Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam ucapan dasar Muktamar PAS Kali Ke 55 hari ini.
Kata beliau, lebih parah lagi kerajaan BN terus menerus mentadbir ekonomi negara dengan rakus dan boros, serta sarat dengan amalan penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme yang menyaksikan pengulangan tabiat buruk pengurusan orde lama. Rakyat terus menanggung kerugian besar.
Tegasnya, isu utama yang dipertikaikan hingga kini ialah ketelusan dan pertanggungjawaban. Peristiwa Bank Bumiputra yang hidup berkembar dengan pejabat UMNO hanya tinggal dalam lipatan sejarah hitam ekonomi negara.
PAS juga menggesa semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, yang menguruskan pelaburan rakyat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diuruskan dengan penuh berhemat. Perlu juga diingatkan keperluan untuk mematuhi kehendak syariah dalam setiap pelaburan tersebut.
Lembaga Tabung Haji juga mestilah mampu memenuhi tanggungjawab menjaga kepentingan ekonomi umat Islam dan memastikan setiap pelaburan adalah tidak berasaskan spekulatif dan mengambil kira semua risiko yang terlibat.
Kini rakyat dan pekerja akan terdedah kepada kesan kemelesetan ekonomi. Beban hutang isi-rumah, kad-kredit dan pinjaman swasta, yang menyaksikan hutang tak-berbayar (NPL) akan terus meningkat. Permintaan dunia telah pun berkurangan dan menyebabkan ekspot kita jatuh.
Dengan permintaan yang menurun secara mendadak, pengilang tidak ada cara lain kecuali membuang pekerja bagi mengurangkan kos dan mengekalkan keuntungan serta mengelak kerugian besar. Pada hujung tahun 2009 ini, 200 ribu pekerja dijangka dibuang dan menjadi penganggur.
Tegas Ustadz Hadi lagi, PAS mengingatkan semua pihak bahawa urus tadbir yang baik terhadap segala khazanah kekayaan dan sumber alam yang dianugerahkan di muka bumi ini adalah satu juzuk tuntutan amanah Allah SWT yang diletakkan ke atas manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi ini.
Mentadbir kewangan dan menjadikan pengurusan ekonomi serta membangunkan harta atau "Hifzul Mal", adalah termasuk dalam perkara-perkara penting, yang disebutkan sebagai lima keperluan hidup manusia atau "al-Dhoruriyat al-Khamsah" yang mesti dipelihara dan dimajukan oleh sebuah kerajaan yang dibimbing dan ditadbir oleh syari’at Islam.
PAS menekankan kepentingan menentukan "Keutamaan/Awlawiyat" dalam kerangkamenentukan perbelanjaan, samada Perbelanjaan Mengurus dan Membangun serta persoalan sektor utama dan kritikal yang hendak dibangunkan. Acapkali negara diaibkan dengan ketidakcukupan pemakanan seperti beras, sementara negara kita ini dilimpahi dengan tanah pertanian.
Tidak salah ingin menjadi negara industri maju, tetapi semua negara maju mempunyai ‘Kedaulatan dan Keselamatan Pemakan’ seperti UK, Jepun, Amerika dan Eropah. Songsang dan bersimpang siur pemikiran pemimpin negara dalam hal pacuan pembangunan negara, sehingga negara hilang daya saing dalam segala hal dan juga tidak punya daya tahan mendepani pelbagai krisis termasuk pemakanan. Laksana ”yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.
PAS kembali mengingatkan dirinya bahawa penyelesaian masalah ekonomi manusia bermula dengan memperbetulkan akidah, fikrah dan akhlak , serta iltizam pemimpin kepada tuntutan amanah Allah SWT bagi mentadbir dan memakmurkan bumi dalam rangka tuntutan khilafah dan amanah.
PAS mahukan gagasan Sistem Liberal-Kapitalis lapuk yang telah memansuhkan emas sebagai sandaran utama mata wang ditinggalkan. PAS ingin mengesyorkan supaya pemimpin dunia kembali kepada Dinar Emas, bagi meletakkan struktur kewangan global berpaksikan emas dan perak untuk menangani ketidaktentuan nilai mata wang dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.
PAS juga mahukan konsep Pertumbuhan Hijau terus diperkasakan. Falsafah Petumbuhan Hijau amat selari dan sejajar dengan tuntutan tasawwur Islam yang menekankan pembangunan dan pertumbuhan mestilah mengambil kira impak kemusnahan kepada alam sekitar dan sumber-sumber serta aset negara yang tidak mampu diganti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.