Rasuah, kronisma, penyelewengan kuasa masih menjadi paksi pentadbiran UMNo-Barisan Nasional. Oleh itu rakyat tidak akan bingkas termakan dengan pengumuman-pengumuman Najib menerusi jentera media kawalan kerajaan kerana ia tidak lari daripada apa yang dicanangkan oleh pemimpin-pemimpin UMNo-BN sebelum ini.
Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan hari ini tampil untuk menggesa Najib membuktikan keikhlasan untuk membawa pembaharuan bermakna dalam bidang kehakiman, keselamatan rakyat, sistem pilihanraya dan sebagainya - kesemua yang mempunyai hubung kait langsung bagi menjamin sebuah sistem demokrasi yang berwibawa dan membela hak serta kepentingan rakyat.
10 KPI itu untuk 100 hari Najib seterusnya merangkumi:
1 Krisis Perlembagaan Perak
Rumusan: Krisis yang semakin melarat dan mengancam masa depan demokrasi negara
Huraian – Sejumlah institusi negara - istana, badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihanraya, polis dan SPRM telah diheret dalam krisis penukaran kerajaan yang membelakangkan peruntukan perlembagaan. Jika keadaan ini berterusan, apakah yang akan berlaku dalam pilihanraya masa depan, jika BN dan Pakatan rakyat gagal mendapat majoriti yang menyakinkan.
KPI: Pilihanraya negeri diadakan semula di Perak.
2 Proses dan Sistem Pilihanraya
Rumusan - masih belum bebas dan adil
Huraian – Proses dan sistem pilihanraya masih tidak berwibawa dan menafikan rakyat hak demokrasinya. Ia juga mengurangkan saingan tulin dalam politik pilihanraya. Jika tidak ada pembaharuan dilakukan, sistem sekarang boleh membawa kepada krisis politik sebagaimana yang berlaku di Thailand dan Iran.
KPI: Penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Pilihanraya sebelum dijalankan persempadanan semula kawasan pilihanraya.
3 Badan Kehakiman dan Pejabat Peguam Negara
Rumusan- Masih di bawah telunjuk kerajaan
Huraian – Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman masih dibawah kawalan Perdana Menteri, menjadikan reformasi sistem keadilan itu gimik semata-mata. Kuasa-kuasa Kehakiman yang termaktub di bawah Fasal 121(1) Perlembagaan Persekutuan masih belum dipulihkan. Peguam Negara mengawal bidang kuasa pendakwaan serta menasihati Kerajaan Persekutuan, menyebabkan percanggahan kepentingan yang serius. Peguam Negara juga mengawal timbalan pendakwaraya dan hakim-hakim mahkamah rendah.
KPI: Penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen Keatas Pembaharuan dan Penambahbaikan Kehakiman dan Pendakwaan.
4 Parlimen
Rumusan – Masih di bawah telunjuk kerajaan
Huraian – Tidak ada perkongsian kepimpinan legislative di peringkat Dewan dan Jawatankuasa. Ahli Parlimen pembangkang di halau keluar hamper setiap hari. Tiada peruntukan untuk Kabinet Bayangan.
KPI: Penubuhan Suruhanjaya Diraja Keatas Pembaharuan dan Penambahbaikan Parlimen.
5 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
Rumusan – mengancam rakyat Malaysia tidak bersalah yang berlainan pendapat dengan BN.
Huraian – mengizinkan penahanan tanpa bicara dan pencabulan hak asasi lainnya walhal ia tidak boleh dterima oleh mana-mana masyarakat bertamadun.
KPI: Mansuhkan ISA, dan tidak mewujudkan sebarang undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara.
6 Polis
Rumusan – Masih mencabul hak asasi manusia
Huraian – Polis masih menahan warganegara tidak bersalah tanpa sebab-musabab yang jelas. Tahanan terus mati dalam tahanan polis tanpa alas an kukuh. Dalam masa yang sama, kadar jenayah terus meningkat.
