27 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Pemuda PR Sedia Gempur Bagan Pinang

Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang semakin terasa bahangnya.

Barisan Pemuda Pakatan Rakyat mengumumkan kesediaan menghadapi UMNO-Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Pimpinan kanan Pakatan Rakyat melancarkan jentera bersepadu sayap pemuda gagasan kerajaan alternatif itu di Bagan Pinang semalam dalam usaha merampas kerusi yang dikatakan kubu kuat Umno-BN.

Perasmian jentera Pemuda Pakatan ini dihadiri oleh ramai barisan pemuda dan penduduk Kampung Bagan Pinang.

Hadir pada majlis itu adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi dan Ketua DAPSY, Loke Siew Foke.

Bagi tetamu istimewa, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr. Syed Hussien Ali yang merasmikan pelancaran tersebut berkata, apa pun jua permasalahan di Bagan Pinang ianya perlu ditangani dengan bijak.

Beliau berkata demikian mengulas tentang undi pos yang difahamkan akan terus digunakan pada pilihanraya kecil Bagan Pinang.

" Sebaik-baiknya pengundian dilakukan macam biasa. Ada kotak misalnya ada tong di pintu pejabat atau di luar kem dan mereka keluar untuk mengundi. Mengapa tak boleh? Sama macam proses yang lain. Mereka tidak di Monggolia atau di perbatasan. Mereka sentiasa ada di kem itu, Mereka tidak ke mana-mana pun" ujarnya.

Sementara itu bagi Ustaz Nasaruddin pula, meski apa pun halangan yang bakal dihadapi oleh Pakatan di Bagan Pinang, jentera pemuda sudah bersedia.

Beliau tidak lupa memberikan nasihat kepada Pemuda supaya sentiasa bersedia mendengar arahan dan jangan sesekali melakukan perkara negatif yang memungkinkan harapan parti itu terkubur.

" Biarpun kita diganggu dan diancam dengan undi pos di Bagan Pinang ini. Saya yakin kita masih mempunyai peluang yang cerah di DUN Bagan Pinang ini asal sahaja kita mempunyai komitmen yang tinggi, bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita".

Bagi Siew Foke pula, UMNO-BN katanya semakin hilang sengat. Bagi DAP, gagasan parti-parti perkauman itu dalam keadaan tertekan dan terdesak memenangi Bagan Pinang.
" Kita nampak UMNO sudah ketandusan isu. Sudah bankrap idea. Tidak ada idea baru.

Tidak ada cara baru untuk mendekati hati rakyat. Tidak ada cara untuk menangkan pilihanraya. Todak ada cara untuk berkempen. Balik-balik cara yang lama" ujarnya kepada sidang hadirin.

Malah Siew Foke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, taktik UMNO-BN yang sering menyogok rakyat dengan pembangunan tidak akan berhasil di Negeri Sembilan.

Pembangunan apa lagi yang diharapkan oleh rakyat Negeri Sembilan sekiranya insfrastruktur yang sudah sedia ada juga telah lama terbengkalai.

" Kita sudah nampak masa kita masuk Kampung Bagan Pinang tadi. Sudah mula lah. Hari Sabtu pun sudah ada kerja sekarang. Kontraktor kelas F semua gembiralah. Musim perayaan untuk mereka sekarang ini. Banyak projek dapat" tambahnya lagi.

Manakala bagi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar, Bagan Pinang bukan hanya satu laluan yang sukar kepada kepimpinan Umno malah mereka turut menghadapi krisis untuk memulakan pertarungan sengit ini.

Beliau berkata demikian kerana parti itu ujarnya dalam dilema untuk menentukan siapa calon mereka nanti.
" UMNO sekarang ini mengalami satu sindrom takut nak jadi calon. Berapa banyak calon-calon UMNO hilang pekerjaan. Formula Manek Urai, terbarai. Dulu pengarah sekarang penganggur. Problem. Kawan saya di Permatang Pasir, tak apalah dia lawyer tapi susah juga nak jawab bini nombor dua. Kalau tak jadi calon tak apa. Sudah jadi calon keluar semua. Kalah pula tu".

