2 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Polis Salahguna Kuasa, SUHAKAM Perlu Campurtangan

Tidak cukup dengan keganasan semalam, polis sekali lagi menyalahgunakan kuasa dengan menahan mereka yang ditangkap dalam Himpunan Mansuh ISA melebihi tempoh 24 jam.

Dari 438 yang ditahan dalam perhimpunan aman semalam, 63 lagi masih ditahan kerana dikatakan terlibat dalam tunjuk perasaan anjuran Gerakan Mansuhkan ISA itu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah ditahan di Kompleks Pertama dan dua orang juvana ditahan ketika keluar dari pusat membeli belah Sogo bersama ibu masing-masing pada jam 1230 tengahari semalam.

Bagaimanapun, Polis gagal mendapatkan perintah reman ke atas dua juvana terbabit dan mereka dibebaskan jam 215 petang tadi.

Manakala Sivarasa Rasiah direman untuk dua hari lagi dan akan didakwa di mahkamah esok.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong ketika di temui di luar Ibu Pejabat Daerah Bukit Jalil berkata, tindakan polis menahan tahanan lebih daripada 24jam adalah tidak sah di sisi undang-undang.

“Itu isu yang kita akan ambil selepas mereka dibebaskan. Perkara berkenaan memang tidak sah dari segi Perlembagaan dan undang-undang. Sesiapa tidak boleh tahan lebih 24 jam tanpa dibicara atau dibawa ke majistret untuk reman. Rasanya terdapat beberapa individu dari unit amal ditahan sejak pukul 9 pagi semalam, sepatut dibebaskan pukul 9 pagi tadi tetapi masih belum dibebaskan. Kita akan utarakan perkara ini di depan majistret nanti.

"Setahu saya dia (Sivarasa) telah umumkan kemungkinan besar dia akan didakwa di mahkamah esok dan reman akan dilanjutkan tetapi kita sediakan peguam khas untuk dia iaitu M. Puravelan seorang peguam yang senior. Mereka akan cuba membebaskan semua tahanan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, peguam Johnson Chong mendedahkan bahawa kerajaan nampaknya tidak berminat untuk memastikan hak asasi tahanan dipelihara.

Dua kanak-kanak antara mereka yang ditahan semalam. Mengikut undang-undang, kedua juvana ini seharusnya mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun agensi kerajaan itu enggan memberi bantuan kepada kanak-kanak yang digasak polis.

“JKM seharusnya melihat kanak-kanak ini tetapi mereka tidak melakukan apa-apa sehingga kami masuk ke dalam memberi gambaran . Kita tidak boleh menggunakan kanak-kanak untuk permainan politik atau apa-apa. Polis memberi alasan yang tidak munasabah untuk reman mereka selama 4 hari antaranya mereka enggan menyerahkan kad pengenalan dan enggan beri kenyataan. Tiada undang-undang di negara ini mengatakan sesiapa perlu berikan kenyataan kepada polis jika mereka enggan,” katanya.

“Ya kedua-dua Ammar dan Shuib dibebaskan. Saya percaya mereka yang ditahan dalam 60 orang sebab kita utamakan kanak-kanak terlebih dahulu. Mereka (wanita yang sakit) belum dibuat apa-apa kerana keutamaan kepada kanak-kanak berkenaan. Saya hendak maklumkan majistret tidak membenarkan reman dan mereka bebas,” kata wakil Majis Peguam Shahredzuan Johan.

Masih ramai lagi yang ditahan pihak berkuasa. Kami menerima laporan bahawa ada yang diserang asma dan sedang bergelut tanpa rawatan sewahjarnya semasa dalam tahanan polis.

“Sekurang-kurangnya 2 wanita yang sangat tidak sihat, seorang mengalami serangan asma yang serius masih belum menerima inhealernya dan seorang lagi mengalami demam panas. Apa yang dibimbangkan keadaan tidak seelok seperti yang dijangka. Kami berharap majistret yang mengendalikan reman ini tidak berada dibawah mana-mana arahan dan melakukannya dengan adil,” kata peguam Latheefa Koya.

Sementara itu, seorang lagi peguam, N Surendran berkata beliau yakin penahanan-penahanan diluar batas undang-undang hari ini adalah komplot polis dan Kementerian Dalam Negeri.

“Kebanyakan yang ditahan, ditahan sebelum apa-apa berlaku dah polis mengakuinya semana proses permohonan reman. Polis mengaku bahawa mereka (yang ditahan) akan terlibat jadi kami tanyakan soalan apakah akan berlaku kepada negara ini sekiranya polis mengamalkan sikap prasangka? Polis menahan seseorang sebelum menyertai perarakan,ia penyalahgunaakuasa polis yang sangat luar biasa. Polis berkelakuan seperti ini kerana diberi arahan daripada KDN Hishamuddin Hussein Onn dan kerajaan.

"Ini adalah penyalahgunaan kuasa dan konspirasi antara KDN, polis dan saya percaya ianya atas nasihat peguam Negara,” katanya.

Sementara itu, timbul kekecohan apabila Polis enggan membenarkan seorang warga emas Maimunah Abdullah 61 yang datang dari Johor Bahru untuk melihat anak dan menantunya yang ditahan.

Manurutnya, anaknya dan menantunya Nurul Ain Ghazali 22, ditahan di stesen Ketapi Tanah Melayu sebaik tiba dari Seremban.

“Mereka beritahu mak cik anak mak cik dah kena tangkap semasa turun keretapi semalam pukul 1 tengahari. Saya naik bus pukul 2 (untuk ke Balai Bukit Jalil),” katanya. -TVA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.