17 Nov 2009

Era Najib Altantuya : PAS Bertanding Di DUN Kota Siputeh

Pakatan Rakyat hari ini menyatakan kesediannya bagi menghadapi pilihan raya kecil di dewan undangan negeri Kota Siputeh setelah Mahkamah Tinggi Kuala lumpur semalam mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong.

Gagasan berkenaan hari ini mengumumkan calon dari parti Pas bakal bertanding bagi merebut kerusi tersebut sebagai mengekalkan status quo dalam pilihan raya umum ke-12.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR dan DAP akan memberi sokongan yang padu kepada calon yang bakal ditentukan PAS.

“Bersetuju kita akan memberi sokongan kuat kepada calon PAS yang akan bertanding bagi pihak Pakatan Rakyat di Kota Siputeh. Dan PAS memaklumkan mereka telah siap sedia dengan jentera. Keadilan dan DAP juga memberikan sokongan yang padu” katanya padang sidang mediannya.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin semalam memutuskan bahawa kerusi Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Malah Alizatul menyifatkan tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak rasional.

Sementara itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam satu sidang media di lobi parlimen berkata, PAS akan menggunakan seluruh kekuatan jentera parti untuk menawan Kota Siputeh.

“Mengenai Kota Siputeh, kita daripada PAS kita bersedia untuk menggerakkan jentera kita pada bila-bila masa dan kita menunggu arahan dan keputusan daripada pihak mahkamah,"katanya.

Salahuddin berkata selain mengekalkan status quo, keputusan yang diambil juga dinilai dari semangat setiakawan dalam gagasan berkenaan.

“Walau macamanapun secara prinsipnya, setiap keputusan yang akan kita buat, seperti perkara-perkara yang sebesar begini, kita mengambil semangat setiakawan kita dalam Pakatan Rakyat,"katanya.

Kenyakinan itu turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

“Pakatan sentiasa on call dalam menghadapi pilihanraya kecil atau pilihanraya umum. Walaupun kita berhadapan dengan kekalahan di DUN Bagan Pinang, itu hanya permasalahan yang terpencil di mana saya sendiri telah menduga itu yang akan kita hadapi,"katanya.

Ditanya sama ada PAS bersedia berhadapan dengan kubu kuat BN itu, Mahfuz berkata, kemenangan akan memberikan lonjakan besar kepada Pakatan Rakyat pada jangka masa yang panjang.

“Kalau kita memenangi kawasan yang diwakili oleh BN, itu akan memberikan lonjakan kepada kita," katanya. -TVS



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.