30 Jul 2009

Era Najib Altantuya : 1 OGOS PESTA DEMOKRASI

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memang terkenal dengan kezalimannya. Ia membawa daki karat memisahkan isteri dan suami, ayah dan anak-anak, merosakkan tali persaudaraan dan ikatan persahabatan.

Ada keluarga berantakan dan bercerai-berai. Ada anak yang tertekan jiwa sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital ekoran tidak tertahan menanggung kesan psikologi yang amat sangat.

Tidak kurang karenah jahat polis cawangan khas (SB) yang menabur fitnah, mengadu-domba, selain cuba mematahkan semangat dan menghina idealisme perjuangan tahanan.

Banyak buku-buku yang ditulis oleh bekas tahanan mendedahkan konspirasi jelik SB, pastinya setelah mendapat restu Menteri Dalam Negeri, yang tidak pernah mengira halal-haram dan dosa-pahala dalam mengatur pemerintahan.


Serambi kuasa

Demi memuaskan nafsu golongan elit politik yang menguasai takhta dan singgahsana kuasa, SB tadi mempergunakan pelbagai cara untuk menundukkan kumpulan atau individu yang dilihat bolehmenggugat teraju pemerintahan (bukan menggugat keselamatan awam). Walhal dalam sistem demokrasi, pemerintah boleh dicabar dan digugat penguasaan mereka, asalkan ia dibuat melalui saluran undang-undang yang sah.

Namun, terdapat salah tanggap masyarakat yang harus diperbetulkan tentang kezaliman ISA ini. Antaranya, anggapan bahawa ISA hanya mencari mangsa di kalangan aktivis politik atau NGO yang pandangan mereka tidak selari dengan sikap pemerintah.

Dan dakyah yang selalu dikemundangkan adalah kerajaan terpaksa bertindak awal bagi mencegah sebarang kemudaratan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

ISA sememangnya alat dan perkakas paling berkesan buat pemerintah yang begitu takutkan suara rakyat demi mempertahankan kuasa mereka. Kerajaan yang rasuah, korup, membazir, mengaut khazanah negara untuk mengisi tembolok diri dan kroni, serta menindas golongan yang sentiasa kritikal dengan penyelewengan pemerintah, selalunya hidup dalam ketakutan. Mereka bimbang kuasa sukar dipertahankan jika segala salah laku didedahkan kepada umum.

Jalan paling mudah adalah dengan mencari alasan dan daleh agar seteru politik mereka bukan saja dapat dijinakkan tetapi juga dipenjarakan. Sebelum itu pintu untuk rakyat bersuara dipersempitkan dan ruang demokrasi ditutup. Pentas-pentas debat melalui siri ceramah politik akan cuba dipersukarkan.

Cegah jenayah

Pihak polis yang sepatutnya menumpukan usaha mencegah jenayah dikerah untuk mengawal perhimpunan pembangkang, suatu tindakan yang hanya membazirkan tenaga, masa dan dana awam.

Polis cawangan khas dan perisikan yang lebih diperlukan untuk membanteras jenayah yang semakin berleluasa telah difokuskan untuk melumpuhkan potensi parti-parti alternatif yang dilihat berupaya mencabar kedudukan dan kuasa pemerintah.

Keselamatan negara memang aspek penting yang mesti dipertahankan. Kita tidak sewajarnya bersikap sambil lewa atau berkompromi dengan anasir-anasir yang boleh menggugat keharmonian awam dan menyebabkan masyarakat majmuk di negara kita bercakaran dan berpecah-belah.

Namun,ia sesekali tidak boleh dijadikan alasan untuk pemerintah dengan sewenang-wenangnya menggunakan ISA untuk menahan mereka yang disyaki akan terbabit dengan kegiatan subversif.

Prinsip keadilan sejagat dan hak asasi manusia, terutama hak untuk berhimpun, bersuara dan berpersatuan harus dihormati semua pihak. Kerajaan yang bertanggungjawab dan matang sama sekali tidak pernah bimbang kuasa mereka akan dijatuhkan hanya dengan peningkatan kesedaran berpolitik rakyat.

Rakyat yang terpelajar dan sedar tentang hak-hak awam sebenarnya dapat membantu membangunkan lagi sesebuah negara. Mereka dapat memberi sumbangan terbaik buat negara,tanpa rasa takut dan bimbang. Tidaklah seperti berlaku dalam negara kita apabila ramai cendekiawan, sebahagiannya bertaraf profesor, yang dikunci mulut dan dizip bibir daripadamenyuarakan kepentingan ramai, mengikut bidang pengkhususan masing-masing.

Bila media dipancung kebebasannya

Media yang sewajarnya berperanan aktif menyampaikan maklumat dan informasi sahih juga dipancung kebebasannya, menyebabkan rakyat seperti diperbodohkan. Bayangkan, dalam zamanlangit terbuka tanpa sempadan, negara masih melaksanakan pelbagai peraturan rimba yang memalukan, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang tetap memerlukan permit penerbitan yang mesti diperbaharui setiap tahun.

Pihak menteri pula berkuasa sepenuhnya untuk mengharamkan dan menggantung mana-mana permit penerbitan tanpa perlu memberikan sebab munasabah dan keputusan KDN atau menteri itu langsung tidak boleh dicabar mahkamah. Akta Percetakan ini, seperti juga ISA dan banyak lagi akta menindas dan represif perlu dimansuhkan dengan kadar segera.

Suatu usaha reformasi besar-besaran untuk melihat kembali undang-undang yang ketinggalan zaman itu harus diselaraskan dengan perkembangan zaman. Setiap rakyat yang prihatin usah rasa segan silu untuk sama-sama bangkit menyatakan hak dan suara, menuntut dengan satu keazaman dan kesatuan,agar sang penguasa di atas sana prihatin dengan degup jantung rakyat dan serentak dengan itu dapat melonggarkan segala rantai yang mengongkong.

Ayuh, jangan tunggu dan tangguh-tangguh lagi untuk memeriahkan Himpunan Mansuh 1 Ogos. Datang beramai-ramai ke ibu kota, sekitar jam 2 petang, bagi memastikan pesta demokrasi ini tidak mudah dipatahkan.

Anda tidak melakukan apa-apa kesalahan hanya kerana untuk berhimpun menunjukkan sokongan kepada tuntutan untuk memansuhkan ISA.

Jadikan perhimpunan ini lebih besar dan bermakna, sekurang-kurangnya menyamai perhimpunan Bersih dan membantah PPSMI tidak lama dulu. -harakahdaily


Era Najib Altantuya : Penyokong PR dan MIC Bergasak

Ibupejabat MIC di Jalan Rahmah, Kuala Lumpur hari ini menjadi tumpuan dua kumpulan berhubung isu membabitkan syarikat pelaburan parti itu - Maika Holdings, demikian lapor malaysiakini.

Kumpulan pertama seramai kira-kira 150 orang, diketuai Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof P Ramasamy dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka turut disertai pemegang saham Maika Holdings yang tidak puashati dengan syarikat tersebut.

Mereka telah berarak menuju ke ibupejabat MIC pada jam 12 tengahari, menuntut penjelasan mengenai status kewangan Maika.

Maika yang ditubuhkan pada awal 80an untuk membantu komuniti kaum India namun prestasinya yang lemah menyaksikan saham yang pada awalnya bernilai RM1 telah menjadi 30sen.

Kumpulan kedua diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maika, S Vell Paari (anak Samy Vellu) bersama pemegang saham yang puashati dengan perjalanan syarikat tersebut.

Kumpulan ini telah mula berkumpul di ibupejabat Maika yang terletak di dalam bangunan ibupejabat MIC sejak jam 9 pagi tadi dan jumlahnya semakin meningkat.

Setibanya di ibupejabat MIC, kumpulan Ramasamy tidak dibenarkan masuk menemui Vell Paari untuk menyerahkan memorandum mengenai status kewangan Maika.

Manakala penyokong Vell Paari berhimpun di dalam bangunan tersebut.

Anggota polis kelihatan memantau keadaan di situ.

Pada kira-kira jam 12.30 tengahari, Vell Paari keluar dari bangunan ibupejabat MIC untuk bertemu dengan kumpulan Ramasamy. Keadan berasak-asak dan beliau terpaksa dikelilingi oleh anggota polis bagi melindunginya.

Akibat itu mengakibatkan berlaku pergelutan antara kedua-dua kumpulan tersebut, beberapa orang dilihat tercedera.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kemudiannya bertindak segera bagi mengawal keadaan.

