27 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Permtg Pasir , Satu Penilaian Semula

Dalam ucapan ketika menyambut kemenangan Pakatan Rakyat di Markas Utama Pas Permatang Pasir malam kelmarin, Mat Sabu menjadi pengulas sukan.. memberikan ulasan selari tentang siri-siri perlawanan diantara BN dan PR.

Perlawanan pertama, Anwar dengan Arif Shah. Anwar smash, Arif Shah angkat. Anwar lob, Arif Shah angkat. Anwar smash!..Arif Shah tersungkur. 1-0.

Perlawanan Kedua. Wahid Endut lawan Wan Farid . Wahid smash, Farid angkat. Wahid drop, Farid lob. Wahid smash, Farid menghantar kejaring. Sangkut!! 2-0.

Perlawanan ketiga. Tiga perlawanan dijalankan serentak. Bukit Gantang…Nizar menewaskan Ahmad Safian. 3-0. Bukit Selambau, Manikumar menewaskan 13 calon lain. 4-0. BN hanya memungut satu mata di Batang Ai. 4-1

Perlawanan keenam. Dr.Mansor masuk kegelanggang. Tapi calon BN sakit perut. Terkencing dalam seluar. Mansor menang. 5-1

Perlawanan ketujuh. Abe Fauzi lawan Tuan Aziz. Perlawanan berlanjutan hingga ke rubber game. Akhirnya Abe Fauzi berjaya mengalahkan Tuan Aziz dalam mata deuce. 6-1.

Perlawanan kelapan. Salleh Man lawan Rohaizat. Perlawanan dijangka sengit tetapi Rohaizat mendapat teguran dari pengadil diawal permainan. Masuk set kedua, pengadil mendapati Rohaizat menggunakan steroid. l Oleh kerana steroid itu hanya dikhaskan untuk kegunaan dalam bilik tidur, Rohaizat tercungap-cungap bila bertarung digelanggang. Rohaizat tewas. 7-1.

Kalau dalam bolasepak, skor begini macam Manchester United lawan Jenderata FC. Kalau dalam tenis, macam Federer lawan V. Selvam. Secara keseluruhannya, Umno bukan lawan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat tak perlu bertarung dengan Umno kerana rakyat sendiri yang akan menentang Umno. Apa yang perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat, ialah memperkukuhkan PR itu sendiri. Kerana kalau Pakatan tidak mampu mengukuhkan diri sendiri, tidak mustahil rakyat akan menolak mereka pula.

Lebih spesifik lagi, kemenangan Pas di Permatang Pasir bukan kerana kegagahan Pas, tetapi adalah kerana kelemahan BN. Dan Umno memberikan bola tanggung kepada Pas, dan Pas hanya perlu membuat satu pukulan smash. Umno lingkup.

Adalah lebih elok sekiranya Pakatan melihat kembali kelemahan-kelemahan yang mana boleh diperbaiki untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Permatang Pasir banyak mengajar kita tentang corak politik masa depan. Itu pun kalau pemimpin Pakatan mahu ambil pot. Kalau tak mau…mampuih pi la.

Kita buat perbandingan diantara Pas dan Umno…kerana dalam PRK Permatang Pasir ini, Umno dan Pas yang memimpin kempen dan strategi. Yang lain hanya membantu.

Jentera

Umno

Umno menggunakan sepenuhnya jentera-jentera kerajaan malah buat pertama kalinya, tentera turut dikerah untuk melakukan program-program untuk membantu Umno. Belum pernah berlaku dimana tentera terlibat dalam pilihanraya membantu BN, tetapi apabila ajensi-ajensi kerajaan lain gagal membantu, tentera terpaksa digunakan. Dalam pilihanraya akan datang, bukan sahaja anggota tentera akan digunakan, malah seramai 5,000 anggota Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) telah diagih-agihkan bagi setiap DUN untuk memastikan kemenangan BN.

Umno mempunyai wang untuk dibelanjakan. Walaupun jentera Pemuda Umno Nampak tidak bermaya, tetapi mereka mampu menggerakkan petugas-petugas dengan imbuhan kewangan. Malah mereka mampu membayar Mat Rempit untuk melakukan kekacauan pada hari mengundi.
Wanita dan Puteri Umno patut diberi kredit kerana kegigihan mereka.

Tapi apa nak buat… kesilapan memilih calon menyebabkan mereka patah semangat. Isteri pertama Rohaizat sendiri turut turun berkempen pada dua hari pertama, tetapi apabila kes isteri kedua meletup, isteri pertama pun tak nampak muka.

Wanita Umno masuk kekampung-kampung ketika orang-orang Pas sibuk kepentas ceramah. Sekurang-kurangnya, usaha wanita dan Puteri Umno ini berjaya mengekang orang-orang atas pagar dari beralih kepada Pas.

