10 Apr 2009

PASCA BUKIT GANTANG : Polis Dibidas Lepaskan Gas Pemedih Mata Di Air Kuning

Pihak polis hari ini dibidas kerana setelah tiga hari pilihanraya kecil Bukit Gantang berlalu, baru mereka membuat pengakuan bahawa anggota mereka ada melepaskan gas pemedih mata terhadap penyokong PAS di Air Kuning semasa pilihanraya kecil sedang berjalan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hussin Ismail hari ini menkaui polis melepaskan gas pemedih mata terhadap penyokong PAS di Air Kuning Bukit Gantang.

Naib Presiden UMNO yang juga sekarang Menteri Pertahanan, Mohd Zahid Hamidi sebelum ini telah menafikan wujudnya kejadian melepaskan gas pemedih mata oleh pihak polis di kawasan pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Aur, Air Kuning.

Banyak pihak mempertikaikan tindakan biadab polis berkenaan kerana tindakan sedemikian tidak perlu di saat orangramai sedang menunaikan kewajipan untuk mengundi.

Tindakan polis berkenaan telah menyebabkan ketakutan di kalangan pengundi-pengundi dari kalangan warga emas dan wanita apabila mendapat tahu polis sudah melepaskan gas pemedih mata di situ dan kerana itu terdapat mereka yang membatalkan hasrat untuk keluar mengundi pada hari berkenaan.

"Pertembungan diantara parti-parti yang bertanding adalah perkara biasa di dalam suasana hari mengundi. Tiba-tiba akibat kebebalan polis yang ingin menunjukkan kuasa berlebihan di hari tersebut telah melepaskan gas pemedih mata sedangkan ianya boleh dileraikan tanpa penggunaan tembakan gas tersebut. Yang terlibat di dalam pertembungan itu hanya di setitar 15-20 orang sedang bilangan polirs ketika itu lebih ramai," tegas seorang pengundi yang menghubungi Kelab GB.

"Hal yang berlaku selepas penyokong2 umno melempar kerusi ke arah penyokong2 PAS," tambahnya.

Sementelah lagi, pengakuan polis tersebut dengan sendirinya menafikan kenyataan Naib Presiden UMNO, Mohd Zahid Hamidi yang mendakwa video yang tersebar adalah gambar lama yang diselitkan oleh para blogger.

"Zahid perlu letak jawatan. Lansung tidak ada kredibliti sebagai menteri dan pemimpin. Tidak menyemak fakta dan beliau tidak tahu apa yang beliau cakap," tambah pemanggil tersebut lagi.


PASCA BATANG AI : Pakatan Rakyat Menang Lebih 400 Undi Majoriti

Victory without glory, itulah kata-kata calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai, Jawah Gerang, terhadap kemenangan Barisan Nasional yang didakwa beliau dicapai melalui penipuan.

Beliau mendakwa menang dengan majoriti lebih daripada 400 undi tetapi dinafikan kemenangan disebabkan penipuan yang dilakukan oleh BN dengan dibantu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Sebagai mengukuhkan dakwaan beliau, Jawah berkata kira-kira 10 daripada sejumlah 24 peti undi di DUN Batang Ai didapati tidak berkunci dan ini menimbulkan kesangsian bahawa keselamatan peti-peti undi tersebut telah diceroboh.

"Kita kalah di semua peti undi yang tidak berkunci itu tetapi menang yang mana peti-peti undi dikunci. Pada perkiraaan kasar kami, Pakatan Rakyat telah memenangi kerusi Batang Ai dengan majoriti lebih 400 undi." kata beliau ketika dihubungi TV Antara.

Mengulas dakwaan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kekalahan Pakatan Rakyat 7 April lalu disebabkan beberapa peti undi digugurkan ke laut dari helikopter dan perahu, Jawah, 55, berkata dakwaan itu ada kebenarannya.

"Sumber-sumber dalaman kami memberitahu bahawa pihak polis dan SPR mengadakan beberapa mesyuarat rahsia yang kami percayai ada hubung kait dengan manipulasi pilihan raya kecil ini.

Bekas Ahli Parlimen Lubok Antu itu juga mendakwa BN telah melanggari peraturan pilihan raya dengan memberi rasuah, projek-projek pembangunan dan pelbagai janji bagi meraih undi.

Beliau mendakwa setiap rumah panjang di DUN Batang Ai didatangi oleh kira-kira 20 kakitangan Kemas dan Jasa.

"Mereka tinggal bersama-sama penghuni rumah panjang dan memaksa mereka menyokong BN dengan memberi wang antara RM50 sehingga RM1,500 seorang.

