Memorandum yang diserahkan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan @ Tantawi, itu menyatakan pemuda mahu suruhanjaya yang kini hanya dikhaskan untuk melihat prosedur soal siasat SPRM dan pelanggaran hak asasi diberi kuasa yang luas meliputi punca dan siapa yang bertanggungjawab atas kematian Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor minggu itu.
Memorandum itu diserah Nasrudin kepada Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam. Turut hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mat Akin; Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabhki Yusof; Setiausaha Pemuda, Kamaruzzaman Mohamad dan beberapa aktivis Pemuda Pakatan Rakyat.
Menurut Ustaz Nasrudin, skop Suruhanjaya Siasatan Diraja yang terbatas bagi menyiasat dan menilai kaedah yang diguna pakai SPRM semasa soal siasat yang dijalankan dan menentukan sama ada berlakunya pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disoal siasat sahaja.
"Oleh itu, Pemuda Pakatan menegaskan keputusan kerajaan mengehadkan peranan Suruhanjaya Diraja menunjukkan kerajaan tidak telus dalam menyelesaikan misteri kematian Teoh,"katanya.
"Suruhanjaya itu perlu mempunyai peranan yang lebih besar dan tidak dihadkan dengan hanya tugas-tugas tertentu sahaja," katanya.
Sementara itu, Shamsul pula mendesak campur tangan serius dari Suhakam agar mengeluarkan gesaan kepada kerajaan menghormati pandangan rakyat terutama keluarga mangsa.
Ujar beliau lagi, Pemuda Pakatan ragu dengan inkues yang disebutkan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyiasat kematian Teoh, sedangkan inkues biasanya hanya dikendalikan oleh seorang majistret yang 'junior' bertaraf pegawai kerajaan sahaja.
Ini hanya akan menjadikan siasatan keatas kes ini tidak kemana, ditambah lagi dengan rekod inkues sebelum ini seperti dalam kes Francis Udayyapan, yang mati di dalam lokap yang akhirnya tiada keputusan, katanya. Selain itu ujar beliau, inkues ini hanya akan dibuat dengan hasil laporan siasatan polis sahaja, walhal rakyat semua tahu akan kredibiliti siasatan polis yang boleh dipertikai hari ini.
Sementara itu, Sivasubramaniam yang bercakap bagi pihak Suhakam menyatakan pihaknya akan mempertimbangkan pandangan yang dilontar pihak Pakatan Rakyat. Beliau memandang serius kes ini sebagai satu pelanggaran hak asasi dengan merujuk kepada kenyataan SPRM sendiri yang mana mengakui Teoh disoalsiasat bermula jam 7 petang hingga 3.00 pagi.
Ia katanya satu pelanggaran hak asasi kerana yang disoalsiasat hanyalah saksi, dan masa siasatan itu bercanggah dengan hak asasi mangsa.
Selain itu Sivaturut menyelar keenganan media arus perdana membuat laporan mengenai kenyataan-kenyataan Suhakam berhubung kes Teoh baru-baru ini.
Sementara itu, sehari sebelum memorandum dihantar kira-kira 3,000 orang, sebahagian besarnya berpakaian hitam, membanjiri Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) sebagai tanda sokongan padu kepada Teoh, yang ditemui mati di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam 16 Julai lalu.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, adalah antara yang menyertai perhimpunan selama tiga jam itu.
Hadirin berdiri memberi penghormatan kepada Tunang Teoh, Soh Sher Wei yang sedang mengandung anak mereka, ketika dia masuk ke dewan. Mereka turun memegang poster Teoh manakala kain rentang turut dipasang, antaranya berbunyi "Rakyat berhak mengetahui kebenaran!!! Pembunuh mesti dihukum". Teoh, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, 16 Julai lalu.
Sebelum ditemui mati, Teoh telah disoal siasat oleh SPRM kira-kira selama 10 jam sebagai saksi berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk Dun di Selangor. -harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.