11 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Selangor Boleh Cabar ROS

Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memutuskan bahawa kerajaan Selangor dan sembilan pihak lain mempunyai locus standi untuk mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamd Ariff Md Yusof yang membuat keputusan itu di dalam kamar berkata 10 pihak yang membuat permohonan untuk mencabar keputusan ROS bukanlah penyibuk tetapi merupakan penyumbang untuk dana Balkis.

Peguam Derek J.Fernandez yang mewakili pemohon memberitahu pemberita hakim membenarkan permohonan kebenaran membuat semakan kehakiman berhubung keputusan ROS membubarkan badan kebajikan itu kerana ia juga melibatkan kepentingan awam.

Baru-baru ini, Balkis mendapat perhatian media tempatan selepas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa berlaku penyelewengan dana dalam persatuan itu.

Permohonan kebenaran itu difailkan kerajaan Selangor, isteri Abdul Khalid iaitu Puan Sri Salbiah Tunut, yang juga Yang Dipertua Balkis, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor dan lima lagi pihak untuk mengetepikan keputusan ROS.

Mereka menamakan ROS sebagai responden, memohon pengisytiharan bahawa keputusan ROS membubarkan Balkis adalah batal dan tidak sah dan perintah supaya badan itu dihidupkan semula.

Mahkamah menetapkan 16 Sept ini untuk keputusan samada permohonan pemohon bagi penangguhan keputusan ROS itu dibenarkan.

Pemohon juga diwakili peguam S.Selvarajah sementara responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari. -Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.