"Sekiranya SPR serius menguatkuasakan undang-undang pilihan raya mereka sepatutnya isytiharkan pilihan raya kecil Batang Ai batal kerana penyelewengan yang dilakukan BN," tegas beliau.

Jawah berkata lagi beliau dan penyokong Keadilan di DUN Batang Ai akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau segala janji-janji BN berkaitan projek pembangunan di kawasan itu yang berjumlah RM80 juta.

Ini termasuk projek infrastruktur, jalur lebar, jalan raya dan lain-lain projek.

Mengenai sokongan pengundi Batang Ai terhadap Pakatan Rakyat, Jawah berkata kewujudan Keadilan di DUN tersebut baru kira-kira setahun tetapi sudah pun ahli yang ramai sekitar 1,000 orang terutamanya dikalangan golongan muda.

"Kami bertambah semangat untuk menumbang BN dalam pilihan raya negeri akan datang kerana apa gunanya kemenangan kalau menipu," ujar beliau.

Jawah berkata peguamnya kini sedang merangka tindakan undang-undang yang sesuai susulan dakwaan penipuan BN dalam pilihan raya kecil Batang Ai.

- tvantara

Kerajaan UMNO Najib Bebaskan ISA Bagai Lepas Batuk Di Tangga

Bagai melepaskan batuk ditangga. Itulah pepatah yang sesuai dilemparkan kepada Perdana Menteri Najib Razak berhubung keputusannya membebaskan 13 tahanan ISA secara bersyarat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan pembebasan tahanan- tahanan tersebut tidak berpaksi kepada pembebasan penuh tetapi sekadar retorik memenangi hati rakyat semata- mata.

Salah seorang tahanan ISA yang dilepaskan sebaik sahaja Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri jumaat lalu ialah Penasihat Perundangan HINDRAF, V Ganabatirao.

Pelepasan beliau dari Kem Tahanan Kemunting secara bersyarat dan bukan secara total dalam erti kata sebenar dipertikaikan banyak pihak.

“Kalau benar- benar hendak memberi pembebasan ISA, bebaskan lah semua, bukannya sekerat dua saja. Itu saya rasa tidak akan merawat masalah. Ibarat kita tukar mangkuk saja. Ubat masih serupa. Racun masih ada. Tukar mangkuk saja. Racun tak pula dibuang.” kata Lim Guan Eng

Ganabatirao juga disyaratkan tidak boleh membuat sebarang kenyataan akhbar dan dilarang sama sekali berkempen untuk mana- mana pilihanraya yang akan datang.

“Saya difahamkan kalau kita lihat Malaysian insider, free to walk, but not free to talk, tak boleh cakap dengan pihak media massa, tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Sungguhpun Ganabatirao dibebaskan tapi dalam erti kebebasan adalah terhad dan tersekat, so ini bukan pembebasan sebenarnya , ini bukan pembebasan tanpa syarat , ini pembebasan bersyarat. Pembebasan ala celup punya.” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Najib Razak kini sedaya upaya cuba mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pemerintahannya selepas mengepalai jentera barisan nasional merampas negeri Perak Darul Redzuan secara kotor bulan Mac lalu.

“Saya rasa kalau cakap daripada perubahan belum ada lagi kalau nak benar- benar tuntutan yang kita buat pecatlah Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam dengan segera.”

- tvantara


SPRM Efisyien Ke Atas Pakatan Rakyat Tetapi Lemau Ke Atas UMNO / BN

Di alam keadaan yang amat effisyen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) begitu pantas untuk menyiapkan kertas siasatan terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tetapi tidak sedemikian terhadap pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.

Hari ini dilaporkan SPRM telah menghantar kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin ke Bahagian Pendakwaan hari ini.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata SPRM telah meneliti kertas siasatan berkenaan dan mendapati pada peringkat siasatan ia telah lengkap.

"Pada peringkat siasatan, ia telah lengkap tetapi jika pihak pendakwaan mahu kita menambah siasatan atau sebarang fakta bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan, SPRM akan melakukannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ditanya bila pendakwaan berhubung kes itu akan dilakukan, beliau berkata ia bergantung kepada Bahagian Pendakwaan untuk tindakan seterusnya.

"Sabarlah, bagi peluang kepada Bahagian Pendakwaan untuk meneliti kes itu dulu sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan selanjutnya," katanya.

Mengenai sama ada Mohammad Fairus akan ditahan, Shukri enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini yang disyaki terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Persoalan kini bilakah lagi kertas-kertas siasatan hendak dibuka untuk pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang telah dilaporkan sebelum ini?

