9 Jul 2009

MANEK URAI : DAP Tetap Bantu Kempen Calon PAS

Walaupun dikejutkan dengan keputusan DAP Kedah yang keluar dari Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini, parti tersebut tetap turun memberi sokongan terhadap calon PR dari Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjelaskan DAP tetap berdiri teguh bersama-sama PR walaupun sesetengah pihak memainkan isu tersebut sehingga menggambarkan DAP pada keseluruhannya keluar dari pakatan tiga parti tersebut.

“Kami tetap memberi sokongan terhadap Pas terutamanya Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat serta berdiri teguh dibelakang PR.

“Kehadiran saya disini membuktikan DAP tidak seperti yang digambarkan oleh sesetengah media yang mengatakan seolah-olah DAP keluar terus dari PR,” katanya kepada media selepas Ceramah Perdana anjuran Pas di Lata Rek malam kelmarin.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menjelaskan Jawatankuasa Kerja Pusat DAP akan mengeluarkan nasihat agar DAP Kedah memikirkan semula keputusan mereka keluar dari PR.

“Ini adalah pilihan DAP Kedah, tapi kita beri nasihat agar fikir semula,” katanya.

Antara penceramah Pas yang turut hadir adalah Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nik Amar Nik Abdullah dan calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah.

Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari Pas, Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu. Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dari UMNO diwakili Tuan Aziz Tuan Mat manakala calon Pakatan Rakyat dari Pas diwakili oleh Mohd Fauzi Abdullah. Hari pengundian jatuh pada 14 Julai nanti. - SH


1 ulasan:

  1. Semoga DAP,PAS dan PKR tetap bersama2 dlm satu pakatan utk menegakkan kebenaran dan keadilan. Segala krisis yg berlaku baru2 ini diantara kita, anggaplah satu dugaan didlm perjuangan.Bersatu teguh, bercerai kita roboh.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.