Ketika keadaan kecoh di luar bangunan ibupejabat MIC itu, Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu berada di dalam bangunan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Pakatan hari ini adalah ekoran rasa tidak puas hati ramai pemegang saham Maika terhadap prestasi syarikat tersebut dan menuntut supaya pelaburan mereka dipulang.

Salahkan Koperasi Nesa

Vell Paari, bagaimanapun menegaskan bahawa beliau sedia membayar balik pelaburan pemegang saham tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana terdapat injunksi oleh Koperasi Nesa - yang diketuai bekas timbalan presiden, Datuk S Subramaniam - untuk menghalang penjualan syarikat insurans milik Maika.

Vell Paari pada awalnya mahu menjual syarikat insurans milik MIC - Oriental Capital Assurance Bhd (OCAB) - tetapi dibantah oleh Nesa, yang juga pemegang saham Maika, atas alasan penjualannya tidak menguntungkan sepenuhnya pemegang saham.

Awal minggu ini, Vell Paari memberitahu bahawa beliau bersedia bertemu kumpulan yang dipimpin oleh Ramasamy itu untuk memberi penjelasan kepada mereka mengenai status Maika.

Bagaimanapun, tambahnya, Ramasamy juga mesti bersedia memberi penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah diambilnya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang.

Vell Paari juga berkata, beliau akan mempelawa Ramasamy dan kumpulannya untuk menyertai pihaknya berarak ke pejabat Koperasi Nesa di Sentul, Kuala Lumpur, yang menghalang penjualan tersebut, dan seterusnya melambatkan pembayaran balik pelaburan pemegang saham Maika.



Era Najib Altantuya : Lokasi Pelantar Minyak Diukur Ogos Ini

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato’ Husam Musa berkata, lawatan kerja ke kawasan pelantar minyak dan gas diharap dapat menentukan kedudukan sebenar pelantar carigali minyak dan gas apabila rombongan kerajaan negeri dan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia melawat lokasi berkenaan awal Ogos ini.

Turut disenaraikan dalam rombongan tersebut pasukan juruukur khas, Adun, media dan nelayan.

“Ini memandangkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Mustapa Mohamed sebelum ini mendakwa pelantar terbabit terletak di kawasan tuntutan bertindih di bawah perjanjian antarabangsa membabitkan Malaysia, Thailand dan Vietnam.

“Jadi kita akan buktikan pelantar dimaksudkan masih dalam kawasan perairan Kelantan walau pun mungkin bertindih dengan Thailand,” katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Husam berkata, kalau lokasi pelantar bertindih di antara Kelantan dan Thailand bermakna negeri ini berhak ke atas royalti minyak dan gas sebanyak lima peratus setahun seperti ditetapkan Petronas.

“Adalah tidak berbangkit Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum sebagaimana negeri-negeri lain termasuk Sabah, Sarawak dan Terengganu.

“Jadi lawatan tersebut akan membuktikan apa yang didakwa oleh Dato’ Mustapa itu tidak benar dan Kelantan mempunyai hak ke atas royalti di bawah semangat federalisme,” ujarnya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika kempen pilihan raya kecil di Manek Urai sebelum ini tidak mahu PAS mempolitikkan isu royalti minyak dan gas kerana kedudukan pelantar di kawasan bertindih.

Beliau juga berkata, Petronas tidak memberi penjelasan dalam tempoh 48 jam seperti diarah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kempen pilihan raya di Manek Urai baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan ucapan banyak terima kepada sokongan banyak pihak untuk membolehkan Kelantan menuntut royalti terbabit.

Antaranya, Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang menjelaskan Kelantan berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian dimeterai antara kerajaan pusat, Petronas dan kerajaan negeri.

Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 juga menyatakan perjanjian-perjanjian sedia ada di antara Malaysia dan Thailand serta mana-mana pihak sebelum ini masih lagi terpakai.

Petronas sebelum ini menandatangani perjanjian dengan semua kerajaan negeri yang mempunyai sumber petroleum untuk memberi hak mendapat royalti lima peratus setahun sama ada di daratan atau lautan.

Pemimpin Umno juga mendakwa Kelantan tidak berhak terhadap minyak yang ditemui 150 kilometer dari persisiran pantai negeri ini.

Sedangkan amalan sedia ada menunjukkan Petronas membayar royalti minyak kepada Terengganu dan Sarawak biar pun pelantar berada lebih 200 kilometer dari pantai negeri terbabit.

Kelantan menuntut Petronas membayar sebanyak RM1 bilion memandangkan carigali minyak dan gas di kawasan PM301 bermula sejak 2004.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia juga menjelaskan nilai pengeluaran kasar industri petroleum pada 2004 di perairan Kelantan, Terengganu dan Sabah berjumlah RM47 bilion. -jiwokelate

Era Najib Altantuya : BERNAS Terlacur Akhirnya

Di dalam kesibukan pemimpin negara ini berpolitik mereka ternyata terlepas pandang untuk menghidu periuk nasi rakyat negara ini tergugat@hangit.

Bernas sebuah syarikat strategik di dalam membekalkan beras negara, perlahan-lahan telah dikuasai oleh sebuah firma Hong Kong, Wang Tak Co Ltd. Mereka telah menguasai saham Bernas di pasaran terbuka sebanyak 147.51 juta saham atau 31.36 peratus daripada keseluruhan 470,402 juta saham Bernas.

Wang Tak Co Ltd (WTCL) mula membeli saham Bernas sejak dari 2003 secara berperingkat bermula dari empat ke lima peratus dan kini pada 2009 mereka telah menguasai lebih dari 30 peratus. Ini bermakna WTCL mengambil masa selama 7 tahun untuk menguasai sebuah syarikat strategik negara ini yang memonopoli sepenuhnya pengimportan Beras dan pembekalan Beras untuk rakyat negara ini yang rata-rata makanan ruji mereka adalah beras.

Bernas ditukarkan dari Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada tahun 1994 yang kononnya atas dasar Malaysia Incorporated dan di senarai awamkan pada tahun 1997. Apabila Bernas disenarai awamkan di BSKL, saham Bernas diperdagangkan dengan rancak dan kepentingan Bernas telah terdedah kepada sesiapa sahaja untuk membeli dan menjual saham Bernas. Pokoknya sesiapa sahaja yang ada wang khasnya jutawan dan billionwan boleh menguasai Bernas.

Kadangkala aktiviti membeli dan menjual saham-saham Bernas di BSKL itu lebih rancak dari aktiviti-aktiviti teras Bernas itu sendiri iaitu membeli dan menjual Beras untuk kepentingan petani dan rakyat jelata negara ini.

Jika semasa LPN dahulu aktiviti-aktivitinya lebih mesra rakyat khasnya golongan petani dan pesawah tetapi apabila dikorporatkan aktivitinya telah beralih kepada yang lebih mesra golongan elit dan kapitalis. Ini telah mengwujudkan jurang pemisah di antara petani dan kapitalis.

Hakikatnya hari ini jika Bernas gagal dipertahankan dan terlepas ke tangan Cina Hong Kong ternyata dasar-dasar Malaysia Inc yang diagung-agungkan oleh Che Det dan Daim Zainudin selaku penasihat ekonomi dan Menteri kewangan ketika itu telah gagal. Malaysia Inc. hanya memperkayakan yang kaya dan menindas yang miskin.

Dahulu kita bangga hampir setiap bulan Malaysian Business Magazine galak menyenaraikan jutawan-jutawan Melayu seperti Tajudin Ramli, Wan Azmi Wan Hamzah, Amin Shah Omar Shah, Shamsudin Abu Hasan dan ramai lagi tetapi di manakah mereka hari ini? Mereka tenggelam apabila Che Det dan Daim tenggelam dan rupa-rupanya mereka ini hanyalah cerita rekaan semata-mata.

Hari ini Bernas pula telah dilacurkan untuk kepentingan pihak dan kumpulan tertentu, maruah dan hak kita telah tergadai, petani dan pesawah pasti menangis apabila periuk nasi mereka bakal jatuh ke tangan tauke Cina Hong Kong.

