8 Mac 2009

Martabatkan ketuanan rakyat tanpa mengira keturunan

KETUANAN RAKYAT..
Anwar ketika memberi Pidato Kebangsaan di Shah Alam petang tadi.
Gambar Yuis/Suara Keadilan


Masa sudah tiba untuk rakyat bangkit menghayati kembali erti perjuangan kemerdekaan yang bertunjangkan ketuanan rakyat dan menolak kepimpinan perasuah dan perompak harta benda.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketuanan rakyat akan membawa kepada demokrasi matang di bawah naungan raja beperlembagaan.

“Kita mahukan demokrasi yang matang, bukan demokrasi yang tempang, bukan demokrasi yang kakinya dipatahkan oleh mereka yang terus ingin berkuasa meskipun telah tidak lagi didukung oleh rakyat,” kata Anwar dalam Pidato Kebangsaan bertajuk “Ketuanan Rakyat” di Shah Alam sebentar tadi.

Lebih 1,000 pemimpin PKR, ketua masyarakat, dan wakil kedutaan asing hadir mendengar ucapan Anwar pada ulangtahun pertama pilihanraya umum ke 12.

Pilihanraya bersejarah itu menyaksikan gagasan Pakatan Rakyat yang merangkumi Keadilan, PAS dan DAP menamatkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen selain menubuhkan kerajaan di lima negeri.



Datuk Seri Anwar mengupas cabaran politik dan sosial, khususnya hubungan antara kaum yang terpaksa diharungi oleh rakyat dalam persekitaran kegawatan ekonomi yang membelit mereka dalam keperitan hidup harian.

“Di depan mata kita adalah krisis ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah bangsa kita,” kata Anwar. “Tetapi kita juga berdepan dengan rasuah, krisis undang-undang dan masalah hubungan kaum yang meruncing.”

Anwar berkata segala krisis itu hanya boleh diselesaikan oleh rakyat.

“Maka rakyat perlu perkasa dan berjiwa besar yang menuntut pengurusan bersih dari rasuah dan kezaliman; mampu menjana ekonomi dan perihatin dengan penderitaan rakyat.”

Merujuk kepada kegawatan ekonomi, Anwar berkata wujud kaitan jelas antara permasalahan ekonomi dengan pengurusan negara yang berpaksi kepada penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Beban rakyat bertambah akibat kebocoran atau ketirisan - kos air, elektrik dan tol meningkat,” kata Datuk Seri Anwar.

“Ini juga berpunca daripada kecurangan dan perjanjian memihak kepada pemodal dan membebankan rakyat samada konsesi tol lebuhraya atau janakuasa bebas (IPP)”.

Datuk Seri Anwar berkata BN sekian lama menangguk di atas keperitan rakyat miskin dengan memberikan sedikit bantuan yang hanya bertujuan mengetatkan kebergantungan rakyat terhadap bantuan remeh seumpama itu.

Pendekatan itu adalah politik murahan BN yang tidak berupaya melepaskan rakyat daripada putaran ganas kemiskinan dan oleh itu harus ditamatkan.

Sudah tiba masa untuk rakyat menuntut program bantuan lebih berkesan yang merentasi kaum, umpamanya kredit mikro untuk masyarakat Melayu, bumiputera dan rakyat miskin.

“Kita perlu melakukan anjakan dalam dasar pembangunan desa dan pendekatan baru dalam menangani kemiskinan bandar,” kata Datuk Seri Anwar. .

Mengenai hubungan antara kaum, Datuk Seri Anwar berkata ketuanan rakyat perlu ditegakkan di atas prinsip persaudaraan sesama manusia, tanpa mengira warna kulit, keturunan, agama dan kepercayaan.

Beliau berkata perbedaan pendapat akibat daripada perbezaan agama dan budaya harus dilihat dari sudut positif supaya tidak menjurus kepada konflik dan kekerasan.

Beliau berkata rakyat segenap lapisan harus menghantat mesej jelas menuntut UMNO berhenti menyebar fahaman melampaunya bahawa negara ini adalah milik satu kaum sahaja.