Kita juga tertanya-tanya apa fungsinya panel-panel SPRM yang dibentuk untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah badan yang berintegriti. Lima panel SPRM dianggotai oleh 42 tokoh itu ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Jika mereka gagal untuk memainkan peranan mereka sebagai penal bagi memastikan SPRM lebih berintegriti serta menjalankan tugasnya dengan adil, saksama dan telus, kami berpendapat sebaik-baiknya panel-panel itu dibubarkan.

PASCA BUKIT GANTANG : Sah! Nizar Dijemput Ke Istana

Tanda-tanda bahawa Dewan Undangan Negeri Perak akan dibubarkan sebagai penyelesaian kepada krisis politik yang melanda negeri tersebut sejak awal Februari lalu nampaknya semakin nyata apabila Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah dijemput mengadap Sultan Azlan Shah 19 April depan.

Ketika dihubungi TV Antara, Datuk Seri Mohammad Nizar yang juga ahli parlimen Bukit Gantang mengesahkan beliau telah menerima jemputan dari pihak istana untuk menghadiri majlis penganugerahan bintang-bintang kebesaran pada tarikh tersebut sempena sambutan keputeraan baginda baru-baru ini.

Beliau juga berkata susulan kepada surat pertama yang dihantar kepada Sultan awal Mach lalu untuk memohon perkenan mengadap juga telah dihantar minggu lepas.

Ditanya samada beliau akan membangkitkan isu pembubaran DUN Perak pada pertemuan dengan Sultan Azlan Shah pada majlis rasmi itu kelak, Datuk Seri Mohammad Nizar berkata ia bukan suasana yang sesuai untuk membincangkan perkara tersebut.

"Saya menunggu jawapan daripada pihak istana untuk mendapatkan tarikh yang sesuai untuk mengadap Tuanku Sultan dan pada ketika itu isu pembubaran DUN akan saya persembahkan kepada baginda untuk pertimbangan sewajarnya," kata beliau.

Perkembangan terbaru ini boleh ditafsiran sebagai indikasi bahawa Sultan Perak mahu melihat penyelesaian kemelut politik akibat daripada tindakan rampasan kuasa haram yang didalangi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Umno dan Barisan Nasional negeri yang mengheret institusi raja bagi memenuhi skim politik khianat mereka.

Ini juga berikutan kemenangan besar Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang 7 April lalu yang dianggap sebagai referendum rakyat terhadap desakan supaya DUN dibubarkan bagi membuka jalan kepada pilihan raya negeri secepat mungkin.

Ia juga merupakan isyarat yang jelas kepada Istana bahawa referendum rakyat Bukit Gantang mestilah dihormati oleh semua pihak.

Datuk Seri Mohammad Nizar selaku Menteri Besar yang sah menghantar sepucuk surat kepada Sultan Perak bagi memohon mengadap untuk mempersembahkan hasil keputusan persidangan tergempar DUN yang diadakan di bawah pokok 3 Mach lalu.

Sidang DUN tersebut meluluskan tiga usul iaitu sokongan terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar, membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dan membenarkan Speaker, V. sivakumar mengambil tindakan menghina Dewan terhadap polis, Menteri Dalam Negeri (ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar), Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim serta kakitangan awam yang terlibat menghalang sidang tergempar
tersebut.

-tvantara

Kepimpinan UMNO Najib Dipersendakan BERNAMA

Agensi Berita Nasional hari ini terang-terangan menganggap Najib sebagai seorang pemimpin yang "naif" lagi mengikut rasa dan telunjuk "Tun".

Kesilapan ejaan biasanya hanya berlaku untuk satu atau dua perkataan. Tetapi yang nyata di atas ia adalah satu yang disengajakan yang berkemungkinan ingin melahirkan rasa tidak senang terhadap PM yang baru.

Di dalam satu pendedahan oleh sebuah blog milik Susan Loone yang telah sempat untuk mencekup berita berkenaan sebelum ianya diperbetulkan, menyaksikan bahawa selain dari rakyat, para wartawan, pemberita dan komuniti di pelbagai peringkat tidak senang dengan cara Najib yang kini menjadi seorang PM "boneka".


Mahathir yang terkenal dengan sifat diktatornya kini menjadi "mastermind" terhadap kepimpinan Najib dan diberitakan Mahathir kini sedang memainkan peranan utama untuk melakukan kerja-kerja jahatnya untuk merampas negeri-negeri yang telah ditawan oleh Pakatan Rakyat.