"Tuai padi antara masak besok jangan layu-layuan,. Jika beras telah menjadi dedak di masa itu hilang keruan" -mummyrokiah

Era Najib Altantuya : Zaid Bangga Bersama PR

Ramai orang sibuk bercakap tentang prestasi Datuk Seri Najib sepanjang 100 hari pertama pentadbirannya. Ada yang memuji Najib dan memberi amaran kepada saya bahawa UMNO akan bangkit semua dengan gagahnya di bawah kepimpinan beliau. Setakat ini saya lebih suka untuk tunggu dan lihat; bak kata pepatah Inggeris “new broom sweeps well” yang bermaksud yang baru selalunya indah. Tetapi saya sedikit pun tidak rasa bimbang mengenai “kebangkitan” UMNO ini.

Setelah 40 hari saya menjadi ahli Parti Keadilaan Rakyat, saya merasa begitu bangga dan yakin tentang perjuangan parti ini. Saya telah mula bertemu dengan pemimpin dan ahli Keadilan di semua peringkat. Saya diterima dengan penuh hormat dan dijemput ke sana sini untuk berucap. Saya terharu dengan respons mereka.

Jelas komitmen dan kesungguhan mereka yang memberangsangkan. Mereka rajin dan penuh inisiatif dan mempunyai semangat yakin diri yang tinggi. Mereka percaya bahawa Keadilan adalah wadah politik yang sesuai untuk memperjuangkan dasar yang baik untuk negara; demi kebaikan semua rakyat, dalam semua bidang. Parti Keadilan bukanlah parti untuk menjaga Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti yang dilaungkan oleh propagandis UMNO. Maklumlah parti mereka hanya untuk kepentingan pemimpin besar sahaja.

Pengalaman yang sama menarik kepada saya ialah menyedari bagaimana kuatnya hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Kekuatan ini timbul dari keinginan ahli-ahli Keadilan, PAS dan DAP yang mahu melihat Pakatan menjadi kerajaan; sebagai parti alternatif kepada BN. Hasrat mereka sama seperti dengan lebih 4 juta pengundi dalam tahun 2008 yang mahu memilih kerajaan baru di Putrajaya yang benar-benar adil, tidak gila kuasa dan tidak rasuah atau menyeleweng.

Walaupun akhbar UMNO telah berjaya membesar-besarkan masalah kecil dalam Pakatan, hakikatnya ialah apa pun masalah kecil itu, pemimpin dan ahli Pakatan berjaya bersatu untuk mengatasi permasalahan tersebut. Resilience atau pun tahan lasak Pakatan ini membuktikan ia akan terus bersatu dan berjaya bila saja pilihan raya diadakan.

Saya sedar ramai pengkritik Pakatan menuduh Pakatan tidak ada dasar yang konkrit dan tidak ada dasar bersama. Kononnya kerana ideologi berbeza, Pakatan tidak mungkin dapat bersatu seperti BN, kata mereka. Golongan skeptik atau penimbul keraguan ini, termasuk sesetengah profesor dan akademik, sebenarnya sedar tentang kekuatan Pakatan yang semakin mendapat sokongan rakyat.

Mereka tahu parti-parti dalam Pakatan serta pemimpin-pemimpinnya telah lama berkecimpung dalam politik. Para pemimpin dan ahli Pakatan telah merasai penat-lelah sebagai pembangkang. Mereka telah terbukti dapat bertahan dengan segala tekanan dari kerajaan diktator BN. Mereka telah diuji dan diuji berkali-kali. Mereka tekah masok penjara, masok tahanan ISA dan penyokong mereka berani dan kental.

Sebab itulah strategi utama BN ialah untuk memecahbelahkan Pakatan kerana takut untuk berdepan dan bertarung satu lawan satu. Maka berlakulah pertuduhan palsu terhadap Anwar Ibrahim, merampas kuasa kerajaan negeri di Perak, dan sedang berusaha untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan di Selangor, sehingga berlaku kematian Teoh Beng Hock.

Sebelum itu pula UMNO sibuk memecahbelahkan PAS sehingga hampir berjaya dalam pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan. Sehingga sekarang UMNO memainkan jarum perkauman untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu yang semakin ramai menyokong Pakatan kerana sudah jijik dengan politik kotor UMNO. Memang, UMNO dan BN sebenarnya takut kepada Pakatan.

Memanglah Pakatan ada kelemahannya dan banyak lagi perkara mesti diwujudkan untuk memperkukuhkannya. Ingatlah, Pakatan baru 18 bulan umor nya, dan perkongsian baru mesti lah ada tersilap dan tidak mudah dijalinkan. Tetapi saya yakin apa yang perlu dilaksanakan, akan dilaksanakan. Dasar yang perlu diumumkan kepada orang ramai akan digubal. Tekad dan kesungguhan pucuk pimpinan Keadilan, PAS dan DAP tidak perlu diragui. Keikhlasan dan kebolehan mereka serta penyokong mereka tinggi.

Sekarang ini pun Pakatan sedang bersusaha ke arah mendaftarkan diri sebagai satu badan politik untuk mewujudkan perkongsian perjuangan parti-parti politik secara rasmi. Saya dari sekretariat Pakatan akan berusaha untok menrealisasikan hasrat ini. Rakyat akan diberi pilihan sebenar dalam pilihan raya akan datang; satu lawan satu.

Semua ahli parti gabungan Pakatan sudah bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat atas nama Pakatan. Malah, dalam tindak-tanduk seharian kita; kita seolah-olah sudah pun menjadi ahli Pakatan dan bukan sekadar ahli Keadilan, PAS atau PAS. Dan inilah yang rakyat mahukan. Dan inilah yang amat digeruni oleh Najib, UMNO dan BN.

Era Najib Altantuya : 9 Polis Bunuh Kugan Masih Bebas

Hampir 8 bulan berlalu, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang pendakwaan dibuat terhadap sembilan anggota polis yang dituduh membunuh Kugan Ananthan sewaktu dalam tahanan mereka di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.

Kugan ditahan pada 15 Januari tahun ini selepas disyaki terbabit dalam sindiket mencuri kereta, dan ditemui mati dalam tahanan polis lima hari kemudian. Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dan laporan bedah siasat pertama pada berkata kematian Kugan berpunca dari paru-paru berair, namun penelitian ahli keluarga mangsa dan media mendapati terdapatnya kesan cedera dan luka pada tubuh mangsa.

Laporan bedah siasat kedua di Pusat Rawatan Universiti Malaya menunjukkan Kugan mengalami kecederaan buah pinggang, pendarahan dalaman pada jantung, paru-paru, leher dan tapak kaki, serta 10 kesan lecuran pada tubuh yang menurut peguam N Surendran konsisten dengan tanda penderaan.

Namun belum sempat laporan bedah siasat kedua diselesaikan, polis bertindak menyerbu PRUM dan merampas sampel tubuh Kugan. Keluarga mangsa kini di mahkamah bagi menuntut kerajaan supaya memulangkan sampel itu untuk diteruskan kajian keatasnya. Kerajaan bagaimanapun enggan.

"Mahkamah Tinggi telah mendengar bantahan awal dari Timbalan Pendakwaraya yang menbantah permohonan ibu Kugan supaya sampel dapat dipulangkan untuk di bedah siasat. Polis telah merampas sampel tubuh mangsa meskipun sedar bahawa laporan bedah siasat belum selesai dan doktor masih menjalakan ujian toksik keatas sampel terbabit. Keluarga mangsa mahu sampel ini dipulangkan untuk mengetahui punca kematian Kugan," kata peguam N Surendran.

"Malang sekali apabila Pejabat Peguam Negara membantah permohonan ini atas dasar teknikal. Bantahan ini dibuat oleh Pejabat Peguam Negara yang sehingga ke hari ini tidak mendakwa mana-mana pembunuh mangsa," tegas Surendran.

Mahkamah akan membuat keputusan keatas bantahan Peguam Negara pada 4 Ogos nanti. Sekiranya bantahan kerajaan diterima, permohonan keluarga Kugan supaya bedah siasat dapat disambung semula sekiranya sampel dipulangkan akan ditolak.

Sekiranya bantahan kerajaan ditolak, peguam akan meminta mahkamah menentukan apakah rampasan sampel tubuh Kugan ini sah di sisi undang-undang atau tidak sah.


Era Najib Altantuya : ISA Tetap Haram

Siapa tidak kenal ISA? Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang lebih dikenali sebagai ISA iaitu akronim nama Bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di Malaysia sejak 1960 lagi.

Akta yang telah benar-benar digunakan kerajaan untuk menyelamatkan hegemoni politik mereka ini membolehkan sesiapa sahaja ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang disyaki atau dipercayai mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.

Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Dan Menteri boleh menyambung dan terus menyambung tempoh tahanan ‘ikut suka beliau’ selama tempoh yang tiada hadnya, selama beliau masih berkuasa atau masih bernyawa.

Secara umumnya akta hasil pemikiran penjajah ini mengenepikan kuasa kehakiman dan bercanggah dengan kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan yang diagungkan oleh mereka sendiri.

Ringkasnya, individu yang ditahan di bawah ISA


(i) tidak memerlukan waran tangkap atau apa-apa arahan dari Mahkamah
(ii) tidak perlu dan tidak akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atau dibuktikan kesalahannya
(iii) kuasa mutlak untuk ‘menjatuhkan hukuman’ terletak kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri
(iv) ‘kuasa mutlak’ untuk menyeksa tahanan terletak pada polis cawangan khas (SB) yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan.

Kami ingin utarakan hukum syarak mengenai akta gubalan tangan manusia ini yang mana para penggubal dan pengamalnya langsung tidak memikirkan hukuman dan azab Allah yang bakal menimpa mereka satu hari nanti dek kezaliman yang mereka lakukan.

Kaedah Penghakiman/Keadilan Dalam Islam

Sebagai sebuah deen yang sempurna, agama Islam yang diturunkan oleh Allah ini mencakup segala perkara dan tidak ada satu pun yang tertinggal darinya.

Dalam bab pengqadhian (penghakiman), Islam telah menggariskan hukum dan kaedah yang lengkap yang wajib diikuti oleh umat manusia. Antara kaedah syarak yang masyhur di dalam bab penghakiman/keadilan Islam adalah “Al-Aslu bara’atu zimmah” yang bermaksud “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah” (innocent until proven guilty).

Mengikut kaedah ini, oleh sebab hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya, maka seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan keputusan mahkamah (setelah dibicarakan dan dibuktikan), dan seseorang itu tidak boleh sama sekali (secara mutlak) dihukum (punish) oleh mana-mana pihak selagi dia tidak disabitkan kesalahan [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, Fasal 13].

Perkara pertama: Al-Aslu bara’atu zimmah. Kaedah ini diambil dari hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam iaitu, “(Beban) pembuktian adalah di atas pendakwa, dan sumpah (penafian) adalah di atas yang tertuduh” [HR Baihaqi dan Mutafaq alaih].

Imam Nawawi ketika mensyarah hadis ini mengatakan, “Pembuktian terletak di pihak pendakwa kerana ia menyalahi perkara yang zahir. Ini adalah kerana asasnya seseorang itu adalah ‘bebas dari kesalahan/liabiliti’ (bara’atu zimmah), sedangkan bagi tertuduh (accused/defendant) cukup dengan sumpah sahaja di pihaknya kerana dia meminta mengekalkan status quo, sesuai dengan asalnya iaitu bara’atu zimmah (tidak bersalah)” [Syarah Matan Arba’in, ms 153].

Hadis ini dengan jelas menerangkan bahawa hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah (innocent), dan pendakwa hendaklah membawa/menunjukkan bukti bahawa si tertuduh bersalah. Jika dia gagal membuktikan, maka si tertuduh tetap berada dalam keadaan asalnya yakni tidak bersalah.

Justeru, menjatuhkan hukuman tanpa bukti, malah tanpa dakwaan sedikit pun seperti yang berlaku dalam kes ISA adalah bertentangan sama sekali dengan hadis ini. Dengan kata lain, perbuatan ini telah menyalahi hukum yang telah ditetapkan oleh Rasulullah.

Perkara kedua: Seseorang tidak boleh dijatuhkan hukuman kecuali dengan keputusan Qadhi (Mahkamah). Dalil untuk hal ini dapat dilihat dalam Hadis Nabi, “Maka barang siapa yang telah terambil hartanya olehku, maka inilah hartaku, maka silalah dia mengambilnya dan barang siapa yang telah aku tersalah sebat belakangnya maka inilah belakangku untuk disebatnya, maka hendaklah dia mengambil keputusanku ini” [HR Baihaqi].

Dalam kes ini, kita mesti ingat bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam mengatakan hal ini dalam kapasiti baginda sebagai seorang pemerintah dan juga hakim. Ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang telah dihukum (oleh hakim) secara salah, maka dia boleh menuntut pembalasan yang serupa.

Hadis ini menjadi dalil yang tidak membenarkan pemerintah menghukum rakyatnya tanpa terbuktinya dakwaan terhadapnya yang melayakkan dia dihukum. Oleh itu, seseorang tidak boleh mendera orang lain kecuali dengan keputusan hakim dan adalah haram bagi seseorang hakim untuk menghukum (sama ada mengambil harta, mendera atau memenjara) orang lain tanpa hak.

Tambahan pula ada dalil lain di dalam kes li’an, yang mana seorang perempuan yang dituduh oleh suaminya bersekedudukan dengan orang lain kemudian perempuan ini dibawa ke hadapan Rasulullah (sebagai hakim), tetapi dia telah teragak-agak dalam melakukan penafian. Dalam kes itu, perempuan tersebut terselamat dari direjam kerana dia telah melakukan sumpah li’an.

Namun Rasulullah bersabda, “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti, nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani].

Ini menunjukkan bahawa tidak boleh merejam (menghukum) seseorang apabila tidak ada bukti jelas meskipun anda kesamaran dalam penafian perempuan tersebut. Jika Rasulullah sendiri justeru memanggil bicara dan tidak menghukum tanpa bukti yang jelas (walhal baginda diberi wahyu tentang perkara tersebut), maka alangkah hebatnya kuasa seorang Menteri (dan polis-polis yang terlibat) melampaui batas yang ditetapkan oleh Rasulullah, apabila mereka dengan mudahnya terus menghumban suspek ISA ke Kamunting dan menyeksa tahanan tanpa bicara dan tanpa bukti yang kukuh!

Dalam keadaan di mana individu tersebut disyaki melakukan kesalahan, Islam sememangnya membenarkan pihak polis menahan seseorang tertuduh (seperti tahanan reman) bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat sebelum melakukan dakwaan. Bagaimanapun, penahanan ini hanya boleh dilakukan dengan syarat mendapat akuan/perintah dari Mahkamah dan masa penahanan adalah pendek dan terhad.

Hal ini berdasarkan dalil hadis dari Bahz bin Hakim dari bapanya, dari datuknya, “Bahawa Nabi SAW menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” [Riwayat Lima kecuali Ibn Majah] dan dari Abu Hurairah ia berkata, “Rasulullah SAW menahan seorang individu selama sehari semalam dalam satu kes pertuduhan”. Perlu difahami bahawa penahanan tersebut bukanlah satu bentuk ‘hukuman’ tetapi ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan keterangan (tempoh siasatan), dan tidak boleh sama sekali mendera atau menyeksa tertuduh pada waktu ini.

Perkara ketiga: Hukuman hanya boleh dikenakan selepas sabit kesalahan. Tidak boleh (haram) melaksanakan hukuman kepada si tertuduh sebelum disabit kesalahannya.

Dalilnya adalah berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani]. Meskipun (berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas) perempuan tersebut memang diketahui telah melakukan zina, namun ternyata Rasulullah tidak menyeksa atau melakukan apa jua tindakan agar perempuan itu mengaku. Tambahan lagi, jikalau hukuman boleh dikenakan kepada si tertuduh semata-mata kerana kesalahannya ‘diketahui’, maka sudah tentu perempuan itu dihukum oleh Rasulullah kerana kejahatannya memang sudah pun diketahui ramai. Namun ternyata hakikatnya tidak demikian.

Ini menunjukkan bahawa secara mutlak tidak dibolehkan (haram) melaksanakan hukuman terhadap si tertuduh tanpa disabitkan kesalahannya. Oleh yang demikian, adalah haram mengugut, memukul, mendera, memenjara atau mengenakan apa jua bentuk hukuman (punishment) selama mana tertuduh masih belum disabitkan kesalahan.

Hal ini disokong lagi oleh hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam tidak menghukum seorang yang mabuk kerana tidak ada bukti.