“Mereka sengaja memesongkan maksud sebenar falsafah negara kebangsaan itu demi kepentingan segelintir yang memerintah,” kata Datuk Seri Anwar.

Pemimpin BN memakai topeng nasionalis baru dan melalak isu perkauman secara sempit, semata-mata untuk mengaut keuntungan dan menzalimi rakyat, atas nama bangsa dan agama, kata Datuk Seri Anwar.

Datuk Seri Anwar berkata sudah tiba masa untuk menujukkan kepada rakyat apa yang menjadi pemisah antara kerajaan di dalam Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.

Beliau berkata rakyat, menerusi pilihanraya umum lalu, telah memberikan peluang jelas kepada Pakatan untuk mengotakan apa yang sering dilaungkan. .

“Kita menentang rasuah dan ketidakadilan. Kita menuntut agar kehakiman bebas, kita mahu pendidikan serta kebudayaan dimartabatkan. Kita mahu pengurusan ekonomi yang cekap, tadbir urus yang beramanah dan berwibawa, : kata Datuk Seri Anwar.

“Kita impikan sebuah negara yang makmur untuk semua,” tegasnya.

Beliau berkata adalah “wajib” untuk Pakatan Rakyat menunjukkan kewibawaannya kepada rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada gagasan itu.

Beliau berkata walaupun baru setahun jagung, Pakatan Rakyat sudah pun meletakkan asas-asas yang teguh membawa Agenda Ekonomi Malaysia di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah di samping meneruskan khidmat cemerlangnya di Kelantan.

“Iltizam kita untuk melaksana tata urus yang baik tidak boleh dinodai. Kita menyaksikan ianya dilaksanakan di negeri-negeri yang kita perintah. Kontrak diluluskan dengan lebih cekap dan telus. Tender adalah terbuka, cara memberi kontrak dalam gelap dan tempat ahli politik mengaut rasuah dari wang rakyat, sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintahan BN, telah berlalu,” katanya.

Hasil pemerintahan beramanah dan telus, kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah menjimatkan ratusan juta wang rakyat di samping memberi bantuan lebih besar kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana terutamanya kepada Bumiputera.

Meskipun ekonomi gawat, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Perak mencatat pelaburan tinggi manakala Kelantan mempunyai kadar rasuah dan kadar jenayah paling rendah.

Di Pulau Pinang pelaburan meningkat dua kali ganda dalam setahun, di Perak meningkat kepada RM 3.4 billion.

Pelaburan di Selangor mencacat tertinggi dalam 9 tahun, sebanyak RM 11.87 billion dan telah mewujudkan 30,000 pekerjaan baru untuk rakyat Malaysia.

Selangor dan Perak turut mengurangkan beban rakyat di zaman kemelesetan ini dengan mengurangkan bayaran bekalan air.

Manakala Kerajaan Perak telah memberikan geran tanah kepada keluarga-keluarga yang layak secara adil termasuk untuk Orang Asli, Melayu dan Cina.

Datuk Seri Anwar berkata Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat khususnya Selangor dan Kedah turut memberi tumpuan berat kepada pendidikan dengan menyediakan prasarana untuk sekolah semua kumpulan etnik.

Di Perak 1000 hektar tanah diberikan untuk sekolah agama rakyat dan sekolah jenis kebangsaan Cina.

Di peringkat Parlimen, Pakatan Rakyat akan “ melakukan apa saja...untuk memastikan persoalan rakyat didengar dan diselesaikan,” kata Datuk Seri Anwar.

“Kita telah berulang kali menyebutkan mutu pendidikan kita yang merosot, kos kesihatan yang meningkat, harga barang yang melambung tinggi dan pengurusan masalah yang tidak bersepadu dan pentadbiran yang kucar kacir,” kata beliau.

Datuk Seri Anwar mengakhiri ucapannya dengan menjanjikan perjuangan untuk menyerlahkan ketuanan rakyat supaya perubahan yang terlaksana, walaupun menerima tentangan, tekanan dan asakan hebat Barisan Nasional tidak luntur.