Beliau juga dikatakan akan memainkan peranan utama di dalam Kementerian Dalam Negeri untuk menampung Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein kerana kementerian tersebut berada di bawah Mahathir sewaktu beliau memegang jawatan PM.

Mahathir kini sedang cuba untuk mempengaruhi pemikiran rakyat dengan tulisan-tulisan di blognya dengan mengeluarkan hujjah bagi menjustifikasikan tindakan-tindakannya dengan memainkan peranan sebagai seorang pengkritik terhadap BN sedangkan yang nyata di dalam kempen pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau beliau telah mendedahkan bahawa dirinya sebagai "hipokrit darjah tertinggi".

Kelab GB mulai pada hari ini memadamkan pautan ke blog Mahathir untuk tidak bersekongkol dengan "jenayah"nya terhadap negara ini berterusan dan berharap semua blogger mengamb il tindakan yang serupa.



Perpecahan UMNO Semakin Ketara Di Era Najib

Barisan Kabinet baru tidak melambangkan perpaduan dalam UMNO kerana mereka yang terpilih adalah penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala individu yang tidak menyebelahinya digugurkan daripada kumpulan baru itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, tindakan itu jelas menunjukkan Menteri yang tidak tersenarai dalam pilihan Kabinet baru adalah ‘orang kuat’ Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Pengguguran menteri-menteri berkenaan yang ada di kalangan mereka sudah lama dalam Kabinet jelas menunjukkan keretakan dalam perpaduan UMNO sendiri.

“Sepatutnya mana-mana kerajaan yang baik mampu berdiri sendiri, tidak dipengaruhi dan tidak dicucuk hidung oleh mereka yang berkepentingan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Menurutnya, kedudukan Kabinet yang baru itu juga menunjukkan kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk meletakkan anaknya Datuk Mukhriz tercapai manakala Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin tersingkir.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri itu berkata, sebenarnya kembalinya Dr Mahathir memasuki UMNO membimbangkan rakyat kerana peranan yang bakal dimainkan beliau dalam kepimpinan parti itu dan kerajaan kelak.

Husam berkata, kepimpinan yang baru itu harus mengambil kira kepentingan dan tuntutan majoriti rakyat yang ingin melihat integriti pasukan polis ditingkatkan, pengurangan kadar jenayah dan kerajaan yang bersih.

Terdahulu beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II dan Datuk Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Tambahnya, diharap dengan kedudukan terbaru itu mereka dapat berbincang dan merangka perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan untuk masyarakat Kelantan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) kerana kesalahan membunuh wanita Mangolia, Husam menyatakan keputusan itu menimbulkan tanda tanya kepada rakyat.

“Ini kerana mustahil dua anggota terbabit boleh bertindak sendirian tanpa didalangi sesiapa dalam kes itu dan sehingga kini ia menimbulkan misteri kepada masyarakat.

“Diharap polis dapat menyiasat rangkaian antara dua anggota polis itu dengan arahan yang diterima kerana pihak yang ada kepentingan dalam kes ini tidak disabitkan oleh mahkamah,”
katanya.

Mahkamah semalam mendapati Cif Inspektor Azilah Hadri, 33 dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37 gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu dan disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 lalu.

-sinarharian

PASCA BUKIT SELAMBAU : Ahli UMNO Berontak Terhadap Pemimpinnya

Ekoran kekalahan BN di Bukit Selambau, beberapa kritikan pedas dilemparkan terhadap kepimpinan UMNO-BN Kedah oleh para ahlinya.

Menurut meraka kekalahan calon BN, Datuk S. Ganesan, 50, dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau pada 7 April 2009 banyak berpunca daripada kelemahan kerajaan BN Kedah semasa berkuasa dahulu di bawah kepimpinan Mahadzir sebagai Menteri Besar ketika itu.

Atas alasan itu, mereka menuntut Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Dato' Seri Mahadzir Mohd Khalid meletakkan jawatannya.