Sebelum ini heboh diperkatakan UMNO akan meletakkan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon mereka di Bagan Pinang.

Malah menurut Shamsul lagi, mungkin ada benarnya meletakkan Isa Samad kerana beliau sememangnya sudah kaya dan tidak risau sekiranya kehilangan pekerjaan.

Namun begitu katanya, UMNO-Barisan Nasional meletakkan diri mereka dalam zon merbahaya kerana Isa Samad cukup sinonim dengan kes rasuah. -TVA



Era Najib Altantuya : Apabila Noh Omar Bela Hassan Ali

Para pemimpin dan penyokong parti pembangkang yang sering melaung-laungkan kebebasan bersuara sepatutnya bersikap terbuka apabila Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menegur Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata beliau hairan apabila ada yang mahukan tindakan diambil terhadap Dr Hasan sedangkan sebagai wakil rakyat dan bekas pegawai tinggi kerajaan, pandangan yang diberikannya adalah betul.

Tindakan sehingga menyuruh Dr Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri itu dipecat adalah membelakangi prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh parti pembangkang selama ini, katanya kepada pemberita ri Rumah Terbuka Umno Bahagian Tanjung Karang yang diterajuinya di sini pada hari Ahad.

Sebelum ini, Dr Hasan telah menegur kaedah para pegawai daerah yang disiasat bagi mengetahui kemanakah wang peruntukan Anggota Dewan Undangan Negeri sebelum Pilihan Raya Umum 2008 dibelanjakan yang didakwa menghina dan memperkotak-katikkan maruah pegawai-pegawai kerajaan.

"Jadi kalau pegawai daerah ini disoal siasat secara terbuka, ini bagi saya menghina dan mempersoalkan kerja-kerja yang dibuat oleh pegawai dalam negeri Selangor kerana bagi kita semasa Barisan Nasional memerintah, pegawai-pegawai kerajaan negeri telah terbukti membantu kerajaan Barisan Nasional membangunkan negeri Selangor," katanya. -Bernama


Ulasan GB

Apabila pemimpin UMNO BN mengambil sikap membela Dr Hassan Ali, kita sedia maklum untuk memahaminya. Nanti akan bertambah jelas duduk perkara sebenar apatah lagi Timbalan Presiden PAS sendiri menyatakan tiada tindakan ke atas Dr Hassan Ali.

Tetapi Khalid Samad dan Saari Sungip mereka telah digugurkan dari Dewan Harian PAS Selangor kerana perbezaan pendapat.

Tulisan Dzulkifli Ahmad di Harakah ditarik-semula setelah mengeluarkan hujjah penentangannya terhadap Kerajaan Perpaduan.

Semua yang menentang gagasan Kerajaan Perpaduan akan disisihkan di dalam PAS. Ini era PAS yang dah suka melakukan sesuatu di dalam kelambu (sama macam UMNO) kononnya untuk elak kononnya jangan aibkan sesiapa. Tetapi jika mereka singkirkan orang yang berbeza pendapat atau aibkan orang, itu tak apa dan tak ada apa-apa.

Tonton nanti 3 Abdul, undang-undang berat sebelah.



Era Najib Altantuya : UMNO Jangan Cuba Ekspoitasi Undi Pos

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengingatkan Umno Barisan Nasional (BN) tidak mengeksploitasi pengundi pos di pilihan raya kecil Bagan Pinang yang akan berlangsung pada 11 Oktober ini.

Beliau berkata dengan jumlah undi pos yang berjumlah 4,604 orang bagi mempertahankan kerusi berkenaan dilihat boleh menjadi penentu kepada kemenangan parti pada pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 dan daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

“Nampak gayanya di mana-mana negeri termasuk Kelantan, undi pos jadi penentu. Jadi sama ada askar dipaksa, tak munasabah, jadi demokrasi macam mana kalau dipaksa atau pun ada seseorang yang khusus pangkah undi untuk orang lain yang tidak tahu hujung pangkalnya.