“Jalan yang kita tempuh ini belum lagi berani diteroka sebelumnya. Sejarah menjadi saksi betapa ianya jalan berliku; penuh dengan segala macam cabaran dan tantangan,” kata Datuk Seri Anwar.

“Kita mungkin diserang dari segala arah, wakil kita mungkin sahaja diculik, namun yakinlah, kita tidak mungkin hilang arah tuju.”

Berita : TVAntara
Illustrasi: Suara Keadilan
Berita Video : 7 Edition

Ulasan GB: Sekalipun GB bersetuju dengan banyak perkara yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar di dalam Pidato Kebangsaan sempena menyambut 1 Tahun Kemenangan Pakatan Rakyat, namun isu yang besar seperti rampasan kuasa kerajaan Perak tidak diberikan perhatian di dalam pidatonya. Jika ianya diulas di dalam Pidato Kebangsaan tersebut, ia sudah pasti menjadikan Pidato ini pidato yang terhebat.


Di antara Mereka Ada Persamaan

Kata seorang rakan di blognya:

ganas dan yang ganas
dimana mana pun sama
mengabdi kepada kuasa
yang ganas dan yang ganas
membawa kezaliman dimana mana
gerombolan zionis
zionis gerombolan
tidak ada beza bentuknya


PDRM dan Zionis, dimana bezanya?
Mungkin Musa Hassan boleh menjawabnya!






Pak Lah Sudah Hilang Kuasa Pada Najib

Sepertimana yang GB pernah katakan sebelum ini walaupun pelan peralihan kuasa hanya akan berlaku hujung bulan ini, tetapi yang nyata, kuasa sudah pun berada di tangan Najib.

Banyak keputusan-keputusan kritikal negra telah ditentukan oleh kabinet yang dipengerusikan oleh Najib. Keputusan menangguhkan kadar tol adalah contoh yang paling nyata.

Maka sebab itu menteri-menteri kabinet sudah mula meninggalkan arahan dan tidak lagi mendengar apa-apa pandangan Pak Lah.

Menteri Pelajaran Hishamuddin Hussein hari ini dengan terang-terang membelakangkan arahan Pak Lah yang meminta supaya isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diselesaikan segera bagi mengelakkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan.

Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diselesaikan segera bagi mengelakkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana terdapat desakan kuat terutama daripada orang Melayu mengenai isu tersebut dan satu keputusan segera mengenainya perlu dilakukan.

"Saya mahu isu ini diselesaikan segera dan jika dilengah-lengahkan, pelbagai tekanan dan tindakan akan dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyebabkan ia jadi lebih besar," tegasnya.

Tetapi pada hari ini Hishammuddin sebagai Menteri Pelajaran telah mengeluarkan kenyataan bahawa kajian tentang keberkesanan dasar PPSMI tidak akan dipercepatkan, sebaliknya akan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"Kita ikut jadual macam biasa kerana ia perlu melalui proses-proses tertentu," kata beliau pada sidang media khas di kediamannya di sini sebentar tadi.

Pak Lah sudah diketepikan. Tradisi UMNO banyak menyerlahkan pemimpin yang pergi akan mendapat penghinaan oleh pemimpin dan ahli UMNO yang datang. Bekas-bekas Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO akan terus mendapat penghinaan daripada generasi selepasnya.

Itu sememangnya telah menjadi budaya dan amalan UMNO turun menurun bermula dari Pengasas UMNO sendiri iaitu 'Hero orang Melayu' yang juga pengasas Umno, Dato’ Onn Jaafar telah KELUAR dari UMNO dan MATI di luar UMNO. Begitu juga dengan Tunku Abdul Rahman.

Nasib Tun Dr Mahathir selepas turun dari jawatan PM dan Presiden UMNO tidak segan silu diberikan pancutan air lada oleh ahli UMNO sendiri. Munkinkah perkara yang serupa mungkin bakal dirasai oleh juga oleh Pak lah?