"Dalam setiap ceramah BN, penceramah hanya menekan kepada kegagalan kerajaan Pakatan Pembangkang melaksanakan tanggung jawab sejak diberi kepercayaan memerintah Kedah selepas pilihan raya umum ke-12 lalu. Ceramah-ceramah BN itu sebenarnya banyak mendedahkan kelemahan diri sendiri. BN hanya menyalahkan kerajaan Pakatan Pembangkang kerana belum membawa perubahan. Tetapi, pemimpinnya gagal melihat kelemahan di dalam diri sendiri bahawa selama lebih 40 tahun BN memerintah kerajaan negeri, Kedah masih banyak masalah rakyat yang sering tidak diselesaikan sehinggalah dihukum kalah pada pilihan raya umum pada 8 Mac 2008," tulis Saad Nordin di dalam ruangan pendapat di Bernama.com

Seorang lagi penulis bernama Amir Hakim menyatakan faktor utama kekalahan UMNO-BN ialah penggunakan jentera kerajaan. Katanya, masalah anggota BN adalah mereka berkempen sebagai sebuah kerajaan bukannya sebagai sebuah organisasi politik, sedangkan dalam pilihan raya yang bertanding adalah parti.

Katanya lagi, bagi pengundi di kawasan pilihan raya kecil itu, apa yang penting bagi mereka adalah masalah setempat segera diselesaikan. Usahlah bercakap tentang projek nasional mahupun internasional sedangkan masalah penduduk setempat pun tidak diambil peduli.

"Hentikanlah menjaja projek dan bantuan segera. Fahamilah hati naluri rakyat setempat dan bertandinglah secara "gentleman" sebagai PARTI dengan PARTI dan bukannya antara KERAJAAN dengan PARTI POLITIK mana pun. Usahlah sama sekali libatkan jentera-jentera Kerajaan ketika berkempen di mana-mana pilihan raya," ujarnya.



SAAD NOORDIN

EKORAN KEKALAHAN CALON BARISAN NASIONAL (BN) DI BUKIT SELAMBAU, PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO KEDAH PERLU LETAK JAWATAN: Seterusnya, kekalahan itu juga mesti dipikul oleh kepimpinan Perhubungan BN Kedah. Jadi, bagi memulihkan kembali kepercayaan penduduk negeri terutama di kalangan anggota Umno, Datuk Seri Mahadzir Khalid perlulah letak jawatan supaya presiden Umno boleh memilih pengerusi baru. Kekalahan calon BN, Datuk S. Ganesan, 50, dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau pada 7 April 2009 banyak berpunca daripada kelemahan kerajaan BN Kedah semasa berkuasa dahulu di bawah kepimpinan Mahadzir sebagai Menteri Besar ketika itu.

Ini kerana pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu memprotes calon BN dengan memberi undi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Manikumar, bukan kerana mahu mengekalkan kerusi kepada PKR sebaliknya mahu "menghukum " kerajaan BN Kedah lalu yang begitu lama berkuasa, tetapi masih tidak berupaya menyelesaikan masalah rakyat. Masalah masyarakat India di Ladang Sungai Getah, Bukit Lembu, masalah orang Melayu yang gagal mendapat bekalan air bersih di beberapa kampung dalam Bukit Selambau, serta masalah penduduk tepi sungai berdekataan pekan Sungai Lalang dan kes-kes mengejutkan yang ditemui semasa rancak berkempen. Pendek kata, terbongkarlah kisah pemimpin dan wakil rakyat BN yang menang di kawasan itu sebelum ini tidak mempedulikan langsung masalah rakyat setempat!

Ketua Umno Bahagian Merbok sebelum ini, Datuk Arzmi Hamid, tewas semasa bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 di kawasan DUN Tanjung Dawai. Beliau juga tumbang sebagai ketua bahagian kerana didakwa gagal bekerja sebagai pemimpin politik. Ketidakpeduliannya turut menjadi punca kepada mala petaka yang menimpa BN di Bukit Selambau. Kegagalan semua sayap Umno bahagian itu membantu penduduk di kawasan Bukit Selambau mengundang padah yang amat memalukan. Maka, calon BN itu "dihukum" kalah dalam pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau.

Sebagai Ketua Bahagian Umno yang menjadi pengerusi BN Bahagian, Datuk Tajol Urus Md Zain dikatakan langsung tidak turun padang menyelesaikan masalah rakyat bersama-sama pemimpin MIC, MCA dan Gerakan. Apabila kerusi DUN Bukit Selambau diisytiharkan kosong akibat bekas wakilnya, V.Arumugam "melarikan" diri entah ke mana, Tajol Urus hanya sibuk urus menuntut kerusi N25 Bukit Selambau yang dimiliki MIC dikembalikan kepada Umno. Pada mulanya, Tajol menganggap dirinyalah yang paling layak bertanding di kawasan itu. Tetapi, akhirnya akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan kerusi DUN Bukit Selambau milik MIC.

Kehilangan undi dari kalangan masyarakat India dan Cina dalam pilihan raya kecil N25 Bukit Selambau perlu diletakkan ke atas bahu BN Kedah. Peratusan pengundian itu juga menjelaskan bahawa ramai penduduk/pengundi menolak BN kerana sebab-sebab yang berpunca daripada kegagalan kepimpinan BN Kedah.

