8 Mac 2009

Himpunan Bantah PPSMI - Polis Bertindak Liar

Polis dilaporkan telah bertindak liar melepaskan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air bercampur kimia untuk menyuraikan peserta yang berhimpun untuk menyerahkan memorandum bantahan perlaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara.

Dalam kejadian kira-kira 2.10 petang tadi, lebih 40 tembakan gas pemedih mata dilepaskan ke atas kumpulan itu yang cuba bergerak ke Istana Negara.

Polis turut membuat pancutan air bercampur kimia ke atas orang ramai yang masih berkumpul di perkarangan Masjid Negara, sehingga melimpah masuk ke dalam kawasan masjid.

Perhimpunan sejak jam 10 pagi tadi, menjadi tegang apabila sekumpulan lebih 1,000 orang penentang dasar itu berjaya melepasi sekatan polis dan bergerak melalui jejantas depan masjid menuju ke Kampung Attap, dekat istana.

Polis kemudian bertindak melepaskan gas pemedih mata ke atas kumpulan terbabit untuk menyuraikan mereka namun, mereka berpecah kepada dua kumpulan dan meneruskan perarakan ke istana.

Tembakan gas pemedih mata juga kelihatan di lebuh raya tersebut, dekat jejantas di atas Jalan Syed Putra.

Suasana menjadi kelam-kabut apabila orang ramai yang berpakaian putih sebagai lambang membantah PPSMI, bertempiaran lari. Polis turut membuat beberapa tangkapan, tetapi jumlah mereka tidak dapat dikenalpasti.

Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan peserta perhimpunan menentang PPSMI terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju Istana Negara.

Mereka bersurai seketika tetapi sebahagian kecil terus berdegil dan cuba berarak semula ke Istana Negara. Mereka terus dihalang dan akhirnya bersurai.

Dalam pada itu, polis anti-rusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan menuju Mahkamah Syariah dari arah Jalan Syed Putra. Pancutan air juga dibuat ke atas peserta demonstrasi yang cuba bergerak kembali ke Masjid Negara.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang selepas memorandum bantahan dasar itu disampaikan oleh Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk A Samad Said dan pengerusinya, Datuk Dr Hassan Ahmad kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Polis membuka semula laluan di Lebuhraya Mahameru dari kedua-dua arah yang ditutup bagi menghadapi sebarang kemungkinan kehadiran peserta perhimpunan tersebut.

Perhimpunan membantah dasar itu dibenarkan oleh pihak polis di buat di perkarangan Masjid Negara, tetapi polis melarang sebarang perarakan ke istana dan juga perhimpunan di dua lagi lokasi yang dirancang, iaitu Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo.

Demonstrasi anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu turut disertai beberapa pemimpin pakatan rakyat, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


1 ulasan:

  1. ada nampak mukhriz anak mahafiraun ? khairy menantu badawi ada datang tak ? wak toyo ?

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.