ADUN Jelapang Sudah Berkereta Mercedes

ADUN Jelapang yang juga bekas Timbalan Spekaer DUN Perak yang melompat dari PKR menjadi wakil rakyat Bebas Hee Hee Yit Foong muncul di pusat khidmatnya petang samalam untuk menemui pengadu-pengadu berhubung masalah saliran.

Beliau tiba dengan suaminya dengan sebuah kereta Mercedes Benz dengan nombor pendaftaran Kuala Lumpur.

Akhbar MSTAR melaporkan pembantu khasnya yang baru dilantik, Sharifuddin Mohd Aminuddin berkata, Hee bagaimanapun terpaksa meninggalkan pusat berkenaan dengan segera 45 minit kemudian selepas sekumpulan orang awam datang menggangunya dengan kata-kata kesat.

Telah timbul tanda tanya dikalangan beberapa penduduk tempatan yang melihat kereta berkenaan yang diletakkan di hadapan pusat khidmat berkenaan.

Beberapa orang yang lalu di kawasan itu kemudiannya melihat kedalam pusat khidmat berkenaan melalui tingkap dan mengetahu bahawa Hee berada di dalamnya.

"Kemudiannya kira-kira sepuluh orang penduduk tempatan yang berada di kedai kopi bertentangan dengan pusat khidmat berkenaan mula melemparkan kata-kata kesat terhadapnya.

"Saya menasihatkan beliau supaya meninggalkan tempat itu dengan segera," katanya.

Katanya kumpulan berkenaan memanggil-manggil nama Hee dan kata-kata tidak baik seperti 'pengkhianat yang memusnahkan Pakatan,' dan 'wanita tidak mengenang budi.

Walaupun pembantu khasnya mengetahui status kereta Mercedes yang digunakan Hee, makluman yang diperolehi dari Jelapang menyatakan terdapat penduduk di situ yang agak terkejut dengan "kekayaan mengejut" ADUN berkenaan yang kini telah menggunakan kereta Mercedes.

"Ramai beranggapan mungkin ia dibeli oleh Hee dengan wang yang diperolehi dari Najib ekoran melompat parti yang kita pasti ia satu jumlah yang besar, jutaan ringgit," kata sumber tersebut yang merujuk kepada aduan dan akuan bersumpah beberapa ADUN yang telah ditawarkan sehingga RM20 juta supaya melompat parti untuk Najib menjayakan misinya menawan Perak.

Walaupun Najib pernah menafikan pernah menyogok wang, tetapi di dalam hal ini beliau belum bersumpah dengan ayat Quran sepertimana beraninya beliau melakukannya di dalam kes Altantuya.

Sebelum ini kami melaporkan bahawa pemilik kedai tempat Hee menyewa, yang hanya dikenali sebagai Mani, menamatkan kontrak penyewaannya dengan ADUN berkenaan.

Beliau telah dilaporkan berkata: “Hee, tolong turunkan papantanda dan keluarkan barang-barang anda. Saya tak mahu sewakan premis ini kepada anda lagi.

“Kebelakangan ini, ramai penduduk yang datang bertanya kepada saya untuk bertanya di aman anda berada. Saya rasa tak berapa senang. Itu salah satu sebab saya bercadang tidak mahu menyewakan premis ini kepadanya lagi,” tambah beliau.

Nizar dan ADUN PR Tanam Pokok Demokrasi

Pakatan rakyat hari ini telah menyempurnakan satu majlis memperingati peristiwa bersejarah 3 Mac 2009 dimana persidangan tergempar DUN Perak telah diadakan bawah sebatang pokok hujan-hujan di luar perkarangan bangunan Negeri Datul-Ridwan.

Berkumpul pada jam 10 pagi, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, yang telah menerima kepercayaan sebagai menteri besar sewaktu "sidang di bawah pokok," pada hari ini bersama-sama ADUN Pakatan Rakyat menyempurnakan acara penamanan "Pokok Demokrasi" yang turut dihadiri oleh YB Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Upacara pagi tadi juga menyaksikan penanaman 5 batang anak pokok, sebagai simbol 5 prinsip Pakatan Rakyat - keadilan, ketelurusan, beramanah, berkebajikan dan berintegriti.