Pas

Jentera Pas kawasan kaput. Pas Permatang Pauh hanya pandai bercakap tapi tak tau mengatur kerja. Jadual ceramah masih belum tersedia walaupun selepas hari Penamaan Calon. Di Permatang Pauh, Lim Kit Siang dijemput untuk berucap, tapi bila sampai…tak boleh bercakap kerana namanya tak ada dalam permit. Chegu Bard diminta berceramah, tapi bila pergi ketapak ceramah, tak ada orang.

Cuma apabila jentera pilihanraya diambil alih oleh Pas Pusat, baru nampak koordinasi diantara parti. Sebelum itu, koordinasi diantara Pas dan PKR cukup lemah. Kita pun tahu macam mana perangai Pas Permatang Pauh. Sekurang-kurangnya menjadi pengajaran kepada mereka.

Sebelum PRK Penanti, Pas Permatang Pauh menuntut supaya Penanti diberikan kepada Pas. Bila tak dapat, depa boikot. Sehinggakan bila tiba hari mengundi, ramai yang tak mahu mengundi. Bila kena kat Permatang Pasir, baru tahu malu.

Calon

Umno

Umno memang cari nahas bila memilih Rohaizat sebagai calon. Tapi jangan seronok sangat mengatakan Umno bodoh, tak tau pilih calon. Mungkin ada rahsia tersendiri, mengapa mereka memilih calon yang bermasalah. Mungkin Umno sengaja memilih Rohaizat untuk dijadikan kambing hitam.

Rohaizat sudah out pada hari pertama lagi. Umno sepatutnya menyuruh Rohaizat menarik diri, dari membiarkan dirinya menjadi punching bag Pakatan. Tak tau apa yang akan terjadi kepada Rohaizat selepas ini. Nak balik rumah isteri tua, takut. Nak balik rumah isteri muda..malu. Mungkin lepas ini dia kena daftar dalam Adult Friend Finders pulak.

Pas

Calon Pas bernasib baik, macam Dr. Mansor di Penanti. Tak ada isu peribadi yang boleh digunakan oleh Umno. Walaupun ada propaganda yang dilakukan oleh Umno, tapi mereka gagal membuktikannya. Tidak macam apa yang berlaku terhadap Rohaizat. Sekali dia nafi, sepuluh bukti keluar.

Isu

Umno

Aku percaya, Rohaizat sengaja dipilih, walaupun Umno tahu latarbelakangnya, kerana mahukan Rohaizat dijadikan kambing hitam untuk mengalih pandangan daripada isu-isu nasional. Isu Altantuya dan Rampasan Kuasa di Perak tenggelam. Nama Najib menjadi bersih, tidak lagi menjadi bahan kutukan. Semuanya tertumpu kepada Rohaizat. Najib sendiri tidak turun berkempen, kerana tidak mahu isu Altantuya timbul kembali.

Tidak banyak isu-isu nasional yang ditimbulkan. Walaupun pada awalnya, Umno cuba membawa isu Anwar pengkhianat, tetapi dapat dipatahkan seawall malam penamaan calon. Pada malam sebelum penamaan calon, Anwar berucap di Permatang Pauh tentang skandal Muhyidin Yassin yang menjual tanah dan pasir kepada Singapura. Begitu juga pertemuan Zahid Hamidi dengan Menteri Israel. Semuanya menyebabkan Umno ketiadaan isu. Sebaliknya terpaksa bertahan kerana serangan terhadap Rohaizat.

MCA dan Gerakan gagal membantu Umno menarik pengundi Cina. BN masih lagi memainkan isu perkauman dan pembangunan untuk menarik undi menyebabkan mereka nampak bodoh. Mungkin mereka ingat, pengundi Permatang Pasir masih bodoh macam orang Umno.

Dalam ceramah di Kg. Cross Street, Mukhriz berceramah tentang jalan yang becak dan ada rumah yang masih lagi tidak mempunyai bekalan air. Nampak sangat bodohnya Mukhriz. Selama 51 tahun Umno memerintah, mengapa tak buat?

Pas

Umno memberikan bola tanggung kepada Pas terutama dalam isu skandal Rohaizat dan kematian Beng Hock. Pas hanya perlu smash.
Kesepakatan pemimpin Pakatan Rakyat berkempen memberikan kesan besar kepada kemenangan Pas. Anwar dan Guan Eng berkampung di Permatang Pasir untuk memastikan kemenangan calon Pas. Isu-isu yang cuba dibangkitkan oleh Umno dapat dipatahkan dengan baik.

