20 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Keputusan Mahkamah Bangkit Kesedaran Rakyat

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah menyambut baik keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam.

Menurutnya, keputusan berkenaan sekali gus merupakan satu titik tolak kepada kesedaran rakyat dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat.

“Saya rasa lega hakim memutuskan SPRM tidak ada hak menyoal siasat selepas waktu pejabat.

“Keputusan mahkamah semalam adalah untuk kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi semalam mengisytiharkan penahanannya oleh SPRM lebih dari waktu pejabat iaitu 15 Julai jam 9.45 pagi hingga jam 2.53 pagi keesokan harinya adalah salah.

Mahkamah juga memutuskan SPRM tidak boleh lagi menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat seperti yang diamalkan sebelum ini.

Keputusan itu dibuat berikutan pendedahan mendiang Teoh Beng Hock disoal siasat sepanjang malam sehingga awal pagi sebelum di jumpai mati di perkarangan ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam 16 Julai lalu.

Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof dalam penghakiman bersejarah itu berkata, tindakan menahan seorang saksi untuk disoal siasat menjangkaui waktu pejabat adalah satu penahanan secara salah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu Boon Wah berhak menerima ganti rugi terhadap penahanannya itu.

Mengulas mengenai ganti rugi yang bakal diterinya, Boon Wah berkata ia bukanlah tujuan utamanya untuk memfailkan pemula berkenaan, sebaliknya mahu perkara yang berlaku ke atasnya tidak berulang kepada mana-mana pihak.

“Sebab saya memfailkan kes ini adalah bertujuan untuk mengelakkan perkara disoal siasat pada waktu malam tidak akan berlaku lagi.

“Pada masa saya disoal siasat pada tengah malam 15 hingga 16 Julai sehingga jam 2 lebih, saya rasa tindakan berkenaan seperti melanggar hak asasi manusia kerana saya rasa mereka tidak layan saya seperti seorang manusia,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dirinya yang berhak menerima ganti rugi, Boon Wah berkata perkara itu tidak menjadi keutamaannya sebaliknya menyerahkan kepada pihak terlibat.

Katanya gangti rugi yang diberi tidak akan dapat menebus tekanan yang ditanggung sewaktu disoal siasat SPRM dalam masa yang panjang melebihi waktu pejabat. -TVS


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.