Semalam, seorang ahli exco PR, Nga Kor Ming, telah menyatakan bahawa upacara ini adalah penting kerana ia merupakan satu "Magna Carta" Perak yang merujuk kepada Undang-undang Perlembagaan.

Upacara tersebut juga diadakan sempena meraikan sambutan setahun kejayaan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu apabila Datuk Seri Anwar dijadualkan berucap di hadapan penyokong Pakatan Rakyat di Wisma MBSA, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan jam 4.30 petang ini.

Sebuah plak telah diletakkan dibawahnya sebagai kenang-kenangan peristiwa 3 Mac, "Tugu ini adalah sebagai memperingati persidangan yang telah diadakan di bawah pokok ini pada Mac 3, 2009."

Ia sebagai satu tanda bahawa Pakatan Rakyat telah mengamalkan demokrasi yang telah dirompak oleh Umno dan Barisan Nasional.

Nizar berkata, mercutanda ini juga akan menjadi "tarikan pelancong," yang sama-sama kita saksikan sejak lima hari yang lalu, ramai pengunjung dalam dan luar negara berteduh di bawah pokok berkenaan untuk bergambar kenang-kenangan.

Beliau berkata anak pokok itu ditanam sebagai simbolik demokrasi yang ingin ditunjukkan kepada rakyat negeri itu.

"Jika dilihat dari sudut sejarah peristiwa ini menyamai Perjanjian Hudaibiyah antara kerajaan Islam Madinah dengan kerajaan Quraisy di Mekah," katanya pada siang media selepas acara itu, hari ini.

Nizar juga memberitahu pemberita yang beliau akan menghantar surat ke pihak Istana pada hari Selasa untuk memaklumkan kepada Sultan berhubung dengan tiga usul yang telah diluluskan - iaitu beliau telah mendapat kepercayaan sebagai menteri besar, pembubaran dewan undangan negeri dan mengesahkan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk menggantung Datuk Zambry Abd Kadir bersama enam exco yang lain dari menghadiri sidang.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata pihaknya berharap Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak akan membuang tugu berkenaan serta mencabut pokok terbabit.

Mereka yang hadir menyaksikan upacara gemilang pagi ini kelihatan ceria dan berbangga dengan pendirian tegas kerajaan Pakatan Rakyat bahawa mereka adalah kerajaan yang sah dan mereka sentiasa memberikan sorakan kepada pemimpin PR di sepanjang upacara gemilang yang berlansung kira-kira 45-minit itu.

8 Mac - Setelah Setahun Berlalu. Quo Vadis BN?

8 Mac 2008 - Itulah tarikhnya. Tarikh dimana Pilihan Raya Umum 2008 menyaksikan satu gelombang tsunami politik melanda negara apabila Barisan Alternatif (yang kmudiannya dinamakan Pakatan Rakyat) menang 82 kerusi Parlimen dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23).

BN yang merangkumi 14 parti komponen mendapat 140 kerusi tetapi sebahagian besar kerusi dimenangi BN adalah di Sarawak (30), Sabah (24) dan Johor (25) iaitu sebanyak 79 kerusi atau 56.4 peratus dan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dikuasai pembangkang. Di lima negeri itu, calon BN sama ada daripada Umno, MCA, MIC atau Gerakan, kalah teruk. Yang paling mengejutkan ialah kejatuhan Perak dan Selangor kepada Pakatan Rakyat, manakala Pulau Pinang dan Kelantan tidak begitu mengejutkan kerana ada pihak meramalkan bahawa ini akan berlaku.

Negeri yang masih dikuasai BN seperti Johor, Negeri Sembilan dan Pahang juga menunjukkan pengaruh sokongan kepada BN semakin menurun. Pas pula mula menapak di Johor dan Negeri Sembilan. Secara keseluruhannya, jumlah undi diperoleh Pas meningkat di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Pencapaian BN dalam pilihan raya kali ini adalah yang terburuk pernah dicapai iaitu 140 kerusi atau 63.1 peratus daripada 222 semua kerusi Parlimen. Pencapaian itu lebih teruk berbanding pilihan raya 1969 (66 peratus), 1990 (70.5 peratus) dan juga 1999 (76.68 peratus).