“Ibnu Abbas berkata, seorang lelaki telah meminum khamar dan mabuk dan dilihat terhuyung hayang. Lelaki ini dibawa kepada Rasulullah dan ketika menghampiri rumah Abbas, dia terlepas lalu masuk ke rumah Abbas dan berselindung di situ. Apabila hal ini sampai kepada Rasulullah, baginda tertawa seraya bertanya, ‘Adakah dia melakukan semua itu?’ Dan (kata Ibnu Abbas) Rasulullah tidak memerintahkan apa-apa pun dalam perkara ini”.

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada peminum khamar kerana tidak ada pengakuan dari tertuduh dan dakwaan ke atasnya juga tidak terbukti. Ini bermakna dia telah ‘dituduh’ mabuk tetapi tidak dapat dibuktikan (bahawa dia minum arak). Rasulullah tidak mengugut atau menyeksa atau mendera dia agar mengaku, dan Rasulullah juga tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya hanya semata-mata kerana adanya ‘tuduhan’. Oleh yang demikian, adalah haram untuk mengenakan sebarang bentuk tindakan ke atas tertuduh selagi kesnya tidak disabitkan oleh Mahkamah.

Dengan kata lain, selagi tidak ada sabitan, statusnya tetap sebagai tertuduh (accused) dan bukannya pesalah (guilty) dan tidak ada seorang pun, baik polis atau menteri yang boleh menghukum (punish) orang yang ‘dituduh’.

Berdasarkan hadis ini, hukuman tahanan 60 hari dan juga dua tahun penjara (dan diseksa) yang dilakukan di bawah ISA oleh Menteri Dalam Negeri dan juga pihak polis adalah teramat jelas menyalahi perbuatan Rasulullah dan ternyata haram hukumnya ditinjau dari aspek mana sekalipun.

Selain ketiga perkara di atas, terdapat banyak hadis di mana Rasulullah berpesan, “Jika dua orang yang bersengketa di hadapkan di hadapan engkau (hakim) maka janganlah engkau menjatuhkan keputusan sehingga engkau mendengarkan dari pihak yang satu lagi sebagaimana engkau mendengar dari pihak pertama” [HR Ahmad].

Malangnya di dalam kes ISA, suspek langsung tidak dihadapkan di hadapan hakim dan langsung tidak diberi hak untuk berbicara. Suspek hanya ‘dipaksa’ menerima keputusan Menteri yang dibuat tanpa (Menteri tersebut) melihat kepada syariat Islam sedikit pun dan suspek terus dikategorikan sebagai pesalah.

Kita sungguh sedih menghadapi kekejaman undang-undang ini tatkala melihat ia dilakukan oleh pemerintah yang mengaku bahawa mereka adalah beragama Islam. Islam manakah yang diikuti oleh mereka walhal hadis-hadis Rasulullah dalam hal ini mereka campakkan kesemuanya?

Sesungguhnya keharaman ISA adalah ibarat cahaya matahari. Bagi mereka yang jahil agama sekalipun, semua tahu bahawa ISA adalah undang-undang buatan manusia di Parlimen yang diluluskan dengan cara majoriti.

ISA bukan berasal dari wahyu, malah jelas bertentangan dengan apa yang diwahyukan. Jika dulu ISA digubal untuk menghalang kebangkitan komunis, dan ternyata ia telah berjaya melumpuhkannya. Kini setelah hilangnya pengaruh ideologi tersebut, ISA digunakan pula untuk menghalang kebangkitan dan penerapan Islam, dengan ditangkap dan dipenjarakan pendakwah-pendakwah yang ingin menegakkan agama Allah dan siapa sahaja yang berjuang ke arah menggantikan kerajaan sekular ini dengan Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita semua tahu bahawa ISA adalah sebuah akta yang memang terkenal zalim. Namun, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mengukur ‘zalim’ itu dari perspektif Islam semata-mata, bukannya dari perspektif emosi.

Era Najib Altantuya : Kenyataan Khir Toyo Malukan Polis Selangor

Mana-mana pihak yang mempunyai bukti dan maklumat penglibatan individu atau kumpulan yang dikatakan mendalangi "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan haram seperti perjudian, spa dan pelacuran, diminta tampil memberikan maklumat dan bukti-bukti tersebut, demikian lapor Bernama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin berkata maklumat itu diperlukan polis bagi menjalankan siasatan terperinci setiap dakwaan yang dikemukakan itu.

"Kita tidak boleh menyiasat jika ia hanya cakap-cakap kosong tanpa memberikan maklumat dan bukti yang kukuh. Mereka harus tampil membuat laporan agar kita siasat perkara itu," katanya di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mendakwa kebanyakan kegiatan mencuri pasir, perjudian, spa dan pelacuran di Selangor didalangi "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap.

Dr Mohamad Khir turut mendakwa kumpulan tersebut yang aktif membantu memenangkan calon pada pilihan raya lepas di negeri itu diberikan akses untuk meneruskan kegiatan haram tersebut tanpa sekatan sebagai habuan dan dianggarkan Selangor kini mempunyai 4,000 premis seumpama itu beroperasi secara haram termasuk di kawasan-kawasan luar bandar.

Mohd Bakri berkata polis sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan operasi di premis-premis yang menjalankan perniagaan haram seperti pelacuran dan judi namun maklumat-maklumat baru diperlukan terutama bagi mengenalpasti lokasi-lokasi baru kegiatan tersebut.

"Polis sentiasa memerlukan maklumat orang ramai dan daripada maklumat itu kita akan jalankan siasatan sebaik mungkin bagi mengenalpasti kumpulan-kumpulan yang terbabit yang mendalangi mana-mana kegiatan haram itu," katanya.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Pengerusi Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew mempersoalkan bagaimana Khir boleh mengetahui terdapat 4,000 pusat hiburan haram beroperasi di negeri Selangor.

Beliau mendakwa adakah pusat hiburan haram dibuka oleh kroni Khir, jika tidak bagaimana beliau boleh mengetahui banyak pusat hiburan haram wujud di Selangor.

Ini kerana katanya, semua permit pusat hiburan haram dikeluarkan oleh kerajaan Pusat dan tidak ada satu pun yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Pihak Majlis Berkuasa Tempatan (PBT) tambah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menangkap dan menghukum pemilik pusat hiburan haram.

"Semua kuasa untuk menangkap dan menghukum pemilik pusat hiburan haram terletak di tangan pihak polis malangnya pihak polis tidak melakukannya," dakwa beliau.

Tambah beliau kuasa PBT hanya boleh menyita pusat hiburan tersebut tetapi kebanyakan selepas disita pemilik hiburan itu akan membuka semula dan beroperasi seperti biasa.

Menurut beliau, polis memang mempunyai kuasa untuk menghalang pusat hiburan haram daripada beroperasi tetapi polis negeri Selangor tidak memberi kerjasama yang baik dalam masalah ini.

Katanya, mereka lebih mendengar arahan daripada pihak kerajaan Pusat bukan daripada kerajaan negeri.



Era Najib Altantuya : Apa Lagi Selepas PPSMI, SPRM?

Pakatan Rakyat akan pertahankan Selangor dari usaha Barisan Nasional (BN) sedaya upaya merampas negeri Pakatan Rakyat melalui kekuasaan dan agensi yang dimilikinya, kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.

Katanya, isu Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Suruhanjaya Diraja Malaysia (SPRM) sehingga berlakunya kes kematian bekas setiausaha politik Exco Selangor Teoh Beng Hock adalah rentetan daripada kekuasaan yang ditunjukkan oleh BN dalam mentadbir negara.

“UMNO tidak menerima kekalahan dan peralihan kuasa terhadap kerajaan negeri dan SPRM disuruh siasat Pakatan Rakyat sebab mahu menggulingkan dan jatuhkan Pakatan Rakyat sedangkan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh UMNO tidak disiasat SPRM” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana bertajuk “PPSMI,SPRM apa lagi selepas ini” anjuran PAS kawasan Shah Alam di Dewan MBSA, Seksyen 11, Shah Alam, malam tadi.

Antara ahli panel lain yang memberi ceramah ialah Sasterawan Negara, A. Samad Said, Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim, dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Setiap ahli panel membentangkan ceramah berkisar tentang keangkuhan Barisan Nasional dalam menegakkan isu PPSMI tanpa mengambil peduli suara rakyat dan isu misteri kematian Teoh Beng Hock.

Hampir 300 tetamu menghadiri Ceramah Perdana tersebut yang bermula kira-kira jam 9.45 malam dan berakhir jam 12.00 tengah malam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Selangor, Yaakob Sapari. -TVS

Era Najib Altantuya : Tandatanya DNA Di Kot Dan Tali Pinggang Teoh

Dua sampel DNA manusia dikesan di pakaian bekas setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock yang ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 16 Julai lepas.