KPI: Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC)
7 Media
Rumusan – Masih dicengkam kawalan politik
Huraian – Media masih di kawal ketat menerusi undang-undang dan peraturan yang menyekat kebebasan bersuara dan menghadkan pandangan yang berbeza. Kedua, sekatan keatas penerbitan media cetak dan siar mewujudkan monopoli yang bergerak atas kepentingan BN. Tidak ada agensi media awam yang bebas seperti British Broadcasting Corporation (BBC).
KPI: Menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen Keatas Pembaharuan dan Penambahbaikan Undang-Undang Media
8 Kebebasan Maklumat (FOI)
Rumusan – Masih dinafikan
Huraian – Maklumat yang berkepentingan awam selalunya diklasifikasikan dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Amalan ini merencatkan ketelusan dan ketanggungjawaban serta membuka ruang kepada rasuah dan salahurus.
Sementara Selangor berusaha melaksanakan undang-undang FOI, tidak ada inisiatif sedemikian rupa di peringkat Persekutuan dan Negeri-Negeri lain.
KPI: Undang-undang FOI digubal di peringkat Persekutuan dan Negeri-Negeri
9 Kerajaan Tempatan
Rumusan – Masih tidak di pilih melalui pilihanraya, tiada ketanggungjawaban, tidak berwibawa dan tidak responsif
Huraian – Tiada perwakilan tanpa pencukaian. Kerajaan tempatan tidak boleh dilantik sebagai kaki dan tangan kerajaan berkuasa dan harus di pilih oleh penduduk untuk mempunyai mandat politik yang berkesan.
KPI: Mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan di seluruh negara
10 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Rumusan – mengamalkan siasatan terpilih, tidak ampuh melawan rasuah dan penyelewengan
Huraian – Sepertimana Badan Pencegah Rasuah (BPR), SPRM masih dikawal oleh Eksekutif dan tidak mempunyai kuasa bebas untuk mendakwa. Demikian itu, ia kekal sebagai alat Eksekutif untuk menghapuskan musuh-musuh politik dan bukannya sebuah institusi bebas yang ampuh melawan rasuah.
KPI: Pindaan keatas Akta SPRM bagi meningkatkan autonomi SPRM dibawah pantauan Parlimen.
Kesimpulan
Thomas Jefferson, pengasas Kerajaan Amerika Syarikat, membahagikan pemimpin kepada dua jenis: mereka yang tidak percaya kepada rakyat dan yakin hanya diri mereka yang tahu segalanya; serta mereka yang yakin rakyat adalah panduan terbaik kerajaan untuk memahami kepentingan awam.
Najib harus sedar bahawa kebebasan ekonomi dan kebebasan politik bergerak seiring. Pembaharuan ekonomi tidak akan berjaya dalam suasana politik yang di dirikan atas nama menindas rakyat dan menafikan hak-hak demokrasi.
Kami berharap Najib akan melaksanakan KPI-KPI diatas dan dengan cara ini mewariskan legasi terbaik untuk Negara. Hanya melalui komitmen beliau kepada program reformasi yang tulen dan holistic, termasuk mendemokrasikan sistem kerajaan, maka Perdana Menteri dapat meraih keyakinan dan sokongan rakyat, dan memahat nama baiknya dalam sejarah Malaysia senantiasa.
Dicadangkan oleh,
Liau Kok Fah, Pengerusi, Jawatankuasa Hak Sivil, Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (CRC-KLSCAH)
Gayathry Venkiteswaran, Pengarah Eksekutif, Pusat Media Bebas (CIJ)
Dr Lim Teck Ghee, Pengarah Eksekutif, Pusat Inisiatif Dasar (CPI)
Andrew Khoo, Penyelaras, Inisiatif Masyarakat Sivil untuk Pembaharuan dan Penambahbaikan Parlimen (CSI@Parliament)
K, Arumugam, Penyelaras, Kumpulan Warganegara Prihatin (GCC)
Maria Chin Abdullah, Pengarah Eksekutif, Pusat Janadaya (Empower)
Zaid Kamaruddin, Presiden, Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Haris Ibrahim, Penyelaras, Parlimen Rakyat
Tah Moon Hui, Penyelaras, Suara Rakyat Malaysia (Suaram)
Wong Chin Huat, Pengerusi, Gabungan Penulis untuk Media Bebas (WAMI)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.