Kegagalan sebahagian besar parti komponen Barisan Nasional (BN) mengambil perhatian terhadap kuasa rakyat ini menjadi punca kekalahan paling teruk bagi gabungan itu sejak negara mencapai kemerdekaan. Kuasa rakyat tidak mengenal falsafah politik, parti, agama, bangsa atau kaum, sebaliknya isu berkepentingan bersama seperti kezaliman polis, sistem kehakiman yang berat sebelah, rasuah di kalangan pemimpin BN, konspirasi SPR, dasar pemberitaan dan kewartawanan longkang media massa arus perdana telah menyatukan serta memberi kekuatan kepada Pakatan Rakyat.

Barisan Nasional itu adalah tidak lebih dari satu bangku berkaki tiga. UMNO yang kini berkeceramuk dan bercelaru selama ini didokong oleh tiga parti utama MCA, MIC dan Gerakan.

Kini ketiga-tiga kaki utama bangku itu telah patah.

Yang paling teruk ialah Gerakan. Gerakan hanya menang dua daripada 12 kerusi Parlimen dan lima daripada 31 kerusi DUN, tetapi kekalahan paling perit yang sukar diterima ialah kehilangan Pulau Pinang yang selama ini adalah pangkalan aktiviti politik parti itu. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon,yang menjadi Ketua Menteri sebelumnya, tersungkur di tangan bekas pensyarah dari DAP, Prof Dr P Ramasamy di kerusi Parlimen Batu Kawan.

Penganalisis politik meramalkan Gerakan akan terus perlahan-lahan padam dari pentas politik negara.

Nasib MIC boleh dikatakan lebih mengaibkan kerana hanya mampu mengekalkan tiga daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding kemenangan 100 peratus pada Pilihan Raya Umum 2004.

Samy Vellu menerima penghinaan apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak 1974, manakala timbalannya dalam MIC, Datuk G Palanivel kecundang di Parlimen Hulu Selangor selepas tiga penggal menjadi wakil rakyat di situ.

Naib Presiden, Datuk S Sothinathan (Parlimen Teluk Kemang), Ketua Pemuda MIC, SA Vigneswaran (Parlimen Kota Raja) dan Ketua Wanita MIC, Datin Paduka P Komala Devi (Parlimen Kapar) turut gagal mempertahankan kerusi yang disandang.

Seorang lagi Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, yang berpindah dari Parlimen Tapah ke Dewan DUN Sungkai, tewas kepada A Sivanesan (DAP).

Laungan 'Makkal Sakthi' (kuasa rakyat) yang sedikit sebanyak menjadi punca kekalahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput, sekali gus menamatkan riwayat politik selama 34 tahun, sudah tentu menjadi igauan ngeri beliau sepanjang hayat. Dan sikap kerajaan yang menahan anggota Hindraf di bawah ISA dilihat penyumbang terbesar kepada faktor peralihana sokongan masyarakat India kepada Pakatan Rakyat.

MCA sebagai parti komponen BN kedua terbesar menderita kekalahan terburuk sejak 1969 apabila hanya memperoleh 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandingi di seluruh negara dan kalah banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, dalam ulasannya selepas kekalahan parti itu sendiri tidak menjangka keputusan pilihan raya umum menjadi begitu. Dengan kesederhanaan dan kejayaan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Lim Guan Eng dan perubahan gaya perjuangan yang ditunjukkan oleh DAP yang sedia menerima PAS sebagai rakan seperjuangan mereka diimbangi dengan kesederhanaan calon PKR ditokok pula dengan perpecahan kepimpinan yang melanda MCA kini, rasanya masa depan parti bagi masyarakat kaum Cina sudah beralih kepada DAP dan PKR.

Apa lagi yang tinggal apabila ketiga-tiga kaki bangku ini telah patah? UMNO kini hanya menumpang nyawa dari parti-parti komponen dari Sabah dan Sarawak. Tanpa mereka UMNO sudah terjelepok jatuh ke lantai.