Bagaimanapun, identiti pemiliknya masih belum dapat dikenalpasti.

Dalam prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian Teoh di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi, peguambela dan peguamcara Tan Hock Chuan menerangkan terdapat satu sampel DNA manusia dikesan di baju kot Setiausaha politik Ean Yong Hian Wah itu dan sampel DNA lelaki turut ditemui di tali pinggangnya.

Pihak polis telah menjalankan ujian DNA ke atas 90 orang untuk menjejak pemilik sampel DNA berkenaan dan sedang dalam usaha mendapatkan ujian DNA daripada 12 lagi individu yang disyaki.

Penguam Pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang ditemui media di lobi mahkamah berharap, sampel DNA yang tidak dikenali itu akan diserahkan kepada mereka secepat mungkin.

“Kami difahamkan tadi pihak polis dalam proses membuat bandingan DNA kerana siasatan mendapati bahawa terdapat DNA seseorang yang tidak dapat ditentukan pada tubuh Teoh Beng Hock.

“Kami rasa ini amat penting kepada kami, bahawa laporan DNA ini dapat disiapkan dan diserahkan kepada kami dalam masa terdekat,” katanya.

Kematian Teoh yang menimbulkan seribu tanda tanya, memaksa kerajaan pusat menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menentukan kematiannya dan prosedur siasatan SPRM.

Inkues tersebut, yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan kepada 5 Ogos depan. -tvselangor

Laporan kami sebelum ini
Era Najib Altantuya : DNA - Satu Konspirasi Baru



Era Najib Altantuya : Saya Lebih Awal Dihina, Kata TGNA

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan kenyataan kerasnya berhubung pendiriannya untuk menolak sebarang kerjasama dengan UMNO apabila menyatakan, ‘Pergi jahanamlah UMNO’ kerana kata-kata itu dibolehkan di dalam Islam.

Nik Abdul Aziz berkata, kenyataan itu diluahkan untuk mempertahankan dirinya ekoran sikap pemimpin UMNO yang kini memburuk-burukkan dan menghina namanya.

“Mereka sibuk dengan kenyataan saya yang kata jahanam. Mereka tak kira tindakan mereka yang memburuk-burukkan dan menghina saya dalam dua tiga hari ini.

“Siapa kata seorang tok guru tak sepatutnya mengeluarkan perkataan jahanam. Dalam al-Quran ada, nabi pun ada sebut perkataan-perkataan seperti itu,”
katanya selepas mengadakan lawatan ke rumah penduduk yang musnah dilanda ribut di Kampung Buluh Poh, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan balas beberapa pemimpin UMNO berhubung reaksi beliau ketika diminta menjelaskan lebih mendalam mengenai ‘salam’ yang dihulurkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustapa Mohamed sewaktu majlis pelancaran Kelantan Fiesta 2009 di Kuala Lumpur minggu lepas.

Nik Abdul Aziz tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Beliau berkata, kesediaan untuk bekerjasama disebabkan negara ini mengamalkan sistem persekutuan dan di antara Kerajaan Negeri atau Pusat mempunyai kewajipan masing-masing.

Nik Abdul Aziz turut menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataannya itu.

“Saya takkan tarik balik. Buat apa nak tarik balik. Dalam ajaran Islam, kalau orang hina kita, tapi kita senyap, haram. Kita wajib meluahkan, itu orang hina saya, saya wajib mempertahankan,” katanya.


Era Najib Altantuya : DNA - Satu Konspirasi Baru

Prosiding inkues belum bermula. Malah pemanggilan untuk inkues penuh kecacatan. Tetapi tiba-tiba peguam yang dilantik mewakili kerajaan persis telah diarahkan oleh pejabat Peguam Negara supaya jangan tak sebut hal DNA di kot mendiang Teoh Beng Hock.

"Penemuan DNA" menjadikan teori terjatuh dan terjun tertolak, kerana Peguam Negara sedar masyarakat tidak mempercayai teori itu.

Peguambela dan peguamcara Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan sempat berkata sebelum inkues ditangguhkan semalam, laporan DNA pertama daripada spesimen yang diambil di bahagian belakang kot yang dipakai Teoh mendapati terdapat campuran DNA daripada dua individu iaitu yang menyamai spesimen darah Teoh dan seorang lelaki yang tidak diketahui.

Sementara itu, satu lagi profil DNA daripada spesimen yang diambil daripada bahagian tali pinggang Teoh yang terkoyak mendapati terdapat campuran DNA yang menyamai spesimen darah Teoh dan sekurang-kurangnya seorang lagi lelaki yang tidak diketahui.

Dengan kenyataan Tan Hock Chuan mengenai penemuan DNA di kot simati dan menyatakan pula terdapat dua orang yang enggan untuk menjalani ujian DNA, meletakkan spekulasi yang berbagai-bagai selepas inkues ditangguhkan sehingga Rabu depan.

Seorang wartawan yang juga seorang blogger ternama, Rocky Bru mendedahkan:


The two are Kajang municipal councillor Tan Boon Wah and businessman Lee Wye Wing. Their lawyer said the two have nothing to hide, that they'd wait for the Coroner's order first.


Ia jelas satu percubaan untuk mengalihkan tumpuan "pembunuhan" dari pegawai penyiasat SPRM kepada ahli-ahli DAP yang menjadi rakan karib si mati.

Ia mirip taktik penyimpangan yang dilakukan oleh blog t4tbh!

Peguam Negara akan memanipulasikan Akta DNA sebagai satu kaedah baru pendakwaan. DNA adalah satu cara baru, satu senjata baru yang diperolehi oleh Peguam Negara untuk menyelamatkan pegawai-pegawai SPRM yang terlibat di dalam kes kematian ini.

Tidak perlu kehadiran tertuduh nanti di tempat kejadian. Tidak perlu buktikan apa-apa yang lain. Memadai dengan DNA!

Sama halnya dengan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekalipun kesemua dokumen menjelaskan tiada bukti Saiful diliwat, namun DNA boleh digunakan untuk mensabitkan Anwar dengan kes berkenaan. Satu konspirasi baru dari pejabat Peguam Negara hasil usahasama dengan Polis Diraja Malaysia dengan pihak parti pemerintah yang meluluskan dengan cepat Akta DNA.

Rakyat Malaysia, berhati-hati tentang wujudnya konspirasi jelek di dalam kes kematian Teoh Beng Hock selepas ini. Ambil DNA dua orang yang enggan bekerjasama itu dan katakan itulah DNA yang ditemui di kot Teoh. Sama seperti mengambil DNA Anwar dan akan dikatakan itulah DNA yang diambil dari dubur Saiful!

Bacalah ayat ini selalu dan yakinlah:



Kerana keangkuhan (mereka) di muka bumi dan mereka merencana (sesuatu) yang jahat. Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain ke atas orang yang merencanakannya sendiri. Tiadalah yang mereka nanti-nantikan melainkan (berlakunya) sunnah (Allah yang telah berlaku) kepada orang-orang yang terdahulu. Maka sekali-kali kamu tidak akan menemui perobahan bagi sunnah Allah, dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah itu.(Fathir : 43)


Era Najib Altantuya : Kes Jutaan Ringgit Khir Toyo Disorokkan, PR Pula Yang Diburu

Imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada pada tahap kritikal berikutan kematian Setiausaha Exco, Teoh Beng Hock ketika dalam tahanan. Apakah SPRM mempunyai agenda sulit atau badan itu ditunggangi oleh BN untuk merampas kuasa di negeri Selangor? Ikuti pandangan Adun Kajang, LEE KIM SIN ketika diwawancara wartawan harakah SAIDAH HAIRAN di pejabatnya, di Kajang, baru-baru ini.

Berikutan kematian misteri mendiang Teoh apakah mungkin SPRM mempunyai agenda sulit yang diperalatkan BN untuk merampas kuasa Pakatan Rakyat Selangor?

LEE: SPRM membuat penyiasatan, yang disenaraikan ada tujuh Adun di daerah Petaling. Semuanya berbangsa Tionghua, enam DAP dan seorang Adun KeADILan. Kita persoalkan kenapa SPRM memilih Adun Tionghua, apakah ada sesuatu niat tertentu.

