16 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Apa Hak SPRM Guna Kekerasan?

Sekalipun dinafikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mereka menggunakan kaedah gestapo semasa menahan Wong Chuan How, pembantu khas kepada seorang daripada Exco kerajaan negeri Selangor, pada Jumaat lepas, namun tindakan melampau mereka bergelut dengan Wong adalah sesuatu yang ultra vires dan tidak professional.

"Adalah ditegaskan bahawa pegawai SPRM tidak pernah sama sekali menolak Wong (Ahli Majlis Perbandaran Sepang) sehingga beliau jatuh. Kecederaan yang dialami oleh Wong tidak akan berlaku sekiranya beliau mematuhi arahan yang telah diberikan dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyempurnakan siasatan yang dijalankan," menurut SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini Ahad, bernama melaporkan.

SPRM berkata siasatan awal mendapati beberapa program dan bantuan yang menggunakan peruntukan pembangunan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek telah tidak disampaikan kepada pihak pemohon walaupun kelulusan telah diberikan dan cek-cek telah diserahkan kepada Wong.

Kata SPRM apabila Wong yang tidak digari hendak dimasukkan ke dalam kereta pegawai SPRM yang sudah pun menunggu di luar pusat tersebut, beliau secara tiba-tiba menepis tangan pegawai SPRM yang mengiringi beliau dan cuba melarikan diri.


"Pegawai SPRM terpaksa mengambil tindakan menghalang Wong dari melarikan diri dengan memeluk beliau dari belakang kerana beliau mula meronta-ronta dan akhirnya menjatuhkan dirinya di atas lantai kaki lima deretan kedai di situ.

Adalah tidak wajar samasekali pegawai SPRM mengambil tindakan sedemikian sekalipun Wong dituduh dan didakwa cuba melarikan diri kerana pegawai SPRM sepatutnya melaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan bukan untuk mengambil tindakn sendiri-sendiri bergelut dengan Wong.

"Kita ingin tahu undang-undang mana yang pegawai SPRM gunakan dan kuasa apa yang ada pada mereka untuk membenarkan mereka menggunakan taktik kekerasan di dalam menahan sesiapa juga yang disyakki oleh mereka," tegas seorang pemimpin Pakatan Rakyat hari ini.

"Sikap tidak professional SPRM adalah jelas dan kita yakin hal yang sama telah menimpa kepada beberapa orang pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat sebelum ini sehingga berlaku kematian Teoh Beng Hock, pegawai khas kepada seorang exco negeri Selangor," tambahnya.

Sementara itu, banyak pihak membidas tindakan SPRM yang hanya melakukan siasatan kepada pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat tetapi tidak pemimpin dan ahli parti pemerintah UMNO dan BN. Malah kenyataan SPRM untuk menangguhkan penyiasatan tokoh-tokoh politik di dalam kes rasuah yang melibatkan skandal PKFZ dan ADUN BN Terengganu tetapi meneruskan siasatan kepada pemimpin Pakatan Rakyat jelas menunjukkan sikap berpilih SPRM menjalankan tugasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.