya ditutup secara berperingkat.

Unit Amal dan pihak berkuasa yang bertugas bagaimanapun berjaya mengawal lalu lintas terutamanya di bilik gerakan utama parti masing-masing dalam memastikan kelancaran hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang hari ini.


Era Najib Altantuya, Musa Aman Disiasat Agensi Antarabangsa

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menghadapi satu pertuduhan serius selepas di dakwa terbabit dalam jenayah penyeludupan dan pengurupan wang haram berjumlah RM16 juta di Hong Kong.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin berlepas ke Hong Kong semalam bagi membantu siasatan Badan Pencegah Rasuah Hong Kong (ICAC) keatas orang kanan Musa Aman, Micheal Chia Tien Foh.

Chia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos tahun lalu, selepas cuba menyeludup wang sejumlah RM16 juta dalam matawang dolar Singapura. Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat memfailkan laporan ke ICAC selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia enggan mengambil tindakan keatas orang kanan Ketua Menteri Sabah ini.

“Saya baru tiba dari Hong Kong dalam rangka menghantar satu laporan dalam kes penyelewengan, rasuah dan wang haram yang membabitkan seorang ahli perniagaan Michael Chia dan juga ada kaitan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman” ujarnya.

Menurut Shamsul, pihaknya difahamkan wang yang diseludup orang kanan Musa Aman itu adalah hasil sindiket pembalakan haram yang bermaharajalela di Sabah.

Wang-wang haram ini dipercayai masih tersimpan kemas dalam akaun-akaun bank di Hong Kong.

ICAC memberikan komitmen bahawa pihaknya akan memburu dan menyiasat kes ini. ICAC juga telah memberi dua jaminan kepada Shamsul iaitu akan memberikan maklum balas dalam tempoh seminggu sama ada wujudnya kes dalam hal ini dan juga hak kerahsian kerana ia melibatkan isu kerajaan dengan kerajaan.

“Saya mendakwa bahawa terdapat perlakuan rasuah di dalam negara Hong Kong. Saya juga membuat dakwaan duit-duit haram ini masih disimpan dalam akaun-akaun di Hong Kong dan meminta akaun-akaun itu dibekukan tetapi tidak ada komen sama ada setuju atau tidak dari pihak ICAC” tambahnya.

Tambah Shamsul, Chia merancang untuk menyeludup RM16 juta wang haram ini ke Kuala Lumpur bagi memperkasa kempen Umno-BN menewaskan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

AMK telah memfailkan kes ini yang mendapat liputan meluas media antarabangsa ke SPRM, namun selepas setahun berlalu tiada sebarang tindakan diambil.

“Kita kecewa dengan sikap SPRM yang sampai sekarang tidak mengambil sebarang tindakan. Akhirnya kita terpaksa walaupun dengan berat hati menggunakan semua saluran yang ada kerana kita merasakan wang ini adalah wang rakyat. Wang ini perlu dikembalikan kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah” tambahnya lagi.

Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang juga seorang peguam menyifatkan, penyeludupan dan pengurupan wang haram ini sebagai jenayah baru di Malaysia dan ia bersifat serius.

“Bagi saya apa yang dikatakan sebagai pengubahan wang haram politik ini satu perkara yang perlu ditangani segera kerana ia melibatkan satu jumlah yang besar. Lebih menarik pula, ia merupakan satu kesalahan di bawah akta yang baru diluluskan oleh kerajaan Malaysia iaitu di bawah AMLA” katanya.