SPRM nampaknya buat penyiasatan secara selektif. SPRM cuba mencari kesalahan Adun Pakatan Rakyat dengan membuat penyiasatan daripada peruntukan Adun.

Kita lihat SPRM melakukan penyiasatan dengan kerjasama BN untuk cuba mencari kesalahan Adun Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Melalui pembongkaran dan penyelewengan dan sudah tentu akan menjatuhkan imej kerajaan Selangor.

Apabila sudah ada kes Adun atau Exco terlibat akan dibawa ke mahkamah dan sekali gus Adun terlibat tidak boleh menjadi wakil rakyat. Selepas itu akan diadakan pilihan raya kecil dan BN akan bertanding. BN akan melakukan tindakan ini untuk menawan kembali kerajaan negeri Selangor.

Kita mengesaki bahawa tindakan SPRM membuat penyiasatan terhadap Adun Pakatan Rakyat mempunyai agenda politik tertentu. Mungkin mereka diperalatkan oleh BN.

Apakah benar, sebelum SPRM membuat penyiasatan terhadap Adun Pakatan Rakyat, mereka telah menerima aduan daripada pihak tertentu tentang penyelewengan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat?

Jika ada laporan, maka perlu disenaraikan apa yang telah diselewengkan oleh Adun Pakatan Rakyat. Kenapa buat penyiasatan hanya kepada kerajaan negeri Selangor? Kenapa penyiasatan itu tidak dilakukan terhadap Adun BN Selangor yang telah menghabiskan peruntukan Adun tidak sampai dua bulan sebelum Mac 2008?

Peruntukan yang dihabiskan oleh Adun BN, setiap seorang mendapat RM500,000, dan dalam masa 44 hari kesemua wang itu telah dihabiskan oleh hampir semua Adun BN di Selangor. Apabila kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Mac 2008, kerajaan terpaksa keluarkan peruntukan yang baru untuk menampung perbelanjaan sembilan bulan bagi projek pembangunan.

Kes ini kita telah bawa dan kita mendesak SPRM untuk melakukan penyiasatan. Malangnya mereka tidak bertindak hingga ke hari ini.

Peruntukan sebanyak RM1,000 dan selama setahun RM12,000 untuk pengurusan pejabat setiap bulan itu pun dibelanjakan. Jadi kita dapat mempersoalkan kenapa peruntukan itu digunakan dan habis dalam masa kurang dua bulan.

Ternyata ada unsur-unsur penyelewengan dan ianya telah mendapat laporan akhbar tetapi tidak ada tindakan daripada SPRM.

Begitu juga dengan kes bekas Menteri Beser Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo. Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam, ada kes yang kita nampak jelas penyelewengan.

Misalnya di Sungai Panjang tempat Khir Toyo ada pembinaan Marin Park. Perbelanjaannya bermula dengan RM1 juta kemudian naik RM10 juta dan terus meningkat RM29.98 juta. Jadi peningkatan ini tidak munasabah.

Apa yang dibuat di situ, satu projek tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, baik peraturan kewangan dan Majlis Daerah. Begitu juga hutan simpan ditebang, taman orkid di Rawang yang menghabiskan wang dan berlaku penyelewengan berjuta-juta ringgit tetapi SPRM tidak nampak perkara itu dan tidak disiasat.

Apakah YB bersedia untuk disiasat dan memberi kerjasama kepada pihak SPRM?

Saya bersedia untuk disiasat tetapi saya tidak akan pergi ke pejabat SPRM. Ini arahan daripada kerajaan negeri Selangor supaya SPRM datang ke pejabat Adun dan mana-mana pejabat kerajaan negeri untuk menyiasat.

Apakah motif utama SPRM menjadikan mendiang Teoh sebagai saksi utama dalam penyiasatan tersebut?

Ini kerana mendiang Teo yang menguruskan pembelian bendera untuk sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-51 tahun 2008 daripada pembekal. Oleh kerana mendiang yang menguruskan semua dokumen dan wang peruntukan maka dia yang disoal siasat.

SPRM menemui mendiang, ketika itu kerajaan sedang mengadakan sidang Dewan Negeri. Begitu juga ketika SPRM datang ke pejabat Exco Ean Yong Hian Wah. Ean Yong tidak dapat menghadiri sidang kerana SPRM telah menyerbu pejabatnya.

Tindakan SPRM itu merupakan gangguan dan tidak sepatutnya berlaku dalam waktu itu. Pihak SPRM boleh hadir ke pejabat SUK pada bila-bila masa selepas tamat sidang Dewan Negeri.

SPRM memang semak semua perbelanjaan pada tahun 2008. Mereka menyemak sama ada semua pembekal ada resit yang berkaitan. Jadi, Teoh uruskan segala peruntukan dengan Pejabat Daerah. Semua perbelanjaan telah disenaraikan dan dipamerkan dalam website pejabat Daerah.

Siasatan terhadap mendiang Teoh sehingga jam 3.45 pagi. Bagaimana YB melihat kes ini?

Mereka tidak seharusnya menyiasat Teoh selepas jam 6.30 petang. Mereka harus membenarkan orang yang disiasat itu balik. SPRM mendakwa cara penyiasatan yang dilakukan mengikut cara yang dilakukan di Hong Kong.

Sebenarnya apa yang dilakukan di Hong Kong di bilik soal siasat mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi di pejabat SPRM di bangunan Plaza Masalam tidak mempunyai CCTV.

Di bilik soal siasat di Hong Kong mempunyai cermin (yang boleh nampak apa saja perbuatan yang dilakukan dalam bilik siasatan). Siasatan di Hong Kong, mereka akan tulis dan rekod serta bacakan apa yang ditulis kepada orang yang disoal siasat.

Orang yang disoal siasat diberi satu salinan, pihak penyiasat ada satu salinan dan salinan ketiga disimpan. Jika ada pertikaian maka mereka boleh rujuk semula. Tetapi perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Apa yang dilakukan SPRM membuat tindakan memaksa, ugut dan ganas.

Bolehkah orang yang disyaki disiasat sehingga jam 3.45 pagi?

Sesiapa saja selepas disoal siasat mereka akan balik segera ke rumah. Memang tidak masuk akal hendak duduk lagi di pejabat SPRM. Mesti hendak balik cepat ke rumah. Lagi pun mendiang bawa kereta ke pejabat SPRM. Tidak mungkin mendiang hendak bermalan di pejabat SPRM kerana tempat seperti itu apa sahaja boleh berlaku.

Satu lagi tidak masuk akal mendiang akan daftar perkahwinan pada hari Khamis selepas sesi soal siasat. Jadi dalam keadaan itu kalau kita kata mendiang bunuh diri, sebagaimana dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz dan SPRM memang tidak masuk akal. -harakahdaily


Era Najib Altantuya : Masin Kata-kata Tok Guru - Pergi Jahanam UMNO!

Kutukan Tok Guru Nik Aziz terhadap UMNO, “Pergi jahanamlah UMNO!”, menimbulkan huru-hara di kalangan ahli UMNO dan penyokong UMNO, yang mendorong para pemimpin UMNO mengisytiharkan diri merekalah pemimpin sejati orang Melayu dan Islam.

Semua mereka sebulat suara mengajak rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu dan orang Islam, supaya melupakan saja Tok Guru Nik Aziz, tidak memberi perhatian lagi kepada Tok Guru yang sangat bisa mulutnya itu. Seorang Timbalan Manteri dari Kelantan berkata, Tok Guru itu hendakkan buah, tapi tak mahu pohon apabila menolak kerjasama dengan UMNO tetapi bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat.

Jika anda pernah ke pasar tani yang kebetulan ada penjual durian, bagaimana perasaan anda jika penjual durian bertanya, “Tuan mahu buahnya saja atau pohonnya sekali?” Tentulah anda anggap penjual buah durian itu sudah gila. Apa perlunya pembeli hendak beli pokok durian, jika buahnya saja yang dia mahu? Tidakkah gila jika setiap kali anda ingin makan buah-buahan, anda terpaksa membeli pokoknya sekali.

Tetapi Timbalan Menteri yang terlalu cerdik itu jadi amat bodoh apabila menggunakan analogi yang tidak masuk akal itu. Inilah taraf pemikiran pemimpin UMNO, baru berada pada kelas budak-budak sekolah, belum lagi sampai ke taraf seorang ulama seperti Tok Guru Nik Aziz.