Imej/persepsi

Umno/BN

Nampak sangat berlaku pergeseran dikalangan BN. Pada hari penamaan calon lagi, tidak ada pemimpin-pemimpin ternama dari BN yang hadir. Begitu juga semasa berkempen. Yang datang hanyalah pemimpin cokia dari Umno.

Imej Umno sebagai gangster semakin terserlah yang menyebabkan ramai orang sudah tidak berminat dengan mereka. Orang-orang Cina juga semakin meluat dengan Umno dan contoh terbaik ialah di Kg. Cross Street dan Samagagah. Walaupun mereka menghadiri program-program Umno, tetapi hakikatnya, mereka hanya mahu menunjuk muka. Undi bagi Pas.

Pas.

Gandingan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat diatas satu pentas memberikan imej yang baik. Pada hari penamaan calon lagi, semua pemimpin tertinggi PR hadir. Ini memberikan imej yang cukup baik. Walaupun terdapat banyak pergeseran yang berlaku, namun ‘unity show’ yang dibuat cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa Pakatan mampu memerintah negara. Ronnie Liu datang dan bergurau dengan pemimpin Pas yang lain, cuma Hasan Ali yang tak nampak muka.

PRK Permatang Pasir juga menunjukkan kematangan kepimpinan. Kalau dalam PRK Penanti yang lalu, cuma Nik Aziz saja yang turun membantu, sedangkan Hj. Hadi langsung tak nampak muka, tetapi dalam PRK Permatang Pasir, semuanya allright. Tak ada isu boikot memboikot macam yang dilakukan oleh Pas Permatang Pauh.

Kesimpulan

Kemenangan Permatang Pasir adalah kemenangan rakyat. Ketika ditanya oleh Chegu Bard semasa dalam kereta kerumah Din Binjai, aku kata Pas boleh menang dengan 4000-5000 undi. Chegu Bard kata tinggi sangat. Pas sendiri menjangkakan kemenangan dibawah 2000 undi.

Banyak ceramah-ceramah yang dibuat mendapat sambutan yang kurang memuaskan. Di Samagagah, kehadiran pengundi Cina keceramah Pas sangat rendah. Malah di Kg. Cross Street, kehadiran mereka keceramah BN lebih ramai dari yang datang keceramah Pas. Malam tu aku kurangkan jangkaan aku kepada 3,000-4000 undi.

Apabila tiba hari mengundi, lagi membosankan. Pondok-pondok panas sudah tidak lagi dibenarkan, menjadikan plihanraya ini hilang kemeriahan. Kereta mengangkut pengundi pula tak banyak kelihatan kerana hanya kereta yang mempunyai sticker SPR dibenarkan mengangkut pengundi. Dan apabila kereta-kereta ini kebanyakannya kereta BN, aku mula rasa risau. Aku kurangkan jangkaan kepada 2000-3,000. Pas pula menjangkakan majoriti diantara 1,000-2,000.

Bila keputusan keluar, semua salah.

Dalam PRK Permatang Pasir ini, isu utama ialah personaliti dan kewibaan calon. Umno cuba mencemarkan karektor Anwar dengan isu pengkhianat, tapi memakan diri. Sebaliknya Pakatan berjaya mencemarkan personaliti Muhyidin dan Zahid Hamidi.

Rohaizat pula membenarkan dirinya menjadi bahan ketawa sehinggakan digunakan sepenuhnya oleh Pas. Pas menggunakan sepenuh peluang untuk membunuh karektor Rohaizat dan berjaya.
Ada sapa-sapa nak jadi calon dalam pilihanraya akan datang? Ingat baik-baik. Sesiapa saja yang mempunyai rekod buruk, jangan ingat boleh disorok atau ditutup dengan tudung saji. Ada saja yang akan membuka tudung tersebut, terutamanya bloggers, kerana bloggers mempunyai hidung yang lebih baik dari anjing kastam.

Baik BN atau Pakatan, personaliti calon menjadi kriteria penting untuk menentukan kemenangan. Rakyat, terutamanya pengundi baru melihat kedua-dua Pakatan dan BN, sama saja. Baik dari segi taktik atau strategi. Kalau dulu, Pakatan yang lantang bercakap tentang pengundi hantu, tapi dalam PRK ini, Umno yang bercakap tentang pengundi hantu.

Pelik, mengapa kali ini tak ada sesiapa pun dari Pakatan yang bising tentang pengundi hantu! Sebabnya, dulu pengundi hantu mengundi Umno, sekarang mengundi Pas.

Sudah tidak banyak bezanya diantara politik BN dan Pakatan. Kekuatan jentera belum tentu menjamin kejayaan. Dari segi isu, baik BN atau Pakatan, masing-masing sudah ada skandal yang boleh dieksploit. Yang membezakan mereka ialah keperibadian calon -perakexpress

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.