11 Jun 2009

UMNO BN Tunggang Langgangkan Demokrasi Negara Kita - Mat Sabu

Tiga tiang utama dalam pembentukan peraturan hidup rakyat Malaysia menyebabkan negara kita dihormati apabila legislatif, eksekutif dan judiciary tertegak dengan peranan mereka masing-masing dan mempunyai kuasa tersendiri.

Pembuat undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, manakala eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan badan kehakiman yang tertegak megah dengan autoriti dan autonominya tersendiri.

Kini kewibawaan tiga tonggak yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia itu mula menuju kehancuran di bawah kerajaan Barisan Nasional. Tempat membuat undang-undang tidak dihormati lagi. Pihak eksekutif dengan sewenang-wenangnya menceroboh tempat legislatif tanpa mengikut peraturan-peraturan yang selama ini dihormati dan diterima pakai dengan baik.

Ditangkap di Parlimen

Dato' Mustafa Ali diserbu dan ditangkap di dalam kawasan Parlimen kira-kira setahun setengah yang lalu. Sedangkan untuk menangkap beliau, boleh sahaja dilakukan di luar kawasan Parlimen, seperti di pejabatnya di Jalan Pahang Barat atau di rumahnya di Kuala Terengganu.

Tetapi kenapa pihak polis sengaja masuk dan menangkap Mustafa di dalam kawasan Parlimen? Bukanlah terlalu "urgent" untuk menangkap beliau sehingga tempat untuk membuat undang-undang pun tidak dihormati.

Kawasan Parlimen terus dicemar lagi apabila sekumpulan Pemuda Umno cuba mengancam Ahli Parlimen Karpal Sigh juga di lokasi sama. Saya boleh faham perasaan Pemuda Umno terhadap Karpal Sigh, tetapi memilih kawasan Parlimen untuk bertindak terhadap beliau amatlah tidak kena.

Karpal boleh "dikepung" di mana saja di luar kawasan Parlimen untuk melepaskan geram Pemuda Umno terhadapnya.

Kalaulah Pemuda PAS atau Angkatan Muda KeADILan melakukan tindakan yang serupa, "mengepung" mana-mana ahli Parlimen BN di dalam kawasan Parlimen, saya akan bangun menentang dan menyatakan rasa tidak bersetuju. Tempat lagislatif itu perlu dihormati, dan jangan dijadikan kawasan Parlimen seperti pasar malam.

Bentara Dun bertukar tugas dengan polis

Lebih dahsyat lagi apa yang berlaku di Perak amat memalukan rakyat Malaysia kepada mata dunia. Bentara Dewan dengan pasukan polis telah bertukar tugas. Bentara Dewan yang menjaga hal ehwal Dun di bawah Speaker dan Setiausaha Dewan, tetapi tugas itu diambil alih oleh pihak berkuasa polis.

Speaker, Menteri Besar dan Adun Perak dihalang oleh "Bentara Dewan Baru" iaitu polis untuk memasuki Dewan. Perbuatan pihak polis itu menyebabkan Sidang Dewan Undangan Negeri yang sah terpaksa dibuat di bawah pokok apabila kuasa legislatif yang terbuka dihina, dan mereka dihalau dan merempat.

Lebih dahsyat daripada segala yang dahsyat telah berlaku di Malaysia apabila Speaker yang mempunyai segala kuasa dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen kini menjadi seperti sampah hanyut.

Speaker yang selalunya memberi amaran, menggantung tugas seseorang ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, menghalau keluar mana-mana ahli Yang Berhormat dari Dewan setelah Speaker mengangap mereka melanggar peraturan atau arahan Dewan, kini di Malaysia, Speaker pula diambil tindakan.

Tak pernah saman Speaker

Beberapa kali Karpal Sigh dihalau keluar, digantung dan juga diberi amaran, sama ada di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang atau di Parlimen. Setahu saya Karpal tidak pernah menyaman Speaker di atas tindakan yang dilakukan terhadap beliau. Karpal yang bergelar "The Lawyer's Lawyer" amat tahu kuasa yang ada pada Speaker.

Apa yang berlaku dalam Dun Perak apabila Speaker Sivakumar menghalau beberapa Adun keluar dari sidang Dun? Ahli-ahli tersebut tidak mahu keluar sebaliknya Speaker pula diusir keluar dari Dewan!

Dengan segera pasukan "Bentara Polis" masuk ke dalam Dewan dan mengusung Speaker keluar secara kejam dan paksa. Malah mereka mengurung pula Speaker itu, menjadikannya satu peristiwa pahit dalam sejarah demokrasi di Malaysia. Nama Malaysia tercemar dengan cukup teruk sekali ekoran peristiwa itu.

Semua pihak harus mencari jalan bagaimana hendak memulihkan imej Malaysia yang begitu tercemar dengan peristiwa yang berlaku di Perak itu.

Keadaan ekonomi kini pada tahap -6.5%, suasana perundangan dan sistem demokrasi juga menjadi rosak teruk. Imej Najib Razak sebagai Perdana Menteri cuba dilibatkan dengan hal Altantuya. Semuanya membawa kesan amat negatif kepada negara.

Marilah kita berfikir dan bertindak secara waras untuk memulihkan imej Malaysia. Serahkan kembali mandat kepada rakyat Perak untuk menentukan masa depan mereka, bukan rakyat Perak diserahkan kepada "Bentara Polis" bagi menggantikan Bentara Dewan. - Mohammad Sabu


2 ulasan:

  1. sivakumar tu dihalau sebab dia ko tau sendiri.. takleh ker berkerjasama walaupun berlainan parti? .. Mat Sabu dah kalah terus blame BN tunggang langgangkan demokrasi negara? hoho! Sedapnya mulut cakap.. lepas geram plak kat parti lain .. hiksss! PAS pun mmg takleh pakai dah ...

    BalasPadam
  2. Mohammad Sabu,

    Apa yang anda catitkan seperti diatas memang ada kebenarannya. Namun cukup kah hanya setakat mengeluh saja...?

    UMNO-BN jelas sekali telah membuli parti pembangkang tanpa mempedulikan peraturan dan undang-undang yang telah digubal, persoalannya mengapa pihak pembangkang tidak membuat sesuatu sebagai tindakbalas diatas sikap kurang ajar UMNO-BN itu...?

    Nak tunggu sehingga pilihanraya umum yang akan datang bagi menjatuhkan mereka...? Itu hanya angan-angan yang belum tentu akan menjadi kenyataan. Dalam PAS dan PKR ramai yang jadi fraksi UMNO, mereka ini akan menggagalkan segala usaha untuk menumbangkan UMNO-BN.

    Mohammad Sabu.... anda kena lebih kreatif dari pada Haji Hadi dan Nasharuddin.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.