Dalam setiap ceramah BN, penceramah hanya menekan kepada kegagalan kerajaan Pakatan Pembangkang melaksanakan tanggung jawab sejak diberi kepercayaan memerintah Kedah selepas pilihan raya umum ke-12 lalu. Ceramah-ceramah BN itu sebenarnya banyak mendedahkan kelemahan diri sendiri. BN hanya menyalahkan kerajaan Pakatan Pembangkang kerana belum membawa perubahan. Tetapi, pemimpinnya gagal melihat kelemahan di dalam diri sendiri bahawa selama lebih 40 tahun BN memerintah kerajaan negeri, Kedah masih banyak masalah rakyat yang sering tidak diselesaikan sehinggalah dihukum kalah pada pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

BN Kedah yang dipengerusikan Mahadzir Khalid perlu menerima kekalahan itu, dan sebagai tanda bertanggung jawab, barisan kepimpinannya harus meletak jawatan untuk memberi laluan mudah kepada presiden Umno dan BN, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik "tokoh" yang lebih dipercayai menerajui BN Kedah. Kini, pemerhati politik di Kedah tidak nampak langsung kemampuan Mahadzir Khalid untuk merampas balik tampuk pemerintahan Kedah dari Pakatan Pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Apa yang berlaku di Bukit Selambau adalah satu peringatan jelas kepada barisan kepimpinan BN Kedah. Anda wajib menyelesaikan dengan ikhlas masalah rakyat dahulu sekiranya mahu memikat balik hati para pengundi. Kepada Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajol Urus pula, ingatlah kemenangan dalam parti bukan ukuran menentukan kemenangan dalam pilihan raya nanti. Renungkanlah: yang pahit itu sudah terbukti menjadi ubat, tetapi yang manis itu jelas membawa penyakit.

AMIR HAKIM

: BARISAN NASIONAL HARUS BERKEMPEN SEBAGAI SEBUAH PARTI, BUKAN KERAJAAN: 1. Selepas dua pilihan raya kecil sejak Mac 2008, Barisan Nasional (BN) nampaknya masih belum belajar bagaimana hendak mencatur strategi pilihan raya kecil. 2. BN masih lemah dalam usaha mendekati pengundi, lemah menangkis serangan pembangkang, jentera penerangan yang kemarau idea bagi mengutarakan isu. 3. Kelemahan itu makin ketara lagi dengan para petugas yang datang dari negeri-negeri lain yang hadir bukan untuk membantu tetapi lebih sekadar berseronok dan bercuti, sambil mendapat sedikit duit kopi.

4. Masalah anggota BN adalah mereka berkempen sebagai sebuah kerajaan bukannya sebagai sebuah organisasi politik, sedangkan dalam pilihan raya yang bertanding adalah parti. 5. Oleh kerana bertanding sebagai sebuah kerajaan, maka berjanjilah BN untuk melakukan pelbagai bantuan dan projek. 6. Maka, sekarang kedengaran pelbagai bantuan diberikan di Bukit Selambau dan Bukti Gantang, dan pihak kerajaan pun mengumumkan pelbagai lagi projek. 7. Kekadang projek yang diumumkan itu adalah untuk seluruh negara dan bukan untuk penduduk yang sedang menghadapi pilihan raya itu.

8. Bagi pengundi di kawasan pilihan raya kecil itu, apa yang penting bagi mereka adalah masalah setempat segera diselesaikan. Usahlah bercakap tentang projek nasional mahupun internasional sedangkan masalah penduduk setempat pun tidak diambil peduli. 9. Hentikanlah menjaja projek dan bantuan segera. Fahamilah hati naluri rakyat setempat dan bertandinglah secara "gentleman" sebagai PARTI dengan PARTI dan bukannya antara KERAJAAN dengan PARTI POLITIK mana pun. 10. Usahlah sama sekali libatkan jentera-jentera Kerajaan ketika berkempen di mana-mana pilihan raya.


Umno Takut Nga Kor Ming Faham Islam

Pelik juga dengan beberapa kerat pemimpin Umno termasuk seorang Profesor kangkung yang menjadi haru biru lantaran YB Nga Kor Ming dari DAP Perak yang memetik ayat ayat al Quran dalam ceramahnya.

Kalau atas alasan makhraj dan tajwidnya tak betul, bukankah wakil rakyat DAP tu masih dalam belajar dan baru sangat mengenali Islam semenjak berkawan dengan Hj Nizar, baru setahun! Manalah fasih sebutan arabnya itu.

