23 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Sivakumar Dibenar Cabar SPR

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dan enam yang lain diberi kebenaran mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mengosongkan kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bagi mengadakan pilihan raya kecil.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Lau Bee Lan memutuskan demikian di kamar beliau hari ini selepas menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Bantahan tersebut ialah bahawa permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman itu merupakan suatu perkara yang sudah menjadi akademik berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lalu.

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Persekutuan memutuskan SPR merupakan entiti yang layak untuk memutuskan kekosongan sesebuah kerusi DUN dan bukannya Speaker DUN.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tersebut setelah ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) merujuk kes itu ke mahkamah tertinggi negara memandangkan ia melibatkan isu Perlembagaan.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Bee Lan menyatakan, Sivakumar dan enam yang lain mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mencabar keputusan tersebut.

Ekoran keputusan tersebut, peguam Ranjit Singh memberitahu pemberita, pihaknya akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu.

Pada 10 Mac lalu, Sivakumar bersama ADUN Sungkai, A. Sivanesan; ADUN Kuala Sepetang, Tai Sing Ng; ADUN Keranji, Chen Fok Chye dan tiga lagi individu memfailkan permohonan tersebut secara berasingan.

Mereka memohon mendapatkan perintah agar kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang diisytiharkan kosong untuk diadakan pilihan raya kecil.

Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Fong serta SPR dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat dalam permohonan itu.

Mereka turut memohon writ bersifat quo warranto (permohonan yang mencabar kesahihan pelantikan perjawatan) kepada ketiga-tiga ADUN itu untuk menjelaskan kuasa yang ada pada mereka dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebagai ADUN kawasan masing-masing.

Mereka juga memohon perintah deklarasi bahawa DUN-DUN tersebut telah kosong berikutan perletakan jawatan tiga ADUN serta perintah injunksi bagi menghalang responden pertama, kedua dan ketiga daripada menjalankan tugas sebagai ADUN.

Sementara bagi SPR pula, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan dan tindakan mereka yang gagal melaksanakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi DUN terbabit.

Turut dipohon ialah perintah mandamus (untuk memaksa) terhadap SPRM supaya mengadakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga DUN tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.