“Saya harap telus sebab kita demokrasi, jadi kita belajar demokrasi dari Eropah, tapi betulkah orang Eropah ajar askar macam itu, Eropah tak paksa askar dan polis turut mengikut arahan ketua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan penceramah parti itu supaya tidak menyerang secara peribadi lawan sepanjang kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang nanti.

Nik Aziz berkata, secara umum penceramah Pas boleh meyentuh perkara berkaitan dasar tanpa menyentuh peribadi lawan di pentas ceramahnya sepanjang hari berkempen.

Jelasnya walaupun hari berkempen adalah saat yang perlu digunakan sepenuhnya oleh semua pemimpin parti tetapi tidak bermakna peluang yang ada itu disalahgunakan dengan menyerang secara peribadi.

“Saya tak suka sentuh peribadi, hal peribadi kenapa nak beritahu orang lain, kalau sentuh perangai secara umum itu tak pa.

“Kita sebut rasuah politik, sebut rasuah itu haram dalam agama dan demokrasi, nak sebut secara umum taka pa, jangan tuju sesiapa dan kalau hendak sebut juga, jumpa orang itu sendiri,” katanya. -TVA

Era Najib Altantuya : Nik Aziz Gesa Ibrahim Ali Letak Jawatan

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini bahawa Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali perlu meletakkan jawatannya susulan dengan tindakan yang dilihat tidak sehaluan dengan parti tersebut.

“Saya minta dia keluar... yang melantik dia (bertanding di Pasir Mas) saya dengan bendera Pas. Bila (Pas) kawasan Pasir Mas minta dia undur, dia kena berundur. Duit yang dia makan tu tidak betul, sembahyang Tuhan tak terima,” katanya.

Sebelum ini, menjawab cabaran Nik Aziz, Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Pasir Mas menyatakan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Mas kecuali jika diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua UMNO Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam UMNO seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.

Ibrahim turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat

Ketika ditemui di kediamannya semalam, Menteri Besar Kelantan itu berkata, dalam keadaan kini, tiada guna Ibrahim mengekalkan jawatan itu jika masyarakat memandang lekeh kepada beliau.

“Lebih baik dia letak jawatan... perut kenyang tapi masyarakat pandang lekeh. Orang Pas yang undi dia dan memenangkan dia, hanya sedikit orang UMNO mengundi dia,” katanya.

Selain itu katanya, beliau tidak peduli sekiranya Ibrahim kembali bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon bebas dan Pas akan tetap meletakkan calon dalam pilihan raya tersebut.

Terdahulu, Nik Aziz berkata, beliau tidak bimbang jika Ibrahim meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Era Najib Altantuya : Kalau Saya Isa, Saya Tarik Diri - Mahathir

Kalau saya jadi Isa Samad, saya tarik diri dan sokong calon lain yang dipilih,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika diminta mengulas UMNO Bahagian Teluk Kemang yang mahukan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menjadi calon.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, adalah baik jika Isa memberikan kerjasama berkempen untuk calon yang dipilih dan cara tersebut dapat meningkatkan reputasinya.

“Kita bukan semata-mata nak menang, jika menang pun calon tak bersih buat apa,” katanya.

UMNO Bahagian Teluk Kemang tidak berganjak dengan pendiriannya yang mahukan Tan Sri Isa Samad sebagai calon dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan (DUN) Bagan Pinang, 10 Oktober nanti.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Teluk Kemang, Rohani Yaakob pula berkata, mereka sebulat suara memutuskan kata sepakat ini namun, ia terpulang kepada Presiden untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, tindakan UMNO Bahagian Teluk Kemang itu dilihat berpandangan singkat dan hanya melihat kepentingan bahagian saja tanpa mengambil kira kepentingan parti.

“Jika diletak calon tidak bersih, maka keseluruhan parti akan dikutuk. Saya minta jangan letak Isa sebagai calon,” katanya kepada media di kediamannya sempena rumah terbuka Aidilfitri, semalam.