Kelemahan terbesar UMNO ialah tidak dapat menerima kekalahan, oleh itu mereka akan menjahanamkan musuh politik mereka dengan cara apa saja, misalnya dengan merampas kuasa seperti yang mereka lakukan berkali-kali di Kelantan, Terengganu, di Perak (terbaru) dan kini sedang mencuba bermati-matian hendak menjahanamkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Mereka boleh malakukannya kerana mereka mempunyai kuasa undang-undang kerana masih berkuasa di peringkat pusat. Mereka menggunakan undang-undang yang mereka bikin sendiri dalam Dewan Rakyat untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Dalam konteks inilah ucapan keras Tok Guru Nik Aziz itu harus difahami. UMNO dan sekutunya menganggap Malaysia kepunyaan mereka, dengan alasan bahawa merekalah yang “memperjuangkan” kemerdekaan Malaysia. Sebenarnya mereka bukan pejuang dalam makna yang tepat yang digunakan dalam politik perjuangan kemerdekaan yang dialami di Indonesia, Vietnam, Burma dan lain-lain. UMNO adalah “perunding” kemerdekaan, yang dicipta oleh penjajah Inggeris untuk mewakili orang Melayu dan raja-raja Melayu. Kerana adanya perasaan “Malaysia UMNO punya”, maka UMNO tidak boleh terima sebarang kekalahan.

Sikap inilah yang telah menjahanamkan orang Melayu, kerana orang Melayu dipaksa berada dalam keadaan yang sentiasa bergantung kepada UMNO “demi keselamatan Melayu dan Islam”. Sedar atau tidak, orang Melayu telah dijadikan hamba oleh UMNO untuk terus berkuasa. Begitu terhutang budinya si Melayu ini apabila diberi sebuah jambatan baru berharga RM300,000 selepas PRK 14 Julai 2009 baru-baru ini. Diberi seekor anak beruk atau anak kambing pun mereka sangat terhutang budi kepada UMNO. Demikian hinanya menjadi Melayu di bawah naungan UMNO, terpaksa menjadi peminta sedekah untuk mendapat sesuatu yang mereka perlukan.

Walaupun disedari mereka perlukan jambatan, pemimpin UMNO memberi syarat dan kata dua kepada para pengundi dalam sejenis amaran yang dihamburkan oleh TPM Muhyiddin Yassin di Manek Urai baru-baru ini: “Kita boleh bagi jambatan baru, Insya Allah, tetapi ada syarat. Yang itu senang saja, pangkah saja Barisan Nasional. Kita nak beritahu semua, mu (kamu) nak lalu sini, mu kena pangkah Barisan Nasional. Kalau tidak, esok tak dapat jambatan. Nak jambatan, pangkah Barisan Nasional.” (Siasah, 19-25 Julai, 2009).

Keangkuhan seperti ini mendorong sebahagian besar rakyat Manek Urai menjeritkan kutukan, “Pergi jahanamlah UMNO!” Suara rakyat itulah yang digemakan kembali oleh Tok Guru Nik Aziz ketika beliau mengulang kutukan itu. Itulah makna sebenar “rakyat diutamakan” yang digembar-gemburkan oleh Najib Tun Razak, yang kononnya mencipta One Malaysia (bukan Satu Malaysia kerana satu sen tidak ada harga sekarang!). Nah, mengapa pula UMNO marah-marah apabila rakyat benar-benar diutamakan dengan mengulang kutukan mereka, “Pergi jahanamlah UMNO!” seperti yang dibuat oleh Tok Guru Nik Aziz.

Kalau betul-betul rakyat diutamakan, UMNO wajib dengar suara yang berbeza daripada rakyat, walaupun berupa kutukan. Kutukan demikian sebenarnya perlu untuk mengimbangi keangkuhan para pemimpin UMNO seperti yang ditunjukkan oleh Muhyiddin Yassin di Manek Urai. Dalam konteks ini, UMNO mesti bersedia untuk dikalahkan, malah UMNO mesti belajar menjadi kumpulan yang kalah.

Pendeknya, hanya dengan menerima kekalahan sebagai ketua parti yang budiman dan bersikap lapang dada, barulah UMNO boleh berubah. Jika UMNO tidak mahu kalah, maka sikap itu bertentangan dengan Islam yang dikatakan amat disanjung oleh UMNO. Atau sebenarnya UMNO berpura-pura dalam semua perkara, termasuk dalam agama? Kalau begitu, tepatlah tempelak Tok Guru Nik Aziz, “Pergi jahanamlah UMNO!” - [29/7/2009] Mohd. Affandi Hassan. -adimul.blogspot.com


Hujah 'pergi jahanamlah Umno' wajar - Nik Aziz
Salmah Mat Husain

KETEREH, 29 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menarik kenyataannya sebelum ini yang menyebut 'pergi jahanamlah dengan Umno' kerana ia dianggap wajar.

Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin Umno kelihatan kalut dengan kenyataan itu tanpa memikirkan tindakan pemimpin parti itu sendiri yang mencerminkan perkara tersebut.

"Umno langsung tidak pernah fikir ketika pemimpin parti itu memburukkan nama saya sebelum ini.

"Namun setelah pemimpin mereka ditegur sedikit riuh rendah jadinya," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 215 mangsa ribut di Kampung Buloh Poh dan Kampung Lancang petang tadi.

Beberapa pemimpin Umno termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Dr Awang Adek Hussin sebelum ini dilaporkan kesal dengan kenyataan Mursyidul Am PAS berkaitan isu terbabit.

"Takkan saya mengeluarkan kenyataan yang agak keras tanpa sebarang sebab," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan pemimpin Umno yang mendakwa seorang tok guru yang bergelar ulama tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Siapa ajar tok guru tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan Allah sendiri dalam al-Quran menyumpah manusia macam binatang.

"Ada juga ayat di mana Allah mengumpamakan manusia ini pekak, tuli, buta.

"Jadi sekiranya ada orang menghina kita, kita senyap tak berbuat apa-apa itu bukan merendah diri, tetapi menghina diri sendiri," tambahnya.


Era Najib Altantuya : Chua Nafi Tak Dapat Sokongan Kaum Cina

Saya terpaksa terjun daripada kapal yang bocor menaiki kapal baru yang sentiasa menyelamatkan sesiapa sahaja yang mahu melihat masa depan negara terselamat, " kata bekas Menteri Kesihatan, Dato' Chua Jui Meng yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (KeADIILan), lapor harakahdaily.

Minatnya terhadap Pakatan Rakyat terus memuncak apabila melihat Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkan gabungan tiga parti utama pembangkang yang sebelum ini agak retak setelah Barisan Nasional (BN) mengamalkan dasar kuku besi terhadap negeri yang dimenangi pembangkang.

Beliau ketika beceramah di An-Nahdhoh In, Bukit Indera Muda, Permatang Pauh menambah, tohmahan daripada kempinan MCA dan BN memang diduga berikutan tindakannya melompat parti untuk kebaikan diri, masyarakat dan negara.

Apa tidaknya tambah beliau, dalam keluarga MCA segala-galaya sudah hancur akibat terlalu pentingkan jawatan dan kuasa.

"Tindakan mendedahkan kepincangan kerajaan ini bukan berniat untuk kepentingan diri sebaliknya menebus maruah ketika bersama BN dulunya, " ujar beliau diiringi tepukan orang ramai.

Kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) juga jelas Chua, menjadi faktor kenapa beliau meninggalkan MCA dan BN.

ISA patut dimansuhkan sebab tidak sesuai lagi digunakan oleh kerajaan yang mengamalkan dasar demokrasi.


"Kerajaan sengaja tidak mahu mansuhkan akta tersebut demi menyelamatkan kedudukan pemerintah apabila mereka buntu berhadapan dengan mana-mana parti atau organisasi yang makin diterima rakyat, " tambah beliau.

Sementara itu di dalam satu wawancara bersama Charles Mohan, Edisi 7, Chua menafikan beliau tidak mendapat sokongan kaum Cina.

Menurut Chua, keputusan pilihanraya menunjukkan majoriti beliau sentiasa meningkat dan apabila beliau tidak diturunkan oleh MCA, penduduk di Bakri telah memprotes dan mengundi pembangkang.

Chua, 65, mendakwa MCA kini mengalami keretakan dan mengalami dwi-kepimpinan.

"Sekarang sudah ada dua MCA," kata Chua.

Selain Chua, bekas senator dari MCA, David Yeo dan bekas ahli parlimen Lumut Yap Yit Tong turut menyertai PKR.