Kalau atas alasan dia mempergunakan ayat al Quran untuk menghalalkan sesuatu yang haram, maka tunjuk lah kat mana dia salah gunakan?

Jika atas alasan Nga Kor Ming bukan Islam, tak boleh baca Quran,mana dalilnya?Ramai orang orang Cina di Kelantan yang bergaul dengan orang melayu suka juga menyebut Lailaha ilallah ketika melatah walaupun pelat sebutannya.

Tian Chua sejak sepuluh tanun lalu telah biasa memberi salam di awal ucapannya. Bala Subramaniam di Pahang pula sudah pandai menyebut Alhamdulillah dan selawat ke atas Rasulullah di awal ucapannya. Gobala pun selalu baca 'Wama karu wama karallah'. Kenapa tak dengarpun komen pemimpin Umno dan profesor kangkung sebelum ini?

Ya, kerana yang baca tu DAP! Itu saja sebenarnya. DAP yang dimomokkan Umno selamanya sebagai chauvanis, komunis, anti Islam dan berbagai label lagi. Maka jangan biarkan DAP itu dilihat baik pada pandangan rakyat.Biar ianya terus nampak bahaya walaupun baca Quran.

Umno tak pernah peduli pulak dengan gelagat penceramah penceramahnya dan beberapa kerat pemimpin Umno yang pernah menggunakan ayat Quran dan Hadis untuk mempertahankan kezaliman dan penyelewengan.

Di zaman PAS dipimpin Dato Asri,ada pemimpin Umno berceramah membaca Surah Al Asr dengan menterjemahkannya, "Demi Dato Asri, sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan orang orang Umno dan orang orang yang beramal soleh".

Penceramah Umno juga selalu membaca ayat Athi u'llah wa athi ur rasul wa ulil amriminkum dengan tujuan mengajak rakyat taat kepada pemimpin umno /BN. Mereka juga membaca Wa'tasimubihablillahi jami a, wa la tafarraku, jangan berpecah belah, duduk dalam Umno semuanya.

Ada juga yang tak betul sebutannya, Amal maaruf Mungkar nankir!!! bukannya nahi mungkar. Ada juga yang kita dengar, mengakhiri ceramah dengan Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun!!! bukannya wabillahi taufiq...

Banyaklah kalau saya nak senaraikan. Tapi itu Umno. Umno tak salah, dia maksum. DAP saja yang salah.

Sebenarnya yang lebih jelas lagi, Umno cukup takut apabila orang bukan Islam cuba memahami Islam. Seandainya mereka faham, maka pendeklah umur Umno kerana tembelangnya pasti akan pecah.

Kepada mereka yang berkenaan eloklah renung surat terbuka dari TG Nik Aziz kepada pemimpin DAP itu di bawah ini.

- tukulbesi

13 Rabiul Akhir 1430

9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS


PASCA BUKIT GANTANG : Zambry diseru letak jawatan


Menteri Besar Haram BN Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir diminta menerima hakikat bahawa rakyat Perak tidak mahu beliau terus 'berdiri terpacak' sebagai menteri besar negeri itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam satu surat terbuka kepada beliau memohon beliau kembali kepada rakyat.

"Walaupun sudah terlajak, ia masih boleh dibetulkan jika kehormatan politik dan maruah diri masih utuh dan tinggi," tulis Husam dalam suratnya kepada Zambry yang salinannya dihantar kepada Siasah hari ini.

"Masihkah mampu YB berdiri tercacak sebagai‘Menteri Besar Perak sedangkan pilihan rakyat adalah lain dan rakyat Perak melalui pengundi Bukit Gantang telahpun menjatuhkan penghakiman mereka?" tanya Husam.

Berikut adalah surat penuh Husam itu.

YB Datuk Zambry Abdul Kadir,
ADUN Pangkor, Perak Darul Redwan.

Assalamualaikum wr wt.

PEMBUBARAN DUN PERAK

Salam, dengan iringan YB dalam keadaan sehat sejahtera. Kelancaran Pentadbiran Negeri Perak dan kestabilan politik yang membolehkan urusan kebajikan rakyat dikendalikan dengan baik terganggu apabila kuasa Kerajaan Negeri Perak dirampas dengan membelakangkan pilihan rakyat.