Malah dunia pun tahu bahawa UMNO itu sendiri sudah disalak dan diherdik secara terbuka oleh pemimpin-pemimpin MCA, MIC dan Gerakan.

Dan UMNO membuat kesilapan yang terbesar kini iaitu melakukan rampasan kuasa di Perak. Ia telah memberikan impak negatif walaupun pelbagai kewajaran dilakukan untuk "menghalalkan" rampasan itu. Ia persis menempah kerandanya sendiri apabila bertindak seperti orang yang mabuk dan tamak kuasa.

Ramai penganalis politik berpendapat dengan segala macam penyelewengan dan perkosaan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN terhadap institusi-institusi terutamanya SPR, Polis, Badan Kehakiman yang dikuasai oleh Peguam Negara dan SPRM dengan lembu-lembunya akan lebih mempercepatkan UMNO ditalqinkan.

Disaat dunia sedang membicarakan proses globalisasi - dunia tanpa sempadan ditambah pula slogan "perubahan" yang mendominasikan arus politik dunia kini akan hanya menghantarkan media arus perdana yang masih cuba mempertahankan satus quo ke lembah kegagalan dan kemusnahan.

Mengulangi kata-kata TG Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan sebelum ini : "Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti."

Batang Ai - Harapan Baru Untuk Pakatan Rakyat

Seorang penganalisis politik tempatan menyatakan calon Pakatan Rakyat mampu untuk memberikan kejutan di dalam pilihan raya kecil Batang Ai.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, para pengundi di kawasan yang mempunyai 95 peratus pengundi Iban itu akan menggunakan proses pilihan raya sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan.

“Di Batang Ai isu berkenaan boleh meletup apatah lagi apabila penduduk di kawasan terlibat dengan pemindahan empangan hidro pada suatu ketika dahulu masih lagi mengharapkan kerajaan memberikan tanah kepada mereka untuk aktiviti pertanian mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sepertimana pilihan raya-pilihan raya yang lepas menurut beliau, isu tanah tetap akan menjadi isu.

“Ini kerana isu tersebut sangat dekat dengan hati rakyat (permasalahan yang dihadapi umum terutama pemilik tanah NCR).

“Tanpa penjelasan dan pengurusan isu dengan baik, pengundi-pengundi akan marah kepada calon BN dan membuat undi protes,” katanya.

Bagi penduduk luar bandar isu tanah adalah menyentuh hak milik NCR, manakala di bandar para pemilik hartanah sensitif tentang soal pembaharuan hak milik dan pembayaran premium.

“Jelas bahawa tidak kira di mana jua dan apa sahaja bangsa seseorang itu isu tanah sememangnya dekat dengan hati,” katanya.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuching Dominique Ng ketika dihubungi mengesahkan isu tanah NCR memang agenda kempen utama PKR.

‘Umpan’ PKR untuk memenangi hati para pengundi juga bersandar kepada kekurangan pelaksanaan projek-projek pembangunan di Batang Ai, kata Dominique yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan.

Mengenai calon, beliau memberitahu senarai calon telah dikenal pasti dan yakin pucuk pimpinan PKR akan mencapai kesepakatan dalam memilih calon yang benar-benar layak.

Dua nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon PKR ialah Ketua Penaja PKR Batang Ai Nicholas Bawin atau bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang.

Bawin bukan orang baru bagi penduduk Batang Ai.

Mendiang Dublin menjadi wakil rakyat di Batang Ai selama empat penggal sejak 1991.

Pada pilihan raya negeri 2006, Dublin menewaskan calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Nicholas Bawin Anggat dengan majoriti 806 undi.

Setakat September 2008, Batang Ai mempunyai pemilih berdaftar seramai 8,061 dengan 93 peratus adalah Iban.

Pegelutan untuk menguasai pengundi-pengundi bagi setiap Petiundi dijangkakan sengit. Berikut ialah bilangan pengundi mengikut Petiundi.

