26 Sep 2009

Era Najib Altantuya : PR Sedia hadapi UMNO BN Di Bagan Pinang

Pakatan Rakyat bersedia menghadapi apa jua taktik politik yang dimainkan Umno Barisan Nasional dalam kempen Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang yang bakal bermula pada 3 Oktober depan.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar berkata Pas mengembleng segenap sumber dari peringkat akar umbi sehingga ke pucuk pimpinan negeri, dengan sokongan Kelab Penyokong Pas dan badan-badan bukan kerajaan.

“Kita mempersiapkan jentera dari peringkat akar umbi sampai ke peringkat negeri bersama dengan rakan PKR, DAP, Kelab Penyokong Kaum India dan NGO bersama untuk membantu kempen kita bagi memastikan kemenangan calon PR kali ini,” katanya.

Menurut Zulkefly, PKR Bagan Pinang akan menyaksikan pendekatan mendidik rakyat mengenai hak dan kuasa mereka memilih pemimpin yang berwibawa, bebas rasuah dan bertanggungjawab.

Pendidikan politik ini penting bagi menghadapi permainan retorik pembangunan Umno dalam setiap pilihanraya.

Zulkefly menambah pemberdayaan pengundi membuka mata masyarakat kepada manfaat sekiranya orang-ramai melantik pemimpin yang bersih, amanah dan bertanggungjawab.

“Kita tahu Umno penuh tipu muslihat. Masa pilihanraya mereka cuba buat baik, cuba hendak mengambil hati semua rakyat. Masa inilah dia nak bagi macam-macam kepada rakyat tetapi mereka tidak peduli langsung kehidupan rakyat sama ada orang Melayu, Cina atau India,” katanya.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya, Azman Mohammad Noor yang mewakili Barisan Nasional meninggal dunia pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Sementara itu Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata Umno Barisan Nasional akan membangkitkan isu pembangunan dalam usaha menarik sokongan rakyat.

Sehubungan itu katanya, PR akan mendedahkan kegagalan Umno-BN menjaga kedudukan Bagan Pinang dari destinasi ulung di Selatan Tanahair kepada pekan koboi yang tidak lagi dikenali.

“Ini akan memberi gambaran Bagan Pinang sendiri di bawah Barisan Nasional dan Umno tidak membawa pembangunan yang disebutkan, jadi apakah perubahan yang akan dibawa di sini? Saya fikir rakyat tidak akan lagi memberi kepercayaan,” katanya.

Dari segi persiapan awal, Kamarul berkata Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah menghadapi PRK pada kali ini kerana terdapatnya jentera yang mantap disamping kerjasama erat antara parti komponen Pakatan Rakyat

“Persiapan awal lancar kita hanya tunggu hari penamaan calon, organisasi jentera bergerak persiapan awal dari segi pentadbiran, kerjasama dengan Pas dan DAP bagus bersepakat dan sekarang kita bersedia dengan semangat,” katanya

Menurut Kamarul, PKR meletakkan sasaran mengurangkan majoriti Umno di peringkat Dewan Undangan Negeri. Beliau menambah Bagan Pinang adalah batu loncatan kepada operasi merampas Negeri Sembilan dari BN.

“Akan mengurangakan majoriti Barisan Nasional dan perbezaan hanya 2 atau 3 kerusi termasuk Speaker yang boleh menggugat kerajaan Barisan Nasional.

“Pertama kita mendekatkan jurang kurangkan majoriti Barisan Nasional Negeri Sembilan. Keduanya membuktikan pada rakyat Malaysia bahawa sokongan padu yang diberi rakyat kepada PR berterusan dan belum lagi luntur menunjukkan peningkatan memberi semangat kepada kita,” katanya.

Jentara parti DAP turut turun bagi memperkemas persiapan Pakatan Rakyat menghadapi PRK Bagan Pinang.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook berkata tinjauan awal mendapati Umno Barisan Nasional berada dalam keadaan yang amat tertekan.

“Saya rasa Umno lebih tertekan dari kita kerana mereka perlu menang di kawasan ini.Ini merupakan kubu kuat kepada mereka sekiranya mereka kalah ia bukan sahaja memberikan satu implikasi yang besar kepada Umno Negeri Sembilan tetapi Umno Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Siew Fook berkata undi pos merupakan cabaran hebat kepada Pakatan Rakyat memandangkan proses kawalan ketat undi berkenaan memaksa pengundi pos tidak dapat membuat pilihan secara bebas.

“Sama ada mereka boleh membuat satu pilihan secara bebas. Saya yakin kalau undi pos ini diberikan satu kebebasan kepada mereka untuk memilih saya yakin bahawa tentera pun ada ramai yang akan menyokong kita,” katanya. -TVA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.