YB terlibat sebagai watak utama apabila bersetuju menerima jawatan MB sekalipun MB yang sah tidak pernah dalam apa jua cara mengosongkan kerusinya. Atas takdir Allah, berlaku kekosongan kerusi di Perak berikutan kematian YB ADR Bukit Gantang di mana satu dari ADUN yang telah berpaling tadah ada di situ, iaitu DUN Cangkat Jering.

Seperti YB ikuti, calon BN telah tewas dengan majority yang lebih besar dari pilihanraya umum 2008, sekalipun gambar YB sebagai ‘Menteri Besa’ tersenyum lebar dan terpampang di mana-mana. Kemenangan YAB Datuk Sri Nizar telah membuktikan segala-galanya.

Rakyat Perak tidak boleh menerima kerajaan haram yang membelakangkan pilihan rakyat. Apa lagi semua dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat telah diteruskan tanpa satu pun dirombak walaupun UMNO mendakwa dasar-dasar itu merugikan Melayu, termasuk dasar pemberian milik tanah yang telah terbengkalai puluhan tahun semasa BN mentadbir Perak.

Saya suka memetik pendapat Dr. Wee Ka Siong, Dr. Cheah Soon Hai, Pengerusi Gerakan Kedah dan Encik Ismail Saffian, bekas calon BN di Bukit Gantang sendiri, yang disiarkan dalam akhbar The Star, muka surat N4 hari ini: bahawa punca kekalahan BN bukan sahaja di Bukit Gantang, malah juga di Bukit Selambau ialah peristiwa perampasan kuasa Kerajaan Perak.

Jika calon BN sendiri, seorang ahli UMNO, boleh mengakui hakikat ini, di manakah YB hendak letakkan muka? Ia bukan sahaja menyebabkan BN kalah di Bukit Gantang, tetapi kesan negatifnya sampai ke Kedah. Selain calon, rakan-rakan parti komponen YB juga secara terbuka menyalahkan tindakan berkenaan. Kalau sudah ahli dan rakan sendiri menyalahkan YB dan parti YB, tentulah rakyat yang telah membuat pilihan mereka merasa terkilan berlebih lagi.

Apa lagi yang boleh menghalang naluri murni YB tidak tersentuh dan deria maruah YB tidak terpanggil? Masihkah mampu YB berdiri tercacak sebagai ‘Menteri Besar Perak’ sedangkan pilihan rakyat adalah lain dan rakyat Perak melalui pengundi Bukit Gantang telahpun menjatuhkan penghakiman mereka?

Kembalikanlah kepada rakyat. Walaupun sudah terlajak, ia masih boleh dibetulkan jika kehormatan politik dan maruah diri masih utuh dan tinggi.

Salam

Husam Musa
Naib Presiden PAS
13 Rabi’ul Akhir 1430/ 9 April 2009


-siasahdaily

PASCA BUKIT GANTANG : Kemenangan calon PR ‘basuh’ maruah Malaysia - Video

Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau sebagai mampu membasuh maruah Malaysia yang telah tercalar teruk di luar negara.

“Saya nak sebut sekali lagi, kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat kali ini, rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat dan Pas telah berjaya membasuh maruah Malaysia yang telah tercalar teruk di luar negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, kemenangan itu membuktikan bahawa Pas kini bukan sahaja diterima oleh orang Islam tetapi juga bukan Islam.

“Saya rasa kagum dengan hilangnya sifat fobia di kalangan bukan Islam yang digembar-gemburkan oleh pihak BN sebelum ini. Orang Cina dan India tidak berasa gerun dengan sebutan Islam. Satu kejayaan yang sangat-sangat saya hargai kepada pengundi bukan Islam.

“Kemenangan kami baik di Kedah mahupun di Perak bukan kerana undi projek. Saya sendiri tak pernah sebut fasal projek baik di Kelantan. Saya sendiri tidak pernah dengar calon kita sebut fasal projek. Kita sebut masalah keadilan, keselamatan dan keamanan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kemenangan Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang kelmarin disumbang oleh undi simpati kepada calon parti itu.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi itu menunjukkan Pas dan Pakatan Rakyat telah berganjak ke depan. Mereka telah mual dengan projek, mual dengan kekerasan seperti ISA dan bermacam-macam-macam akta lagi. Mereka sudah mual,” katanya ketika ditanya sama ada pengundi memberikan undi kasihan kepada calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang sebelum ini terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar Perak setelah kerajaan pakatan Pas, DAP dan PKR di negeri itu tumbang.

Dalam pilihan raya kecil itu baru-baru ini, Mohammad Nizar menewaskan calon Barisan Nasional, Ismail Saffian dengan kelebihan 2,789 undi.

-sinarharian