17 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Badrul Tiba-tiba Bersuara Dalam Dewan

Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah akhirnya bersuara dalam Sidang Dewan Negeri hari ini apabila mengemukakan satu soalan lisan mengenai penyediaan perkhidmatan internet tanpa wayar di kawasannya.

Bagaimanapun, tanpa di jawab, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail menemplak Badrul kerana tindakannya yang baru menunjukkan muka selepas hampir 20 bulan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di Pelabuhan Klang.

Badrul turut memohon agar Pelabuhan Klang diberi keutamaan dalam penyediaan perkhidmatan Hybrid Wireless Infrastructure Network (HyWIN).

Rodziah berkata, beliau tidak akan menjawab soalan berkenaan kerana ia tiada kaitan dengan penyediaan perkhidmatan berkenaan dan menerangkan pelaksanaan projek tersebut harus mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"Penyediaan infrastruktur Hybrid Wireless Infrastructure Network (HyWIN) di seluruh kawasan Majlis Perbandaran Klang (Pelabuhan Klang) masih didalam peringkat perancangan Fasa II dan Fasa III dimana ia dijangka akan bermula pada awal atau pertengahan tahun 2011," katanya.

Rodziah berkata, kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan dua penyedia perkhidmatan internet tanpa wayar REDtone dan Packet One Networks untuk membangunkan infrastruktur berkenaan.

Sementara itu, bercakap kepada TvSelangor diluar dewan, Badrul bertegas soalan yang dikemukakan itu adalah untuk kepentingan rakyat di kawasannya.

Adun Pelabuhan itu turut menjelaskan bahawa penduduk kawasannya berhak diberi keutamaan kerana kawasannya itu merupakan salah satu sumber negeri Selangor.

"Saya bawa suara rakyat, rakyat kawasan Pelabuhan Klang dalam projek HyWIN dan banyak lagi," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan pembangunan Pelabuhan Klang beliau menjawab bahawa beliau bersedia berkhidmat dalam memenuhi kehendak rakyat.

"Saya nak berkhidmat untuk rakyat selagi ada hayat, kebanyakanya untuk rakyat. Saya tak suka aktiviti mewah-mewah ini, pesta-pesta saya tak suka," katanya.

Menurut Badrul lagi beliau akan segera membuka Pusat Khidmat Masyarakatnya di sekitar Pelabuhan Klang. -TVS



1 ulasan:

  1. Seorang kaki tidur yg sedang mengigau tiba2 terbangun seraya terus meracau tak tentu hala. Dalam kes ini meraban bertanyakan soalan yg biasa disebut sebagai 'soalan bodoh' yg terus dilibas oleh YB Rodziah. Nasib baik tak kena panggil "mangkuk'! Kepada MB (mangkuk berayun)Badrul, sambung balik tidur leee!!!!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.