Kira-kira 10,000 rakyat mengunjungi rumah terbuka bekas Perdana Menteri itu yang dibuka seawal 10 pagi sehingga 5 petang, semalam. Mereka adalah rakyat jelata yang mengagumi ketokohan beliau hingga kini.

Antara pemimpin yang hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dan isteri; Menteri Pelancongan Dr Ng Yen Yen dan kenamaan lain. -SH

Era Najib Altantuya : SELCAT, Isu Jadian Yang Memualkan

Baru-baru ini kita terpaksa menangani “krisis jadian” sekali lagi di Selangor. Krisis kali ini berhubung persoalan kaedah sesi soal siasat terbuka yang berlangsung melalui Selcat, khususnya terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Mereka dikatakan telah “dibuli”, “diperbudak-budakkan” dan “dihina” semasa perjalanan sesi tersebut. Di atas alasan ini maka dikeluarkan kenyataan mengkritik perjalanan sesi soal siasat tersebut di dalam media.

Seperti yang boleh dijangkakan, kritikan terbuka sebegini oleh Datuk Dr. Hasan Ali, sebagai seorang Ahli Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh media arus perdana. Kritikan-kritikannya digunakan untuk menyatakan kononnya wujud perbalahan dan berbagai masalah dalam PR Selangor.

Sebenarnya, kita semua menyedari bahawa Selcat merupakan perkara yang baru. Sesi soal siasat terbuka seperti ini sememangnya merupakan satu amalan yang tidak biasa dilakukan di negara kita ini. Oleh itu sudah pasti akan ada reaksi yang kurang baik dan mungkin akan ada juga kelemahan-kelemahan yang perlu diatasi. Saya difahamkan bahawa sudah pun dibuat teguran-teguran kepada pihak yang berwajib bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang telah pun dikenalpasti. Teguran-teguran itu telahpun diterima dengan baik di atas semangat kebersamaan dan kerjasama.

Yang menjadi masalah ialah apabila Datuk Dr Hasan membuat pendedahan dan kritikan berhubung persoalan ini kepada pihak media arus perdana. Diambil olehnya posisi sebagai pengkritik dan pembangkang, mengkritik kerajaan PR, sedangkan beliau sepatutnya memainkan peranan sebagai ahli exco yang sedang bersama berusaha untuk mengasaskan budaya ketelusan, pertanggungjawaban dan keamanahan yang hampir tidak wujud semasa zaman BN dahulu. Diluah pula apa yang tidak dipersetujuinya kepada akhbar arus perdana yang dikenali semua sebagai alat pihak lawan.

Semestinya apabila diserang sebegitu, oleh orang yang dianggap rakan, ramai dari Adun PR yang terperanjat. Lebih-lebih lagi apabila teguran-teguran yang sama telah pun dibincang bersama secara tertutup dan telah juga diambil kira. Tindakan beliau dilihat sebagai usaha untuk menonjolkan diri sebagai pembela pegawai-pegawai ini, sambil dalam masa yang sama Selcat pula digambarkan sebagai pihak yang menzalimi mereka!

Bagi saya, yang “membuli”, “memperbudak-budakkan” dan “menghina” pegawai-pegawai kerajaan gred atasan ini ialah pentadbiran BN dahulu. Ini mereka lakukan apabila mereka mengarah pegawai-pegawai atasan ini supaya membenarkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi setiap DUN dihabiskan dalam tempoh 2 bulan sedangkan ianya peruntukan untuk setahun! Mereka dipaksa mengenepikan peraturan-peraturan tetap dan dalam pada itu diugut dengan tindakan tata-tertib sekiranya tidak akur. Ini “buli” dan ini “memperbudakkan”. Sebaliknya, tindakan kerajaan PR ingin mendidik dan memartabatkan jawatan pegawai-pegawai kanan ini dengan menjelaskan kepada mereka amanah dan tanggungjawab yang datang bersama jawatan yang penting sebegitu.

