Menurut bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk NH Chan pengundi di kawasan tersebut mempunyai kepentingan langsung dan berhak membawa tiga ADUN berkenaan ke mahkamah.
Kapt.(B) Mohd Osman Jailu, Jamaluddin Mat Radzi dan Hee Yit Foong dipilih sebagai ADUN masing-masing atas tiket Parti Keadilan Rakyat dan DAP tetapi mengambil keputusan keluar parti dan menjadi anggota Dewan bebas yang menyokong Barisan Nasional.
Tindakan mereka menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat kehilangan majoriti dalam DUN dan mencetuskan krisis politik yang berlarutan sehingga kini.
Chan berkata pengundi di tiga kawasan berkenaan berhak mendapatkan perintah mahkamah terhadap tiga ADUN itu.
"Logiknya begini, sekiranya seseorang ADUN itu berkata beliau dipilih mewakili rakyat atas tiket PKR atau DAP dan tiba-tiba mengumumkan beliau tidak lagi mewakili parti tersebut, adakah pada hakikatnya mereka masih menjadi wakil rakyat?
"Saya berpendapat ketiga-tiga ADUN pembelot itu patut mengumumkan kepada rakyat bahawa kerusi mereka kosong dan tengok sama ada rakyat akan memilih mereka semula atau tidak. Saya fikir rakyat akan menolak mereka," kata Chan.
"Ini kerana adalah sifat semulajadi manusia sekiranya seorang ADUN itu dipilih atas tiket DAP dan kemudian keluar parti, pengundi akan berkata kami memilih anda kerana anda bertanding atas tiket DAP dan sekarang anda keluar parti kami tidak mahu lagi anda mewakili kami. Biar rakyat memilih wakil yang mereka mahu tetapi saya fikir mereka bertiga itu tidak berani berbuat demikian," tambah beliau.
Chan berkata pengundi boleh menyaman ketiga-tiga ADUN pembelot tersebut atas alasan mereka membohongi pengundi.
Jelas bekas hakim yang vokal itu pengundi boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk memaksa ketiga ADUN tersebut menarik keputusan mereka untuk menjadi anggota Bebas.
"Pengundi akan marah sekiranya mereka belot dan mereka boleh mendapatkan perintah mahkamah.
"Terdapat tiga pengundi yang ingin menyaman tiga ADUN tersebut tetapi Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Balia Yusuf Wahi memutuskan mereka tidak ada kepentingan dalam kes tersebut. Mereka mempunyai kepentingan sebab mereka yang mengundi ADUN-ADUN tersebut," kata beliau lagi.
Beliau menegaskan keputusan Hakim Balia Yusuf adalah salah kerana ia dibuat tidak berlandaskan peruntukan Perlembagaan yang memberi hak kepada pengundi undi mendapatkan keadilan.
"Beliau salah membuat penghakiman, mungkin pembacaan undang-undang beliau tidak meluas. Peguam Negara pula ingin mencelah dengan mengatakan beliau ada kepentingan dengan mengatakan beliau adalah suara hati rakyat. Saya tidak pernah mendengar ungkapan itu sebelum ini kerana tidak ada peruntukan dalam undang-undang," ujar Chan. - TVA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.