* Sebangki 478
* L. Antu 1763
* Sekarok 326
* Kesit 1675
* Engkari 100
* Delok 195
* Kaong 383
* Empit 430
* Kumpang 157
* Klampu 388
* Sayat 338
* Kutai 637
* Mepi 427
* Jela 436
* Sempang 123
* Bertik 192
* Mong 144
* Ensawang 568
* Kachong 234
* Patoh 121
* Bilararap 196
* Sepaya 286
* Gugu 284
* Menyang 76

Bilangan tersebut di atas untuk memudahkan strategi bagi mereka yang terlibat untuk untuk mencari bilangan pengundi yang mampu dipujuk untuk menyokong Pakatan Rakyat

Berikut pula ialah pecahan pengundi Batang Ai. Ralat kesilapan ialah dalam lingkungan 5%.

Umur %
21 -30 8.5%
31 -40 24.1%
41 -50 25.1%
51 -60 18.8%
61 -70 12.6%
70 ke atas 10.7%

Dari pecahan pengundi di atas di lihat mereka yang berumur 50 tahun ke atas membentuk lebih 40% jumlah pengundi dan di Batang Ai ini pengundi yang berumur bawah 30 tahun hanyalah dalam lingkungan 8.5%.

Fenomena ini perlu mendapat perhatian kepada Pakatan Rakyat kerana struktur umur di Batang Ai nampaknya mempunyai perbezaan yang ketara dengan struktur umur mana-mana kawasan pilihanraya di Semenanjung.

Himpunan Bantah PPSMI - Polis Bertindak Liar

Polis dilaporkan telah bertindak liar melepaskan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air bercampur kimia untuk menyuraikan peserta yang berhimpun untuk menyerahkan memorandum bantahan perlaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara.

Dalam kejadian kira-kira 2.10 petang tadi, lebih 40 tembakan gas pemedih mata dilepaskan ke atas kumpulan itu yang cuba bergerak ke Istana Negara.

Polis turut membuat pancutan air bercampur kimia ke atas orang ramai yang masih berkumpul di perkarangan Masjid Negara, sehingga melimpah masuk ke dalam kawasan masjid.

Perhimpunan sejak jam 10 pagi tadi, menjadi tegang apabila sekumpulan lebih 1,000 orang penentang dasar itu berjaya melepasi sekatan polis dan bergerak melalui jejantas depan masjid menuju ke Kampung Attap, dekat istana.

Polis kemudian bertindak melepaskan gas pemedih mata ke atas kumpulan terbabit untuk menyuraikan mereka namun, mereka berpecah kepada dua kumpulan dan meneruskan perarakan ke istana.

Tembakan gas pemedih mata juga kelihatan di lebuh raya tersebut, dekat jejantas di atas Jalan Syed Putra.

Suasana menjadi kelam-kabut apabila orang ramai yang berpakaian putih sebagai lambang membantah PPSMI, bertempiaran lari. Polis turut membuat beberapa tangkapan, tetapi jumlah mereka tidak dapat dikenalpasti.

Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan peserta perhimpunan menentang PPSMI terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju Istana Negara.

Mereka bersurai seketika tetapi sebahagian kecil terus berdegil dan cuba berarak semula ke Istana Negara. Mereka terus dihalang dan akhirnya bersurai.

Dalam pada itu, polis anti-rusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan menuju Mahkamah Syariah dari arah Jalan Syed Putra. Pancutan air juga dibuat ke atas peserta demonstrasi yang cuba bergerak kembali ke Masjid Negara.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang selepas memorandum bantahan dasar itu disampaikan oleh Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk A Samad Said dan pengerusinya, Datuk Dr Hassan Ahmad kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Polis membuka semula laluan di Lebuhraya Mahameru dari kedua-dua arah yang ditutup bagi menghadapi sebarang kemungkinan kehadiran peserta perhimpunan tersebut.

Perhimpunan membantah dasar itu dibenarkan oleh pihak polis di buat di perkarangan Masjid Negara, tetapi polis melarang sebarang perarakan ke istana dan juga perhimpunan di dua lagi lokasi yang dirancang, iaitu Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo.

Demonstrasi anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu turut disertai beberapa pemimpin pakatan rakyat, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.