Hasil tindakan mengkritik Selcat secara terbuka oleh Datuk Dr Hasan, dan ini bukan merupakan kali pertama tindakan sebegini dilakukannya, telah pun menjejaskan imej PR dan PAS.

PR kelihatan sebagai sebuah kerjasama dan gabungan yang rapuh, lemah dan tidak kukuh. Ia dilihat sentiasa bertelagah satu sama lain walaupun telah bersama selama lebih dari setahun. Imej lemah sebegini memang diusahakan oleh BN dan dengan tindakannya itu, beliau telah pun secara tidak langsung membantu BN dalam usaha mereka untuk memperlekehkan PR. Segala usaha PR untuk menzahirkan imej bersatu, kukuh dan padu digagalkannya dengan tindakan sebegini.

PAS pula dilihat sebagai parti yang bersifat “talam dua muka”atau “gunting dalam lipatan”. Duduk bersama Exco membincang segala pendekatan tetapi menempelak kerajaan PR pada setiap peluang yang diperolehinya. Dalam bahasa Inggeris ada istilah “one-up manship” yang bermakna usaha untuk menaikkan nama sendiri dengan menjatuhkan nama “kawan”. Orang yang sebegini tidak ada yang ingin jadikan sebagai kawan. Dia sentiasa mengambil kesempatan untuk menjatuhkan imej kawan demi menaikkan imej sendiri. Golongan ini dijadikan kawan hanya apabila tiada pilihan lain atau terpaksa.

Sepatutnya sebagai Parti Islam, PAS adalah parti yang ingin disepakati oleh semua kerana jujurnya, amanahnya, setianya, lurusnya dan telusnya. Parti Islam tidak akan khianat kerana sentiasa boleh diharapkan dan dipercayai. Berpegang kepada janjinya dan bukan jenis cakap lain, buat lain. Malangnya buat masa ini di Selangor, PAS tidak mempunyai imej yang sebegitu. Apabila disebut sahaja “lompat” di Selangor, semua melihat pada PAS. Ini adalah hasil dari tindakan-tindakan “one-up manship” yang telah berlaku selama ini.

PAS dilihat mempunyai agenda tersendiri yang dirahsiakan dan tidak dikongsi bersama dengan rakan Pakatan. Ini menimbulkan syak wasangka dan boleh menggagalkan PR. Kenyataan-kenyataan yang saling bercanggah yang dikeluarkan selepas ditegur hanya menimbulkan kesangsiaan. Sekejap dikatakan hakim pencen, sekejap tidak. Sekejap dikatakan ingin mengkaji semula kedudukan dengan PR, sekejap tidak! Keliru lagi mengelirukan!

Saya tidak faham, apakah sukar sangat untuk kita berpakat dan berkerjasama secara jujur dan ikhlas? Bukankah kejujuran dan keikhlasan itu dituntut oleh Islam? Adakah kerana kita merasakan kita Parti Islam dan yang lain tidak, maka kita tidak perlu berlaku jujur dalam kerjasama kita bersama mereka? Adakah kita sudah begitu sesat dengan fahaman Yahudi Zionis sehingga menganggap setia kepada janji dengan bukan Islam adalah satu kesalahan? Akan hilang atau tidak wala” lagi pada kepimpinan Islam kerana menjadi wala” kepada pemimpin lain? (Bagi yang tidak tahu, wala” maksudnya kesetiaan).

Sekiranya itulah fahaman yang hendak dibawa, maka akan hancurlah PAS. Bukan kerana kekuatan lawan tetapi kesesatan diri sendiri. PAS sebagai parti Islam mestilah jujur dengan kerjasamanya dengan pihak lain dan atas kejujuran itu akan terbina satu kekuatan yang jitu. Kekuatan kejujuran dan keikhlasan perjuangan Islam inilah yang akan menyebab semua datang berteduh di bawah naungannya. Inilah kaedah yang sebenarnya, bukan melalui pengkhianatan, kelicikan dan kepura-puraan. — khalidsamad.com